Pada era pemodenan ini, kebanyakan pelanggan mula beralih kepada pembelian secara atas talian. Oleh sebab itu, boleh dikatakan hampir semua jenis perniagaan kini memanfaatkan pemasaran digital untuk kembangkan bisnes.
Terdapat pelbagai strategi yang anda boleh ambil kira untuk buatkan perniagaan anda semakin terkenal. Selain itu, pemasaran digital juga memberi peluang kepada bisnes anda untuk tawarkan pengalaman pengguna (user experience) yang lebih baik untuk pelanggan.
Bagi anda yang ingin luaskan perniagaan secara atas talian, di sini kami ingin kongsikan beberapa tips pemasaran digital yang anda boleh cuba.
11 Tips Pemasaran Digital Untuk Perniagaan Atas Talian
1. Optimumkan Laman Web Untuk Paparan Telefon Pintar
Setakat Ogos 2022, dianggarkan lebih daripada 62% trafik website berpunca daripada penggunaan telefon bimbit.
Tambahan pula, dapatan dari Google juga menunjukkan 49% pengguna internet tidak berminat untuk berbelanja sekiranya mereka mengalami kesukaran ketika melayari laman web tertentu.
Jadi, memang rugi jika anda tidak membina website yang mobile-friendly bagi memenuhi keperluan pelanggan atas talian. Antara ciri-ciri website yang mesra telefon bimbit ialah paparan yang kemas dan lancar, boleh dilayari menerusi pelbagai jenis telefon pintar dan mempunyai waktu loading yang pantas.
2. Kenalpasti Pesaing
Untuk kekal bersaing dalam perniagaan atas talian, jenama anda perlulah lebih menyerlah bagi menarik pelanggan.
Katakanlah anda menjual tudung secara atas talian. Langkah pertama untuk anda kenali pesaing serta taktik mereka adalah dengan mencari keyword yang berkenaan dengan perniagaan anda.
Ambil perhatian frasa yang pesaing digunakan, kandungan blog yang ditulis serta faktor lain seperti review dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan.
Gunakan elemen ini untuk merancang strategi pemasaran yang lebih menyerlah dan menarik berbanding pesaing anda.
3. Panjangkan Penulisan Blog
Jangan tak tahu yang penulisan blog adalah salah satu elemen penting dalam pemasaran digital. Dalam menulis blog perniagaan, anda sepatutnya menulis dengan lebih panjang.
Hantaran blog yang lebih panjang dengan kandungan yang terperinci boleh menjamin kadar tarikan pelanggan sehingga 9 kali ganda! Untuk memastikan blog perniagaan anda mendapat ranking yang tinggi, sasarkanlah kandungan blog dengan 1,200 patah perkataan.
Anda boleh muatkan pelbagai kandungan menarik dalam blog anda seperti tips berkaitan industri perniagaan anda serta trend terkini. Anda juga sangat digalakkan untuk menerapkan strategi SEO agar blog anda lebih mudah muncul pada Search Engine Results Page.
4. Mulakan Pemasaran E-mel
Berdasarkan perkongsian daripada Hubspot, 73% daripada pengguna golongan Gen Y lebih memilih e-mel untuk berinteraksi dengan sesebuah jenama. Ini menunjukkan bahawa penggunaan e-mel masih lagi relevan dalam pemasaran digital meskipun sudah lama wujud.
Pemasaran e-mel juga memberi kebebasan kepada anda untuk berkongsi pelbagai informasi berkaitan jenama seperti pengenalan produk terbaharu, perkembangan syarikat serta hebahan jualan terkini.
Anda juga boleh letakkan pelbagai infografik, imej serta animasi ringkas untuk tarik perhatian pelanggan.
Ramai usahawan yang turut memilih pemasaran e-mel kerana kosnya yang lebih rendah berbanding platform marketing lain.
Dengan Mail Niaga, anda berpeluang untuk menghantar 5,000 e-mel dengan kos serendah RM 100 sahaja untuk sebulan!
5. Gunakan Kaedah Remarketing
Setelah anda mencari produk tertentu di internet, pernahkan anda terserempak dengan produkyang sama di laman atau aplikasi lain seperti Facebook atau Instagram? Kalau nak tahu, kaedah pemasaran ini dinamakan sebagai remarketing. Tips pemasaran digital yang seterusnya ini menggunakan ‘cookies’ bagi menjejak aktiviti serta minat pengguna internet secara spesifik.
Walaupun sesetengah pengguna menganggap ia menjengkelkan, namun ia adalah taktik pemasaran yang berkesan dan bermanfaat untuk pemilik bisnes. Buktinya, 43% pengguna internet cenderung untuk buat pembelian selepas terjumpa iklan yang sama di laman lain.
Untuk mulakan remarketing, anda boleh buka akaun Google Ads untuk jenama anda. Di samping itu, anda juga boleh manfaatkan penggunakan ciri Facebook’s Custom Audience untuk tujukan iklan kepada pengguna Facebook yang pernah melawat website anda.
6.Gunakan Google Ads
Bercakap tentang Google Ads, ia juga merupakan alat yang mampu memberi kelebihan besar bagi pemasar perniagaan online masa kini dan membuatkan jenama anda lebih terkenal.
