Pada zaman serba moden ini, perjalanan udara telah memberikan kemudahan kepada semua orang. Kehadiran pesawat menjadi pilihan utama setiap individu yang inginkan pengangkutan yang lebih selesa demi urusan perjalanan yang lebih lancar. Permintaan bagi pengangkutan kapal terbang secara domestik juga telah meningkat secara signifikan.
Menyedari akan kepentingan penerbangan berkos rendah untuk sektor pelancongan domestik dan keperluan pelajar, MyAirline telah memperkenalkan program pelajar yang inovatif untuk memberikan peluang lebih baik kepada mereka.
MYAirlines, syarikat penerbangan tambang rendah terkini di Malaysia, baru-baru ini memperkenalkan satu program yang memberi manfaat kepada para pelajar di negara ini.
Program yang dikenali sebagai MYAirline Students ini membuka peluang kepada pelajar tempatan dan antarabangsa yang sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia dalam lingkungan usia 16 hingga 26 tahun.
Pelancaran program yang berprestij ini telah berlangsung di terminal KLIA2 dengan kehadiran Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Program ini memberikan peluang kepada para penuntut univesrsiti ke destinasi masing-masing dengan lebih jimat. Menerusi inisiatif ini, MYAirline ingin memberikan peluang kepada pelajar agar dapat merantau tanpa membebankan mereka terutamanya dari segi kewangan.
Untuk penerbangan ke destinasi di Malaysia Barat, MYAirline menawarkan kadar tambang tetap sebanyak RM80 untuk satu hala, dan ini termasuk semua perkhidmatan serta bagasi percuma seberat 15kg. Manakala, untuk penerbangan ke destinasi di Malaysia Timur, kadar tambang tetap adalah RM130 untuk satu hala termasuk bagasi percuma seberat 15kg.
Selain itu, MYAirline juga telah meluaskan jaringan penerbangannya dengan menambah destinasi dalam dan luar Malaysia. Kini anda boleh terbang dari Kuala Lumpur ke pelbagai destinasi menarik seperti Kota Bharu, Pulau Pinang, Langkawi, Sibu, Miri, Kuching, Kota Kinabalu, Tawau, dan Bangkok.
Manfaat Menarik Program MYAirline Students
Dalam inisiatif terbaharu MYAirline ini, pelbagai manfaat menarik juga diberikan kepada peserta. Mereka akan menikmati diskaun sebanyak 20% bagi tiket penerbangan dan elaun bagasi seberat 15kg percuma untuk setiap penerbangan domestik yang ditawarkan oleh MYAirline.
Tiket penerbangan satu hala ke pelbagai destinasi ini boleh didapati dengan harga serendah RM65, menjadikannya pilihan yang sangat berpatutan untuk pelancong dan pelajar yang ingin menjelajahi tempat-tempat menarik tersebut.
Ini merupakan satu kelebihan yang penting, terutamanya bagi pelajar yang tinggal berjauhan daripada kampung halaman masing-masing seperti pelajar Sabah atau Sarawak.
Secara tidak langsung, program pelajar MyAirline menjadi bukti komitmen syarikat ini dalam menyokong perkembangan pendidikan dan pelancongan. Dengan tawaran harga tiket yang lebih rendah dan elaun bagasi percuma, MyAirline berharap dapat mendorong para pelajar untuk meluaskan pandangan mereka melalui pengalaman perjalanan yang lebih selesa dan kurang membebankan.
Bagi mendapatkan manfaat program ini, pelajar IPT yang memenuhi syarat tertentu perlu melalui dua proses pendaftaran yang mudah. Pertama, mereka perlu mendaftar sebagai ahli ganjaran MYAirline dengan menyediakan dokumen sokongan seperti:
- Salinan kad pengenalan atau pasport (bagi pelajar antarabangsa)
- Kad pelajar
- Surat pengesahan dari Universiti/kolej
- Gambar digital berukuran pasport
Setelah selesai proses yang pertama, pelajar dikehendaki untuk mengisi borang program MYAirline Students bagi mendaftar secara rasmi.
Namun, pemohon perlu sedia maklum bahawa terdapat yuran tahunan sebanyak RM20 yang dikenakan untuk menyertai program MYAirline Students ini. Bagi pemohon yang telah berjaya mendaftar akan menerima kad pelajar MYAirline sebagai pengenalan mereka.
Walaupun bagaimanapun, RM20 tersebut akan dikecualikan mulai 30 Jun hingga 31 Julai 2023 sempena pelancaran program ini.
Setelah permohonan berjaya, kad pelajar MYAirline sah untuk digunakan selama setahun. Untuk memperbaharui keahlian, pelajar hanya perlu kemukakan surat pengesahan terkini dari institusi masing-masing.
Untuk makluman, syarikat penerbangan ini turut meletakkan beberapa garis panduan untuk nikmati faedah program. Antaranya ialah pembelian tiket secara langsung di kaunter MYAirline dan tidak boleh dibeli dalam talian. Pelajar juga dikehendaki membeli tiket sekurang-kurangnya 28 hari sebelum tarikh penerbangan.
Bagi pelajar yang memerlukan penerbangan segera, mereka turut berpeluang untuk mendapatkan tiket di kaunter daftar masuk di lapangan terbang MYAirline, namun tertakluk kepada ketersediaan.
Para pelajar yang berminat untuk ketahui dengan lebih lanjut mengenai tawaran program ini boleh rujuk kepada laman Soalan Lazim (FAQ) serta laman web program MYAirline.
Sumber: Soyacincau