Bila kita berbicara tentang surirumah, kita pasti menggambarkan seorang ibu yang sibuk mengurus rumah serta anak-anak.

Disebabkan rutin yang berulang setiap hari, kebanyakan daripada mereka terpaksa bergantung kepada nafkah daripada suami semata-mata.

Namun, 5 usahawan ini membuktikan bahawa surirumah juga boleh menjadi businesswoman dan membina empayar perniagaan sendiri.

Jom kita ikuti kisah 5 jenama tempatan popular yang dibangunkan oleh surirumah sehingga berjaya mencapai hasil jualan sebanyak jutaan ringgit.

Membanggakan! Ini 5 Jenama Tempatan Yang Diasaskan Oleh Surirumah

1. Mokti’s Ice Cream

Idea untuk memulakan bisnes aiskrim gula apong bermula apabila Siti Fatimah Adnan, seorang surirumah dari Perlis teringin untuk menikmati aiskrim tersebut namun sukar untuk didapati di Semenanjung.

Ketika beliau menetap di Bintulu, aiskrim dengan rasa manis berlemak dengan aroma tersendiri itu memang mudah untuk didapati.

Jenama Tempatan

Fatimah pun mula mengikuti kursus pembuatan aiskrim dan mendapatkan maklum balas saudara mara sebelum menjualnya kepada orang ramai.

Pada fasa awal perniagaan, beliau hanya membuka kedai aiskrim kecil bersebelahan sebuah kedai serbaneka untuk menawarkan soft ice cream dengan harga RM 2 secawan.

Walaupun kedai tersebut kecil, namun lokasinya cukup strategik sehingga aiskrim homemade Fatimah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

Pada tahun 2019, beliau secara rasminya menjenamakan produk aiskrimnya sebagai Mokti’s Ice Cream. Nama tersebut diambil daripada nama gelarannya di kalangan ahli keluarga mertuanya di Sarawak iaitu Mok Fatimah.

Fatimah akui tahun pertama dan kedua selepas memulakan perniagaan adalah cabaran yang besar buatnya. Namun, beliau bersyukur kerana mendapat sokongan daripada suami serta ahli keluarga yang lain.

Kini, Mokti’s Ice Cream menjadi jenama pemanis mulut kegemaran ramai dan telah mempunyai lebih 91 cawangan di seluruh negara. Lebih membanggakan lagi, Mokti’s Ice Cream juga telah menembus pasaran antarabangsa apabila membuka cawangan pertamanya di Istanbul, Turkiye pada Februari 2022.

Menawarkan sehingga 69 jenis produk, Mokti’s Ice Cream diperbuat daripada 95 peratus gula apong daripada Sarawak untuk mengekalkan keaslian rasanya. Kualiti serta keunikan yang ditawarkan oleh jenama ini menyerlahkan lagi Mokti sebagai jenama aiskrim tempatan pilihan ramai.

Jenama Tempatan

Ibu kepada 3 orang cahaya mata ini juga telah mendapat pengiktirafan daripada beberapa anugerah iaitu The Brand Laureate dan Outstanding Young Woman Enterprise 2022 atas pencapaiannya membangunkan jenama aiskrim ini.

2. Bantal Leyna

Sebelum memulakan bisnes jualan bantal, Siti Nastasha Nordin merupakan seorang jurutera. Namun, komitmen kerjayanya membuatkan dia terpaksa berjauhan dengan suami. Oleh itu, beliau memutuskan untuk berhenti kerja dan fokus untuk menjadi surirumah.

Ketika sedang hamil anak pertama, Nastasha gigih menjual kelengkapan pembarut untuk kegunaan ibu bersalin secara dalam talian.

Pada tahun 2017, beliau menyedari bahawa masih belum ada penjualan keperluan bilik tidur secara atas talian. Jadi, beliau menggunakan peluang ini untuk menghasilkan sebuah bantal dengan ciri-ciri unik.

Jenama Tempatan

Diperbuat daripada material yang berkualiti, Leyna juga menjamin bahawa bantal mereka boleh dicuci menggunakan mesin basuh dan akan kekal dalam bentuk yang sempurna selepas pengeringan.

Corak bantal Leyna yang elegan dan menjadi trademark bagi jenama tempatan ini tidak hanya membuatkan bantal ini menarik untuk dimiliki, malah pelanggan juga tidak perlu membeli sarung bantal lain.