Google Ads berfungsi dengan membantu sesebuah perniagaan muncul pada bahagian atas search engine results page setiap kali pelanggan mencari sesuatu produk atau perkhidmatan berdasarkan kata kunci atau keyword.
Bagi yang belum tahu, Google Ads adalah iklan yang memerlukan pengiklan untuk membayar setiap kali iklan diklik oleh pengguna internet. Ini memberi kelebihan kepada pengiklan untuk mengawal kos pengiklanan mengikut bajet.
Keberkesanan kempen iklan di Google Ads juga mudah untuk dijejak dengan laporan terperinci. Antara data yang ditawarkan adalah kadar klik serta kadar interaksi daripada pengguna internet.
7. Gunakan Pemasaran SMS
Banyak jenama yang telah manfaatkan pemasaran SMS untuk mencapai pelanggan dan menggandakan potensi perniagaan secara berkesan.
Ramai usahawan yang menggunakan SMS untuk sampaikan pelbagai kandungan bermanfaat seperti pengesahan pembayaran, hebahan jualan, peringatan temujanji dan sebagainya.
SMS juga mempunyai pelbagai kelebihan yang membuatkannya kekal sebagai platform pemasaran yang masih relevan walaupun sudah lama wujud. Antaranya ialah kadar bukaan (open rate) yang menghampiri 100%, lebih ringkas dan mudah dikendalikan serta memakan bajet yang rendah. Jangan tak percaya, anda boleh hantarkan SMS kepada pelanggan dengan harga serendah RM 0.08 sahaja!
Anda juga mudah untuk menjejaki keberkesanan kempen SMS melalui laporan yang terperinci. Menerusi laporan tersebut, anda boleh jejak kadar bukaan, kadar klik link dan sebagainya.
8.Manfaatkan Facebook Ads
Untuk membina kempen Facebook mungkin memakan sedikit masa, namun ia mampu memberikan pulangan yang lumayan buat perniagaan.
Facebook Ads berfungsi dengan membantu usahawan mencapai pelanggan tertentu berdasarkan beberapa faktor seperti jantina, umur dan lokasi. Menawarkan format iklan seperti video, carousel ads, dan gambar, pengiklan perlu membayar Facebook setiap kali iklan diklik oleh pengguna.
Selain berpeluang untuk menghasilkan iklan dengan pelbagai format berbeza, pengiklan juga dapat membuat perbandingan mengenai keberkesanan iklan yang digunakan.
9. Kekal Fleksibel di Pelbagai Platform
Disebabkan kebanyakan pelanggan berada di atas talian, mereka boleh ada di mana-mana platform. Ditambah pula dengan trend teknologi yang sering berubah, anda juga harus peka dan kenalpasti saluran yang mempunyai ramai audiens.
Oleh sebab itulah jenama anda juga perlu libatkan diri dan hadir di pelbagai platform atas talian. Buat sedikit kajian untuk kenalpasti platform yang digunakan oleh pelanggan sasaran.
Sebagai contoh, sekiranya jenama anda sesuai untuk pengguna berumur 15 hingga 21 tahun, anda perlulah utamakan platform yang golongan ini sering gunakan seperti TikTok dan Twitter. Sementara itu, pengguna berumur 35 ke atas mungkin lebih banyak menghabiskan masa di Facebook dan LinkedIn.
10.Hasilkan Kandungan Visual
Visual adalah elemen yang penting bagi menarik minat pelanggan. Kajian mendapati kadar klik bagi pemasaran e-mel boleh meningkat sehingga 300% sekiranya ditambah dengan video yang menarik. Selain itu, dengan menambah video pada website, pengguna juga didapati lebih cenderung untuk habiskan masa sehingga 88% lebih lama.
Sekiranya anda tidak mempunyai kepakaran dalam edit video, anda tak perlu risau, gunakan saja Lumen5 untuk hasilkan video yang menarik untuk jenama anda. Terdapat pelbagai pilihan templat yang anda boleh gunakan untuk pelbagai tujuan seperti promosi, video tutorial dan sebagainya.
11.Gunakan Google Business Profile
Google Business Profile adalah business tool yang berguna bagi yang ingin perkenalkan jenama kepada pengguna internet.
ia membantu usahawan dalam perkenalkan bisnes dan sekaligus menjadi platform bagi pelanggan untuk tinggalkan review di Google Search dan Google Maps untuk tatapan pengguna internet lain.
Untuk memastikan jenama anda lebih terkenal dan muncul pada ranking yang tinggi di kedua-dua laman Google ini, anda perlu cetuskan galakan untuk pelanggan tinggalkan review.
Terdapat pelbagai kaedah yang anda boleh cuba untuk dalam pemasaran digital bagi meningkatkan potensi perniagaan anda. Dengan sedikit latihan dan usaha, anda pasti dapat menguasai teknik pemasaran yang berkesan untuk jenama anda.
Disebabkan ada kelebihan serta kekurangannya yang tersendiri, sesetengah kaedah juga mungkin boleh memberikan pulangan yang berbeza bergantung kepada jenis perniagaan yang anda jalankan.
Jadi, adalah tanggungjawab anda sebagai pemasar untuk kenalpasti tips pemasaran digital yang paling berkesan untuk mencapai pelanggan serta mengembangkan jenama. Selamat mencuba!