Syarikat teknologi kecerdasan buatan (AI) yang berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu Nvidia Corp percaya bahawa pusat data AI mampu menjadi sektor pembuatan baharu di Malaysia.

Syarikat tersebut juga sedang merancang untuk membangunkan pusat data sendiri di Malaysia pada masa akan datang. Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang Jen-hsun berkata Malaysia berpotensi untuk menyediakan keperluan serta menjadi hub infrastruktur data di Asia Tenggara.

“Pusat data tradisional hanya direka untuk menyimpan data, tetapi pusat data dengan implimentasi AI mampu mengubah data mentah kepada data yang bernilai tinggi.

“Malaysia merupakan negara yang cukup berpotensi dari segi pembuatan, jadi saya percaya ia mempunyai kelebihan unik untuk menjadi hub teknologi data untuk Nvidia dan rantau Asia Tenggara,” jelas Huang dalam sebuah sidang media dalam lawatannya ke Malaysia baru-baru ini.

ytl

Menurut beberapa portal berita, difahamkan bahawa syarikat Nvidia bakal mengadakan perkongsian strategi dengan konglomerat Malaysia, YTL yang membina pusat data AI di Johor Bahru melibatkan pelaburan berjumlah RM 20 bilion.

Huang turut menekankan keupayaan Malaysia dalam membangunkan YTL dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) serta berpendapat bahawa syarikat-syarikat sebegini mampu menjadi rakan niaga yang baik bagi pembangunan pusat infrastruktur data.

YTL Power International Bhd menerusi YTL Data Center Holdings Pte Ltd sebelum ini turut mengumumkan rancangan mereka untuk membangunkan pusat lapangan data 500MW yang dinamakan Green Data Center Park dengan pelaburan sebanyak RM 15 bilion.

Dalam sebuah kenyataan, YTL Power berkata pusat data tersebut bakal menyediakan perkhidmatan pengkomputeran buat negara dan akan dimiliki serta diuruskan oleh YTL Communications Sdn Bhd.

“YTL akan memanfaatkan penggunaan Nvidia H100 Tensor Core GPU yang turut digunakan oleh kebanyakan pusat data AI berteknologi terkini dan perisian Nvidia AI Enterprise bagi memacu produk buatan AI.

Nvidia AI Enterprise dilengkapi dengan pelbagai ciri termasuk Nvidia NeMo dan teknologi cloud-native bagi pembangunan, pengoperasian dan pengurusan model AI generatif,” jelas pihak YTL Power.

Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong berkata kolaborasi ini bakal memberi banyak kelebihan buat Malaysia.

“Pusat data mesra alam dengan kecekapan tenaga kami ini adalah kemudahan yang sesuai untuk penggunaan sistem komputer berprestasi tinggi daripada Nvidia.

Kami teruja untuk memulakan perjalanan ini demi membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam aspek pembangunan AI”, ulas Yeoh.

Kolaborasi ini telah dimumkan pada hari yang sama ketika pertemuan Huang dengan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.

Nvidia merupakan perintis dalam pengkomputeran dipercepatkan dan kini merupakan syarikat keenam terbesar di dunia dari segi permodalan pasaran.

Ia juga merupakan penghasil cip dan sistem berteknologi tinggi yang menguasakan pusat data, aplikasi AI, permainan PC dan AI generatif.

Sama-sama kita nantikan perkembangan bagi kolaborasi YTL dan Nvidia pada masa akan datang.

Sumber : The Edge Malaysia (1), (2)

Baca Juga : Bank Of Korea Ramal AI Bakal Ambil Alih 4 Juta Pekerjaan di Korea Selatan

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top