Berbekalkan pengalaman berniaga secara online, Nastasha turut mewujudkan sistem ejen yang teratur demi kelancaran bisnes. Selain itu, beliau turut memberi bimbingan, penetapan prestasi utama (KPI), serta ganjaran untuk kekalkan prestasi para ejen.

Jenama Tempatan

Walaupun tidak meletakkan sasaran jualan yang tinggi, namun Nastasha cukup terharu apabila jenama ini mendapat sambutan yang hangat sehingga satu juta unit bantal berjual terjual hanya selepas 3 tahun diperkenalkan.

Kejayaan bantal Leyna membuktikan bahawa dengan keazaman, pengalaman serta pengurusan perniagaan yang baik, surirumah juga mampu menjana pendapatan yang lumayan.

Sehingga kini, Leyna telah beroperasi selama 5 tahun dengan pasukan yang terdiri daripada 100 ketua ejen dan kira-kira 9,000 ejen dan dropship di 3 buah negara.

Leyna terus mara ke hadapan dan bermatlamat untuk meneraju pasaran kelengkapan rumah menjelang tahun 2030.

3. Supercube

Padat dengan ramuan berkualiti dan tinggi khasiat, Supercube kini menjadi produk herba kegemaran ramai tanpa mengira usia. Supercube lahir pada waktu yang paling mencabar buat semua pemilik bisnes iaitu ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berpegang pada prinsip ‘krisis juga mewujudkan peluang keusahawanan’, Supercube yang dibangunkan oleh Hayfa Amira Ahmad Kamal serta suami, Aizuddin Alif Yusof hadir untuk membantu ramai orang menjalani kehidupan yang lebih baik.

Jenama Tempatan

Seperti pengasas Leyna, Hayfa juga merupakan seorang bekas jurutera sebelum memulakan perniagaan dari rumah. Ketika menjadi seorang surirumah, Hayfa pernah menjual pelbagai produk seperti mainan kanak-kanak, karpet dan sambal.

Dalam semua perniagaan yang pernah dicuba, Hayfa dapati bisnes buah-buahan adalah antara yang paling menjadi.

Walaupun sudah sampai ke fasa pembukaan syarikat dan ada aplikasi sendiri, namun bisnes ini terkubur akibat kesukaran untuk fokus dan komitmen untuk menjaga anak.

Daripada situ, Hayfa merasakan perlunya wujud satu sistem yang boleh memberi sokongan kepada wanita terutamanya pada ibu untuk mulakan bisnes.

Menggunakan pengalaman sebagai surirumah, beliau mula mengenalpasti keperluan dan kekangan para ibu dalam memulakan perniagaan.

Daripada situ, terlahirlah Supercube sebagai produk minuman herba dalam bentuk kiub yang pertama di Malaysia.

Jenama Tempatan

Daripada 12 orang ejen, kini Pilot Ambassador bagi jenama ini berkembang kepada lebih 28 ribu orang di serata negara!

Bukan sahaja mampu mencapai hasil jualan sebanyak lebih RM 30.5 juta selepas setahun dilancarkan, malah jenama ini juga mampu melahirkan 15 orang usahawan Supercube pada tahun 2022! Kini, Supercube terus melangkah untuk lahirkan lebih ramai jutawan sambil bermatlamat untuk menjadi platform terbesar yang boleh membantu orang berniaga tanpa modal.

4. Nurraysa

Sebelum bergelar jutawan kosmetik, Nur Aini Zolkepeli merupakan seorang surirumah yang menjual rumpai laut sambil menguruskan rumahtangga.  

Bermula dengan duit modal sebanyak RM 500, Nur Aini cuba membuat sabun rumpai laut dari dapur rumahnya. Rezeki tak salah alamat, produk sabun Nur Aini mula mendapat sambutan sehingga mencecah hasil jualan sebanyak 5 angka sebulan.

Bila sabun rumpai lautnya semakin terkenal, bisnesnya mula terjejas akibat ramai pesaing.

Jadi, Nur Aini pun bercadang untuk kembangkan perniagaannya dengan menubuhkan jenama kosmetik yang mesra wuduk dan bebas bahan kimia iaitu Nurraysa.

