Siapa tak kenal dengan jenama rempah ratus BABA’S? Sudah berada di pasaran selama lebih 40 tahun, BABA’S telah satu jenama yang cukup sebati dengan rakyat Malaysia.

Sebuah juga telah membuktikan bahawa sekurang-kurangnya satu produk BABA’S telah digunakan dalam masakan bagi setiap isi rumah di Malaysia setiap hari!

Meskipun terkenal dengan rempah kari, sebenarnya produk BABA’S turut merangkumi serbuk masakan lain seperti kunyit, rempah rendang, beriyani, lada hitam dan banyak lagi.

Ketua Pemasaran BABA’S, Azrain Mohamed bersyukur jenama rempah ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada rakyat Malaysia.

“Tak kira bangsa Melayu, Cina, India atau kaum etnik Sabah dan Sarawak, jenama BABA’S menjadi produk pilihan rempah ratus kerana kualitinya yang tinggi”, ulas Azrain.

Bagaimana BABA’S mampu menangi hati rakyat Malaysia dan mencipta nama sebagai jenama rempah tempatan yang terkenal? Ayuh kita singkap kisah di sebaliknya.

Bermula Daripada Perniagaan Van Bergerak

Melihatkan kemegahan nama BABA’S, anda pasti tidak sangka yang sebenarnya jenama ini bermula hanya daripada perniagaan van bergerak pada penghujung 70an.

Ia diusahakan oleh seorang pemuda berbangsa India yang rajin meronda-ronda di sekitar Lembah Klang untuk menjual barangan runcit seperti rempah dan beras.

Jika terdapat permintaan bagi produk lain, beliau akan cuba sedaya upaya untuk mencari sumber yang terbaik sambil menawarkan harga yang berpatutan kepada pelanggan.

Dari situ, timbullah idea untuk pemuda itu hasilkan adunan rempah sendiri yang mampu menepati citarasa pelbagai kaum. Setelah mecuba beberapa kali dan mengubahsuai berdasarkan maklumbalas yang diterima, maka terhasillah produk BABA’S.

Bermula daripada 2 rempah kari iaitu untuk juadah daging dan makanan laut, kini  produk BABA’S berkembang kepada lebih 30 variasi termasuk rempah masakan, manisan serta snek.

jenama BABA’S

 

Polisi ‘Yang Paling Segar di Rak’ Menjadi Pegangan

Demi menawarkan produk yang berkualiti tinggi kepada pelanggan, jenama BABA’S turut memberi jaminan bahawa produk mereka adalah yang ‘paling segar di rak’ menerusi polisi “Freshest On The Shelf”.

Dengan edaran yang meluas, BABA’S mampu memberi jaminan bahawa setiap produk yang dibeli oleh pelanggan tidak melebihi 3 bulan daripada tarikh penghasilan.

Bagi mengekalkan reputasi sebagai jenama rempah terkemuka, BABA’S juga cukup teliti dalam soal pengeluaran produk.

“Sudah tentu kami menitikberatkan soal keselamatan produk BABA’S. Bahagian Kawalan Kualiti (QC) dan Jaminan Kualiti (QA) sentiasa membuat pemantauan bahan-bahan yang tiba di kilang serta produk yang ingin diedarkan kepada pengguna,” ulas Azrain.

Oleh itu, mereka tetap komited dalam menawarkan produk terbaik dengan harga berpatutan di pasaran.

Berpegang kepada komitmen beterusan, jenama ini juga turut mendapat pengesahan halal serta pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kami juga melalui proses audit dari pihak JAKIM dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) setiap tahun. Jadi, di sini saya ingin meyakinkan pengguna agar tidak khuatir dengan produk BABA’S kerana semuanya terjamin halal dan selamat,” jelas Azrain.

Selama empat dekad di pasaran, kini BABA’S memiliki 28 buah cawangan di seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak serta dua cawangan di Singapura dan satu di Brunei.

Pemasaran Unik Untuk Kuatkan Branding

BABA’S juga percaya kekuatan jenama mereka terletak kepada strategi pemasaran mereka yang unik.

Antara pendekatan yang mereka lakukan untuk berinteraksi dengan pengguna secara lebih rapat adalah menerusi aktiviti seperti ‘ground event’, demonstrasi masakan, pemberian sampel dan perkongsian resepi di media sosial.

Mereka percaya bahawa apabila berhadapan dengan pengguna secara langsung, ia mampu mewujudkan satu tarikan istimewa, keterlibatan serta komunikasi dua hala yang positif antara jenama dan pelanggan.

Cara pemasaran personal sebegini juga dilihat berkesan kerana pengguna berpeluang untuk mencuba sendiri dan mengenali produk BABA’S dengan lebih dekat.

jenama BABA’S

Walaupun jenama ini sudah pun menembusi pasaran luar negara seperti China, Amerika Utara, United Kingdom, Australia dan Eropah, namun mereka mahu dikenali dengan lebih lagi pelusuk dunia.

Atas komitmennya yang luarbiasa dalam menawarkan produk terbaik, BABA’S juga berjaya merangkul beberapa anugerah berprestij antaranya Asia Halal Brand Awards, Halal Food and Beverage Excellence Award.

Jenama ini juga sekaligus menjadi bukti bahawa ramuan masakan mampu menyatu padukan rakyat Malaysia. Reputasi yang terbina selama berpuluh tahun masih utuh sehingga ke hari ini.

Sumber : BABA’S, Facebook BABA’S & U, Nona

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top