Tercari-cari tips pemasaran emel untuk perniagaan anda? Pemasaran emel telah menjadi pilihan ramai pemilik bisnes yang ingin capai pelanggan dan kembangkan perniagaan dengan lebih baik.
Walaupun teknologi emel sudah lama wujud, namun ia terbukti sebagai salah satu platform pemasaran digital yang bermanfaat bagi pelbagai syarikat dan organisasi.
Bagi anda yang ingin mulakan pemasaran emel, di sini kami ingin kongsikan beberapa tips yang anda boleh praktikkan.
10 Tips Pemasaran Emel Yang Anda Perlu Tahu
1. Tawarkan Cara Pendaftaran Yang Mudah
Untuk kembangkan senarai pelanggan yang menerima pemasaran emel, anda perlulah terlebih dahulu sediakan cara yang mudah untuk pelanggan mendaftar.
Anda tak perlu bersusah payah hasilkan borang yang panjang berjela, cukuplah dengan meminta nama dan alamat e-mel pelanggan.
Pastikan borang yang anda hasilkan straightforward dan ringkas. Seeloknya, hasilkan borang dengan single-click supaya pelanggan berjaya mendaftar serta -merta selepas klik butang ‘Daftar’.
Selain itu, anda juga boleh minta pelanggan untuk daftar menggunakan akaun laman sosial mereka. Bukan sahaja lebih mudah untuk pelanggan, malah anda juga berpeluang untuk berhubung dengan mereka dengan lebih mudah menerusi platform tersebut.
2. Jangan Beli Database Daripada Pihak Lain
Ini adalah salah satu tips pemasaran emel yang mungkin ramai terlepas pandang.
Walaupun jalan untuk mendapatkan database emel daripada pihak lain lebih mudah, namun ia adalah satu perbuatan yang melanggar etika undang-undang komunikasi.
Sebaliknya, anda perlu bina sendiri database bagi menjaga kredibiliti jenama serta menjamin keberkesanan kempen pemasaran.
3. Tawarkan Insentif Menarik
Apakah kelebihan yang pelanggan boleh dapatkan bila mereka kongsikan alamat emel? Adakah mereka akan dapat sampel, e-book atau templat percuma? Pastikan anda nyatakan kelebihan tersebut secara jelas di borang pendaftaran.
4. Jangan Berikan Janji Kosong
Jelaskan kepada pelanggan jenis informasi yang anda bakal sampaikan menerusi pemasaran e-mel seperti newsletter, infografik, tawaran khas dan sebagainya serta kekerapan emel yang akan dihantar (setiap minggu, dua minggu sekali).
Sampaikan informasi kempen dengan jelas dan jangan taburkan janji yang anda tak boleh tepati. Dikhuatiri, usaha pemasaran emel anda akan gagal dan reputasi jenama anda akan terjejas.
5. Hasilkan Emel Dengan Unsur Personal
Tarik perhatian pelanggan untuk buka emel daripada anda dengan meletakkan nama mereka di bahagian subject. Gunakan nada yang mesra tetapi profesional dalam kandungan mesej. Barulah pelanggan berminat untuk membaca emel daripada anda secara lebih lanjut.
6. Pastikan E-mel Yang Dihasilkan Mobile-Friendly
Disebabkan pengguna masa kini banyak bergantung kepada penggunaan telefon bimbit, emel juga nampaknya lebih banyak dibuka menerusi telefon bimbit berbanding laptop.
Menurut data daripada superoffice.com, rata-rata 81% pelanggan masa kini lebih selesa untuk semak emel menerusi telefon bimbit masing-masing!
Jadi, nak tak nak, anda perlu hasilkan emel yang mobile-friendly, atau boleh dibuka dengan telefon bimbit tanpa sebarang masalah.
Sebelum menghantar emel, pastikan ia dapat dibuka dengan lancar dan mudah dibaca.
7. Jejak dan Analisa Hasil Kempen
Kempen pemasaran emel anda tidak berhenti selepas anda tekan ‘Hantar’. Sebaliknya, ia adalah proses berterusan dan perlu diberikan penambahbaikan.
Anda perlu meneliti keberkesanan bagi setiap kempen dengan menyemak beberapa data daripada laporan seperti kadar bukaan, kadar klik link dan kadar unsubscribe.
Dengan adanya laporan ini, anda boleh kenalpasti kekurangan bagi setiap kempen dan atur strategi yang lebih baik untuk dipraktikkan pada masa hadapan.
8. Rangka Strategi Bagi Kandungan Emel
Untuk memastikan kempen anda berjaya, anda perlulah tetapkan strategi yang baik. Dengan erti kata lain, anda perlu tetapkan jenis kandungan yang ingin dikongsikan pada waktu yang sesuai mengikut hala tuju bisnes. Antara perkara yang anda perlu ambil kira adalah jenis emel dan waktu penghantaran emel.
Mungkin anda boleh hasilkan satu kalendar dan tetapkan jenis emel serta waktu yang sesuai untuk anda hantarkannya kepada pelanggan.
Sebagai contoh, anda boleh hantarkan emel tawaran khas sempena jualan 11.11 atau musim perayaan.
Selain itu, anda juga boleh tetapkan satu hari untuk hantarkan newsletter secara konsisten kepada pelanggan.
Anda juga mungkin boleh senaraikan beberapa emel jenis emel yang perlu dihantar secara automatik kepada pelanggan seperti emel ‘Selamat Datang’, emel pengesahan pembayaran dan emel untuk menjejak pesanan produk.
9. Mudahkan Pelanggan Untuk Unsubscribe
Tiada pemilik bisnes yang mahu pelanggannya unsubscribe. Namun, ia adalah hak pelanggan yang anda perlu akur. Lagipun, cara ini lebih baik untuk memastikan pelanggan dalam senarai anda betul-betul berminat dengan tawaran daripada jenama anda.
Oleh itu, pastikan anda sediakan kaedah mudah atau butang unscubscribe yang jelas untuk pelanggan.
10. Lakukan A/B Testing
Selain menjejak prestasi kempen, anda juga perlu lakukan beberapa ujian untuk mantapkan lagi keberkesanan emel yang dihantar kepada pelanggan.
Antara ujian yang anda boleh jalankan adalah untuk kenal pasti :
- Waktu (hari dan masa) penghantaran yang boleh berikan pulangan yang lebih baik.
- Jenis emel yang lebih digemari pelanggan (emel yang lebih ringkas, lebih banyak imej, cara penulisan dan sebagainya)
- Tajuk subject yang boleh tarik kadar bukaan pelanggan.
Terdapat pelbagai perkara yang anda perlu ambil kira bagi memastikan kempen pemasaran anda berjaya.
Bagi membina database yang berkualiti, anda juga perlu sediakan beberapa kemudahan kepada pelanggan seperti cara pendaftaran yang mudah dan kaedah unsubscribe yang jelas.
Anda juga perlu faham yang pemasaran emel adalah satu usaha yang berterusan dan perlu diberikan tambah baik dari semasa ke semasa.
Oleh itu, anda perlulah lakukan beberapa ujian dan semak prestasi kempen menerusi laporan.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda membina strategi pemasaran emel yang baik demi perkembangan syarikat. Selamat mencuba!
Sumber : reliablesoft.net