Walaupun kini media digital mendominasi kehidupan masyarakat, namun buku fizikal masih ada ramai peminatnya. Terdapat pelbagai lokasi kedai buku yang cukup menarik di Malaysia yang kini tidak hanya menawarkan koleksi buku yang berkualiti, malah menyajikan suasana yang cukup estetik buat ulat buku.

Antara kedai buku yang mendapat perhatian ramai sejak dibuka adalah Tsutaya Books, sebuah jenama rantaian kedai buku daripada Jepun yang bertapak di Pavillion Bukit Jalil sejak setahun lalu.

Apabila jenama ini melebarkan saya di rantau Asia Tenggara, mereka menanam visi untuk menawarkan pengalaman unik buat pencinta buku termasuklah di Malaysia dengan menawarkan pengalaman membeli buku yang serba unik.

Namun, tabiat segelintir pengunjung yang tidak bertanggungjawab telah memaksa Tsutaya Books untuk mengambil tindakan lanjut.

Menerusi perkongsian di media sosial rasmi mereka, kedai buku ini telah meluahkan rasa kecewa terhadap sikap pengunjung yang sengaja merosakkan buku.

Tsutaya Books

Sebelum ini, pelanggan bebas untuk membelek halaman dan melihat kandungan dalam buku sebelum membeli. Namun, kemudahan ini terpaksa ditarik semula apabila pihak Tsutaya Books mendapati banyak buku yang telah dikoyak. Buku kanak-kanak jenis ‘pop-up’ juga telah banyak yang kehilangan fungsinya.

“Sekiranya anda pernah mengunjungi kedai kami, anda pasti perasan yang buku kami tidak dibalut dan disusun rapi di rak buku, menanti untuk disemak halamannya dan dibeli.

Namun, anda juga pasti sedar yang semakin banyak buku di kedai kami telah dibalut dengan plastik jernih sejak akhir-akhir ini.

Sebagai pencinta buku, kami berasa sedih namun tiada pilihan lain. Selama berbulan-bulan, staf kami telah mengasingkan banyak buku yang telah dirosakkan dengan sengaja,” luah pihak Tsutaya Books.

Kedai buku tersebut turut menegaskan visi mereka yang bukan sekadar menjual buku semata-mata, malah Tsutaya Books juga ingin memupuk rasa minat masyarakat terhadap tabiat membaca.

Tsutaya Books

Untuk mencapai visi ini, kedai buku ini dengan rendah hati telah memohon kerjasama daripada semua pelanggan.

“Dengan bantuan anda, kami berharap semoga buku-buku kami dapat bebas daripada balutan plastik. Bukan sahaja di kedai kami, malah di semua kedai buku dan perpustakaan,” luah Tsutaya Books dalam hantaran tersebut.

Semoga luahan yang dikongsikan oleh kedai buku ini dapat menyuntik kesedaran dan dijadikan iktibar buat pelanggan supaya tidak merosakkan barangan yang bukan milik mereka. Buat waktu ini, pengguna yang ingin menyemak halaman dalam buku di Tsutaya Books perlulah mendapatkan bantuan daripada staf.

Sumber : Facebook Bukit Jallil Tsutaya Books

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top