Jenama Boat Noodle dan BananaBro menjadi kegemaran ramai rakyat Malaysia. Hidangannya bukan sahaja enak dan berkualiti, malah ia sentiasa ramai dengan pengunjung kerana konsep hidangannya yang cukup menarik. Kedua-dua jenama ini juga mempunyai satu persamaan iaitu ia menawarkan pengalaman makanan yang sememangnya lain daripada yang lain.

Pasti ramai yang belum tahu sebenarnya pengasas bagi kedua-dua jenama ini adalah orang yang sama iaitu Tony Lim Chin Hau. Bagaimanakah beliau mampu membangunkan dua buah jenama sehingga berjaya ke tahap ini? Jom kita baca kisah pengasas Boat Noodle dan BananaBro ini.

pengasas boat noodle

Minat Berbisnes Sudah Terpupuk Sejak Kecil

Pernah tersenarai dalam Prestige 40’s under 40 2018, minda bisnes usahawan ini telah terpupuk sejak kecil lagi.

Keluarganya mengusahakan syarikat logistik trak iaitu EH Utara Holdings. “Sejak dari kecil, saya sudah terdedah dengan dunia bisnes apabila mendengar perbualan santai antara ibu dan bapa saya. Dari hal cash flow sehinggalah jenis bisnes yang menguntungkan, cerita-cerita daripada mereka sedikit sebanyak telah mencambahkan minat saya terhadap dunia perniagaan,” kongsi Tony.

Tony juga akui bukan mudah untuk beliau mendapatkan kerja tetap selepas selesai tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan automotif. Beliau juga pernah mengikuti temu duga bersama Proton namun gagal. Tidak mudah berputus asa, beliau pun memutuskan untuk membuka bengkel kereta sendiri pada tahun 2001.

Dengan berbekalkan pengalaman kerja yang ada, Tony akhirnya sertai bisnes logistik keluarga pada awal tahun 2005.

Tampa disedari, Tony sudah pun menguruskan bisnes keluarga selama sepuluh tahun. Pelbagai kegagalan serta kejayaan telah ditempuh sehingga mampu membuka mata beliau tentang realiti dunia bisnes yang sebenar.

Walaupun berbangga dengan pencapaiannya pada masa itu, beliau merasakan sudah tiba masa untuk meneroka bidang baharu lebih-lebih lagi sejak menimang cahaya mata.

Sejak awal lagi, Tony lebih cenderung untuk memulakan bisnes runcit yang berasaskan wang tunai memandangkan pengalamannya berurusan dengan bisnes berasaskan kredit dalam bisnes keluarganya cukup rumit.

Keinginan Tony untuk memulakan bisnes menjadi semakin kuat apabila adik perempuannya telah meminta nasihat untuknya menjadi master franchisee bagi jenama Chatime di Kemboja pada tahun 2012.

Selepas berkongsi pandangan kepada adiknya, Tony pun akhirnya memulakan bisnes F&B (makanan dan minuman) sendiri iaitu Boat Noodle.

Sumber : Prestige

Bagaimana Pengasas Boat Noodle Beralih Dari Bisnes Pengangkutan ke F&B

Berbanding adik Tony yang memulakan bisnes F&B atas dasar minat, Tony pula telah menanam niat untuk mengembangkan bisnes Boat Noodle sebagai rangkaian restoran (restaurant chain) sejak awal lagi.

Saya sangat kagumi perkembangan hasil jualan KFC dan Starbucks. Melihat populariti kedua-dua jenama ini, saya percaya yang ada peluang untuk bangunkan sebuah bisnes sebegitu.

Akui sukar untuk atasi kedua jenama besar tersebut, namun Tony percaya bahawa beliau mampu bangunkan jenama sendiri yang mampu memenuhi citarasa semua rakyat Malaysia. Untuk menjamin perkembangan bisnes, beliau juga mahu membina sebuah jenama yang relevan dalam kalangan masyarakat.

Tony melihat street food Thailand iaitu boat noodles didapati mampu menjadi modal bisnes yang sesuai dengan matlamat bisnesnya.

Sebelum ia menjadi sebuah jenama terkenal di Malaysia, menu ringkas yang dihidangkan daripada bot di terusan Bangkok ini sememangnya cukup popular di Thailand dan telah menjadi sebahagian daripada budaya negara tersebut.

Tony juga secara peribadinya cukup menggemari hidangan tersebut. Tambahan pula, isterinya juga berasal dari Bangkok.

