Dulu Pernah Dipandang Serong Oleh Pegawai Bank, Kini Bizmilla Mampu Raih RM 50 Juta Setahun
Seorang usahawan perlulah mempunyai hati dan semangat yang kental kerana pasti ada komen negatif daripada orang sekeliling.
Begitulah yang pernah dihadapi oleh usahawan yang dahulunya lebih dikenali sebagai penyanyi, Mila Jirin.
Meskipun bisnes Bizmilla sudah dibangunkan selama 8 tahun, namun Mila masih ingat lagi pengalamannya ketika pernah dipandang seorang oleh seorang pegawai bank.
Ketika itu, beliau ingin membuat pinjaman sebanyak RM 100,000 untuk memulakan bisnes.
Namun, Mila sangat terkejut apabila individu tersebut berkata beliau tidak akan berjaya memandangkan perniagaan yang dilakukan iaitu berkaitan katering dan pengurusan perkahwinan bertaraf kelas ketiga.
“Saya masih ingat sampai sekarang. 14 tahun lepas, saya jumpa pegawai bank untuk buat pinjaman RM 100,000, dia cakap perniagaan saya kelas ketiga dan tak boleh berjaya.
“Saya menangis dalam kereta selepas jumpa dia namun suami saya berikan kata semangat. Dia kata pegawai bank itu bukan Tuhan untuk berkata begitu. Jadi, saya kuatkan semangat dan teruskan usaha” ulasnya dalam satu perkongsian di TikTok.
Berdirinya Mila pada hari ini sebagai seorang usahawan dengan empayar bisnesnya sendiri membuktikan bahawa beliau bukanlah orang yang mudah berputus asa.
Malah, beliau juga berbangga kerana dapat berkongsi rezeki bersama 250 orang pekerja dengan caruman Skim Simpanan Wang Pekerja (KWSP) bernilai lebih RM 600,000 sebulan.
Mila juga tidak menyangka bahawa bisnes katering dan pengurusan perkahwinannya mampu berkembang kepada 18 dewan jamuan sambil mencatatkan pendapatan tahunan sebanyak RM 50 juta.
Tidak hanya terhad di Lembah Klang, malah bakal pengantin yang berada di Johor Bahru dan Pulau Pinang juga boleh dapatkan perkhidmatan Bizmilla dengan adanya dewan jamuan di negeri terebut.
Usahawan yang berasal dari Pulau Pinang ini juga turut menanam hasrat untuk membuka 36 lagi dewan menjelang tahun 2026 supaya lebih ramai bakal pengantin dapat meraikan hari bahagia mereka dengan pakej perkahwinan yang lengkap dan mampu milik.
“Allah hantarkan macam-macam orang untuk menguji kita, tetapi saya dan suami tidak patah semangat. Malah yakin dengan perancangan Allah.”
Itulah kata-kata yang Mila pegang sehingga mampu menjadi usahawan berjaya yang kita kenali pada hari ini.
Kisah kejayaan Mila ini membuktikan bahawa usaha tidak pernah mengkhianati hasil. Percayalah pada kemampuan diri dan berserahlah kepada Allah setelah berusaha.
Sumber : The Vocket, TikTok @milajrin_bizmilla
Baca Juga : Dulu Home Baker Kini Bergelar Jutawan, Ini 6 Strategi Bisnes Mamasab Dalam Membina Jenama Kek Popular