Bagi yang suka melancong, pasti anda cukup kenal dengan jenama OYO Hotel. Dengan papan tanda berwarna merah terang dan tulisan OYO, hotel ini sangat mudah dikenalpasti dan sering dijumpai di mana-mana kawasan termasuklah pinggir bandar.
Hotel OYO juga menjadi pilihan bagi yang ingin bercuti dengan harga bajet. Sesuai dengan harga yang ditawarkan, ia menawarkan keselesaan dan kelengkapan asas buat semua penginap.
Pada tahun 2019, OYO Malaysia telah mencapai 1 juta tempahan bilik daripada lebih 450 cawangannya.
Hotel OYO juga merupakan antara rangkaian hotel terbanyak di dunia sambil menyaingi nama besar seperti Marriot dan Wyndham.
Namun, pernahkah anda terfikir dari mana datangnya rangkaian hotel OYO ini dan bagaimana ia mampu menjadi jenama hotel bajet yang popular?
Jangan tak percaya yang Hotel OYO (On-Your-Own) ini diasaskan oleh seorang pemuda bernama Ritesh Agarwal yang berasal dari India.
Membesar dari keluarga yang susah, Ratesh sudah menunjukkan minat untuk berbisnes seawal usia 13 tahun. Bisnes pertamanya adalah jualan kad sim secara kecil-kecilan.
Pada tahun 2011, beliau berhijrah ke bandar Delhi untuk menyambung pengajian di peringkat kolej. Namun, beliau mengambil keputusan untuk berhenti belajar selepas 2 tahun kerana merasakan tiada keyakinan untuk mendapat keputusan akademik yang cemerlang.
Dari situ, Ritesh mengambil peluang untuk menimba ilmu dan mula bangunkan bisnes sendiri. Ayuh kita selami kisah pengasas OYO dan bagamimana beliau berjaya bangunkan sebuah empayar hotel bajet terkenal di dunia.
Pengasas OYO Mula Hidu Potensi Industri Hotel Bajet
Antara penglibatan awal Ritesh dalam dunia perhotelan adalah apabila beliau membantu operasi sebuah hotel bajet berdekatan tempat tinggalnya.
Hotel tersebut dikatakan mempunyai masalah kekurangan pelanggan. Untuk mengatasinya, beliau telah berbincang dengan pemilik hotel dan memberikan beberapa cadangan untuk penambahbaikan.
Selain itu, Ritesh juga membantu mempromosikan hotel tersebut dengan mengambil gambar dan memuatnaiknya di internet.
Usaha beliau membuahkan hasil apabila jumlah pengunjung hotel meningkat secara ketara. Kejayaan ini sedikit sebanyak menyuntik keyakinan kepadanya untuk lebih serius mendalami industri hotel bajet. Tambahan pula, beliau melihat potensi industri tersebut ada permintaan dan segmen pelanggannya tersendiri.
Ritesh sedar kunci kejayaan bagi hotel bajet adalah promosi yang konsisten dan perkhidmatan yang mencapai standard tertentu. Beliau juga dapati isu terbesar yang biasa dialami oleh pelancong ketika menginap di hotel bajet adalah tahap kebersihan yang tidak memuaskan.
Isu ini telah mencetuskan idea buat Ritesh untuk menubuhkan startup pertamanya yang dinamakan Oravel.
Startup ini telah membuka jalan kepada Ritesh untuk membangunkan sebuah platform iaitu Oravel Stays, iaitu direktori untuk hotel-hotel bajet.
Idea bernas Ritesh telah menarik minat beberapa pelabur sehingga membolehkannya terpilih bagi program Thiel Fellowship, sebuah program yang dianjurkan oleh pengasas Paypal. Pemilihan ini membolehkan pengasas OYO itu untuk mendapatkan pembiayaan sebanyak US$100,000.
Meskipun baru ditubuhkan, namun banyak syarikat besar melihat potensi besar bagi OYO. Disebabkan itu, OYO telah menerima dana sebesar US$25 juta daripada beberapa syarikat seperti Sequioa dan Lightspeed India hanya selepas 3 tahun beroperasi.
Pada tahun 2015, OYO telah melancarkan aplikasi telefonnya sendiri. Ciri-ciri aplikasi yang mesra pengguna membolehkan pelanggan menempah hotel dengan mudah dan menjadi batu loncatan kepada syarikat tersebut untuk melebarkan sayap di seluruh India.
Setelah menakluk 2,000 hotel dan 20,000 bilik di India, OYO mula memasuki pasaran Asia Pasifik bermula dengan Malaysia dan Nepal.
Pada tahun 2018, OYO giat meluaskan pengaruh ke negara-negara besar seperti United Kingdom, Dubai, China, Singapura dan Indonesia sehinggalah menjadi hotel bertaraf global yang kita kenali sekarang ini.
Ritesh Agarwal yang berusia 27 tahun pada 2020 dikatakan mempunyai nilai kekayaan sebanyak US$1.1 bilion dan sekaligus menjadikan beliau jutawan kedua termuda di dunia pada ketika itu.
Lebih menarik lagi, Ritesh sebenarnya tidak menjadi kaya kerana memiliki hotel sendiri. Sebaliknya, syarikatnya hanya membuat duit dengan menyediakan platform untuk pemilik hotel mempromosikan bisnes mereka.
Jika kita lihat sekarang, ramai pemilik bisnes yang turut menjana keuntungan dengan menyediakan platform bagi kegunaan pengguna seperti Shopee, Facebook dan Airbnb.
Kisah pengasas OYO ini patut dijadikan teladan buat semua usahawan. Walaupun Ritesh tiada pendidikan tinggi dan pengalaman formal dalam industri perhotelan, namun beliau mampu membina empayar hotel bertaraf global pada usia yang sangat muda.
Baca Juga : Kisah Chris Gardner, Gelandangan Yang Berubah Jadi Jutawan Broker Saham