Tak cukup dengan TikTok Shop, aplikasi popular yang berasal dari China ini mula menghidu peluang untuk menawarkan pekhidmatan penstriman muzik.

Pada awal Julai, TikTok telah melancarkan TikTok Music iaitu aplikasi penstriman muzik dengan ciri unik bagi menyaingi platform popular sedia ada seperti Spotify dan Apple Music.

Setelah melancarkan di Indonesia dan Brazil yang masing-masing merupakan pasaran kedua dan ketiga terbesar bagi aplikasi popular ini, TikTok Music juga sedang menguji aplikasi tersebut di negara lain seperti Singapura, Mexico dan Australia.

tiktok music

Baru-baru ini, TikTok turut mengumumkan perjanjian perlesenan yang diperluaskan (expanded licensing agreement) dengan Warner Music Group bagi mengembangkan kandungan muzik dalam aplikasi.

ByteDance juga telah menghapuskan penggunaan percuma di Resso, iaitu sebuah platform penstriman muzik milik syarikat induk tersebut.

Meskipun baru dilancarkan, pakar industri melihat potensi yang besar pada aplikasi penstriman muzik TikTok bagi menyaingi jenama sedia ada. Sebuah kajian turut melaporkan bahawa 41 peratus pengguna berusia 16 hingga 19 tahun menggunakan TikTok sementara 48 peratus lagi masih menggunakan Youtube untuk terokai muzik baharu.

“TikTok mempunyai kelebihan customer base yang cukup besar. Jenama ini ada kemampuan untuk dorong pengguna sedia ada untuk melanggan TikTok Music,” jelas Jonathan Woo, pakar analisa dari Philip Securities Research.

Penganalisa muzik, Tatiana Cirisano pula berkata kebanyakan pengguna mendengar muzik di TikTok namun tiada keinginan untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai artis tersebut.

Jadi, aplikasi muzik terbaharu dari TikTok dilihat mampu merapatkan jurang ini dan membuatkan muzik baharu lebih mudah dikenali.

Dijangka bakal menarik pengguna millenial, aplikasi baharu ini akan memberi kemudahan kepada pengguna untuk simpan, muat turun dan kongsikan lagu kegemaran mereka dari TikTok.

Selain menawarkan penstriman muzik secara online dan offline, aplikasi terbaharu dari TikTok ini juga mengandungi ciri sosial yang membolehkan pengguna berinteraksi dan berkongsi minat dengan penggemar muzik lain.

Dengan Spotify memegang pasaran streaming global sebanyak 31 peratus, ada juga sesetengah pakar industri yang berpendapat TikTok Music merupakan risiko yang rendah bagi Spotify dan Apple Music.

Jenama-jenama besar ini juga dilihat mempunyai ramai pengguna setia yang melanggan pakej premium. Tambahan pula harga langganan bagi ketiga-tiga platform ini tidak banyak bezanya.

Sebagai contoh di Indonesia, harga langganan bulanan bagi Spotify Premium adalah 54,990 Rupiah (RM 16.59), manakala TikTok Music pula ditawarkan dengan harga 49,000 Rupiah (RM 14.78).

Sumber : CNBC

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top