Jenama rangkaian kopi tempatan, ZUS Coffee baru-baru ini memperkenalkan satu lagi produk baharu iaitu kopi sparkling yang dihidang dalam bentuk tin dinamakan COFFIZZ.

Minuman yang diestrak daripada kopi asli ini sesuai dinikmati oleh semua pelanggan kerana kandungan kafeinnya yang rendah.

Sesuai dengan namanya, produk terbaharu daripada ZUS Coffee ini menawarkan sensasi unik bagi penggemar kopi dengan gabungan minuman berkarbonat yang tidak terlalu ketara rasanya.

Minuman kopi sparkling pertama di Malaysia yang disahkan halal ini juga menjadi bukti ketersediaan jenama ZUS Coffee untuk menembus industri minuman sedia diminum (ready-to-drink).

Memetik laman web rasmi ZUS, produk ini boleh didapati dalam set 3 tin atau 24 tin (satu karton).

Harga yang ditawarkan pula adalah RM 10.50 untuk set 3 tin dan RM 84 untuk satu karton. Ini bermakna, harga bagi satu tin COFFIZZ adalah sekitar RM 3.50.

Baru-baru ini, ZUS Coffee pesanan pratempah bagi set 3 tin telah pun habis terjual sebanyak 10,000 unit. Sementara itu, stok bagi 24 tin masih tersedia secara atas talian.

Bagi pelanggan yang ingin mencuba minuman ini, ia boleh didapati di cawangan Family Mart terpilih menerusi jualan tunggal (single can).

coffizz

COFFIZZ Sebagai Inovasi Unik Dari Zus

Walaupun minuman kopi berkarbonat kedengaran agak asing, namun ini bukanlah perkara baharu bagi ZUS.

Jenama ini merupakan antara yang terawal menghasilkan menu kopi dengan sensasi berkarbonat menerusi Thunder Coffee. Bagi yang belum tahu, minuman signature daripada ZUS ini dihasilkan daripada kopi, minuman sparkling dan sirap lemon madu.

Walau bagaimana pun, difahamkan bahawa COFFIZZ bakal menawarkan rasa yang tersendiri tanpa campuran sirap lemon madu.

Sebaliknya, ramuan yang digunakan dalam minuman baharu ini adalah gula, sucralose dan perisa makanan yang dibenarkan.

ZUS Coffee Ingin Jadi Lebih Daripada Sekadar Rangkaian Kedai Kopi

Selain aktif menghasilkan produk berasaskan kopi seperti serbuk minuman 3 dalam 1, biji kopi dan biskut, ZUS kini dilihat turut menawarkan koleksi produk gaya hidup seperti tumbler, set seduhan kopi (coffee brew set) dan buku catatan di bawah cabang

Menurut Ketua Pegawai Operasi ZUS Coffee, Venon Tian strategi ini selari dengan matlamat jenama mereka.

“Kami bukan sahaja ingin menjadi rangkaian kopi, malah kami ingin menjadi sebuah jenama kopi yang lebih meluas,” jelas Venon.

Dengan kreativiti ZUS dalam mengembangkan jenama, tidak mustahil untuk mereka mampu mengatasi Starbucks sebagai jenama kopi pilihan rakyat Malaysia pada masa akan datang.

Tambahan pula, mereka turut menawarkan cawan dan tumbler dalam pelbagai rekaan menarik serta produk yang membolehkan pelanggan hasilkan kopi ZUS sendiri dari rumah.

Sumber : Vulcan Post

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top