Untuk mantapkan lagi strategi perniagaan, Nur Aini telah menyertai program keusahawanan Datuk Dr Azizan Osman. Daripada situ, beliau makin berani untuk luaskan bisnes sambil menawarkan peluang menjana pendapatan terutamanya kepada suri rumah yang pernah menghadapi situasi yang sama sepertinya.

Kini, Nurraysa menjadi sebuah jenama tempatan yang terkenal dengan jumlah stokis, ejen dan dropship mencecah 200,000 orang di Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand.

Bukan sahaja mampu melahirkan seramai 13 orang jutawan, malah jenama ini juga telah menerima pelbagai anugerah seperti Excellence in Halal Beauty Product dan Emerging Woman Entrepreneur of the Year, The Brand Laureate Halal World Best Brand 2018 (Best in Consumer – Halal Beauty Cosmetic) dan Asia 100 Favourite Products oleh Asia Pasific TOP Excellence Brand.

5. Siti Khadijah

Telekung yang berkualiti mampu memberikan keselesaan kepada muslimah ketika beribadah. Antara jenama telekung yang popular di Malaysia adalah Siti Khadijah yang diasaskan oleh Puan Hajah Padzilah Enda Sulaiman, seorang suri rumah yang berasal dari Perak.

Terkenal dengan slogan ‘Lambang Cinta Abadi’, Siti Khadijah dinamakan bersempena dengan nama isteri Nabi Muhammad SAW. Bisnes jualan telekung ini bermula secara kecil-kecilan dari rumah pada tahun 2009 untuk menyara keluarga.

Selepas suaminya bersara, mereka cuba untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan tetapi tidak berjaya. Pasangan suami isteri ini terpaksa mencuba pelbagai bisnes seperti menjual barangan kosmetik dan pernah menyertai MLM.

Sehinggalah pada suatu hari, Puan Padzilah mendapati satu masalah yang sering dialami wanita untuk mendapatkan telekung yang selesa. Ketika itu, beliau mendapat banyak permintaan untuk menjahit semula telekung di bahagian muka.

Menghidu peluang yang ada, Puan Padzilah nekad untuk memulakan perniagaan telekung dengan modal sebanyak RM 10,000.

Penjualan 200 pasang telekung yang pertama adalah cabaran yang besar buat mereka sehingga mereka terpaksa menjualnya kepada agensi pelancongan yang mengendalikan rombongan umrah. Namun, produk telekung Puan Padzilah masih kurang mendapat sambutan.

Walaupun pernah dikritik kerana menjenamakan telekung dan menjualnya dengan harga yang agak mahal, namun Puan Padzilah tak cepat melatah. Sebaliknya, beliau telah meminta seorang wartawan untuk menulis kisah perniagaan telekungnya.

Menurut Puan Padzilah, telekung berkualiti mampu menggalakkan lebih ramai wanita beribadah. Memang tidak dinafikan rekaannya yang elegan yang berkualiti memang sangat sesuai untuk dijadikan hadiah, hantaran serta ganjaran untuk diri sendiri supaya perbanyakkan beribadah.

Sejak itu, telekung Siti Khadijah mula mendapat perhatian ramai dan muncul di kaca televisyen. Selain itu, jenama Siti Khadijah juga semakin terkenal berkat pemasaran yang baik dan penjualan secara atas talian.

Telekung Siti Khadijah juga pernah menjadi bualan warganet apabila jenama ini memperkenalkan vending machine bagi menjual telekung di kawasan rehat lebuh raya.

Taktik-taktik bijak ini telah membawa tuah kepada jenama telekung SK sehingga berjaya terjual lebih daripada 50,000 pasang dengan hasil jualan mencecah RM 10 juta ringgit setakat tahun 2022.

Sehingga kini, telekung Siti Khadijah telah mempunyai lebih daripada 40 cawangan di Malaysia dan turut mendapat permintaan daripada luar negara seperti Kanada, Jepun, United Kingdom dan Australia.

Dengan minat serta azam yang kuat untuk mengubah nasib, sesiapa sahaja mampu menggapai kejayaan.

Kisah-kisah penuh inspirasi daripada 5 usahawan ini membuktikan bahawa usaha serta strategi perniagaan yang baik adalah penting untuk membangunkan sebuah jenama tempatan yang terkenal.

Semoga kisah kejayaan wanita-wanita hebat ini mampu menyuntik inspirasi buat anda untuk terus berusaha dalam membangunkan perniagaan lebih-lebih lagi di kalangan wanita.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top