“Sejak dahulu saya cukup menyukai boat noodles dan tak ketinggalan untuk nikmatinya setiap kali ke Thailand. Namun, 99.9% boat noodles di negara itu menggunakan ramuan yang tidak halal dan mengandungi darah haiwan dalam supnya,” jelas Tony.

Daripada situ, beliau menghidu peluang untuk mencipta boat noodle versi halal supaya rakyat Malaysia juga dapat menikmati keenakan hidangan tersebut tanpa was-was.

Maka terlahirlah Boat Noodle. Setelah melalui proses kawalan kualiti selama bertahun-tahun, Tony dan pasukannya sedari bahawa jenama ini tidak mudah untuk berkembang pantas seperti kios minuman teh boba atau kopi.

Namun, mereka tidak berputus asa. Walaupun perkembangan bisnes perlahan, namun jenama kebanggaan Tony ini semakin ramai penggemarnya.

Pada tahun 2016, sebahagian daripada Boat Noodle telah dimiliki oleh Toridoll Holdings Japan. Tony percaya bahawa pelaburan ini adalah tanda perkembangan bisnes yang baik. Tambahan pula, jenama ini mempunyai prestasi kewangan yang baik dan konsep yang segar dalam pasaran F&B.

“Sejak kami mulakan bisnes, Boat Noodle telah pun mendapat banyak permintaan francais. Kalau nak buat duit cepat, memang boleh. Namun, sukar pula untuk kami perbaiki jenama jika ada terlalu banyak francaisi dari mula,” jelas Tony bila disoal tentang perkembangan cawangan jenamanya.

Kini menjadi nama popular setanding dengan jenama besar, Tony percaya Boat Noodle sudah bersedia untuk berkembang dalam industri F&B tempatan. Memiliki lebih 40 cawangan di serata Malaysia, Boat Noodle yang kini sedang merancang untuk membuka sehingga 150 cawangan menjelang 5 tahun akan datang. Lebih membanggakan lagi, jenama ini juga berjaya menembus pasaran luar negara termasuk Singapura, Filipina dan Brunei.

Pengasas Boat Noodle Buka Jenama BananaBro

Pasti ramai yang tidak tahu yang Tony juga merupakan pengasas bagi restoran hidangan India berkonsepkan nasi daun pisang yang tak kurang hebatnya iaitu BananaBro.

Menurut Tony, beliau dapati yang masih ramai tidak berpeluang untuk nikmatinya terutamanya pelanggan Muslim.

Melihat perkara ini sebagai jurang dalam masyarakat, Tony bermatlamat untuk membangunkan BananaBro agar hidangan nasi daun pisang dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.

Tony juga cukup berpuas hati dengan perkembangan BananaBro sehingga mampu membuka sebuah cawangan di Perth, Australia. Beliau juga dapati yang bisnes ini lebih mudah untuk berkembang kerana mempunyai model bisnes yang lebih ringkas berbanding Boat Noodle.

pengasas boat noodle

Dengan adanya BananaBro sebagai bisnes utama selain Boat Noodle dan bisnes keluarga, Tony akui bukanlah mudah untuk mengurusnya.

Justeru, beliau sangat bersyukur kerana adanya ramai rakan niaga dan staf yang percaya dengan matlamat bisnesnya. “Saya sangat terhutang budi kepada semua pihak yang sanggup meluangkan masa untuk bersama-sama bangunkan bisnes ini. Tanpa mereka, saya takkan berada pada tahap sekarang ini,” luah Tony.

Berdasarkan kisah pengasas Boat Noodle dan BananaBro ini, dapatlah kita simpulkan bahawa adalah penting untuk usahawan menghidu peluang bagi memulakan konsep bisnes yang segar dan sesuai dengan citarasa masyarakat setempat.

Meskipun tidak mempunyai pengalaman dalam dunia F&B, namun ia tidak menjadi penghalang bagi Tony untuk membangunkan Boat Noodle setanding dengan nama-nama besar lain. Beliau juga cukup mementingkan kualiti jenama dan tidak tergopoh-gapah dalam mengembangkan bisnes.

Kepada usahawan yang ingin memulakan bisnes F&B berkonsepkan francais sepertinya, Tony menyarankan supaya fokuskan kepada operasi model bisnes, SOP dan keuntungan yang jelas. Dengan strategi serta kajian perniagaan yang mantap, anda juga mempunyai peluang untuk bina jenama terkemuka sendiri.

Sumber : Vulcan Post

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top