Pemilik bisnes mungkin ingat bila mereka tawarkan pelbagai jenis produk, ia boleh menarik ramai pelanggan untuk datang.

Banyak bisnes yang memilih cara ini kerana menganggap ia boleh mendatangkan keuntungan yang besar.

Namun, ramai yang tak tahu cara ini boleh buatkan pelanggan rambang mata sehingga keliru untuk memilih produk. Akibat rasa terbeban, keadaan ini boleh buatkan pelanggan pergi tanpa membeli apa-apa!

Inilah yang dinamakan sebagai Paradox of Choice dalam dunia bisnes. Teori ini sebenarnya telah dibuktikan oleh pakar psikologi sendiri.

Tak Mustahil Untuk Berjaya Dengan Satu Produk

Walaupun anda hanya ada satu produk untuk ditawarkan, jangan anggap anda tak boleh berjaya seperti usahawan lain!

Sebaliknya, adalah strategi yang baik untuk sesebuah bisnes konsisten dalam bangunkan satu produk terlebih dahulu. Khususnya untuk bisnes baharu, adalah penting untuk anda kuatkan branding dan kualiti produk sebelum kembangkannya lagi.

Lagipun, tak mustahil untuk bisnes anda dikenali ramai hanya dengan satu produk.

Khairul Aming yang sudah terkenal itu pun hanya keluarkan produk kedua selepas tiga tahun. Tambahan pula, sudah ramai usahawan yang menjadi jutawan hanya dengan menjual satu produk sahaja!

Setiap kali tibanya bulan Ramadan, anda juga pasti perasan yang kebanyakan gerai yang beratur panjang biasanya menjual satu produk sahaja seperti Nasi Arab Lamb Shank, Air Sharbat Pakistan dan macam-macam lagi.

paradox of choice

Sumber : Viral Perak

Paradox of Choice Dalam Bisnes

Sebuah eksperimen telah dilakukan oleh Columbia Business School dan Stanford University untuk membuktikan bahawa fokus kepada produk yang lebih terhad boleh meningkatkan prestasi bisnes.

Eksperimen ini melibatkan dua buah gerai. Gerai pertama menjual 6 jenis produk, manakala gerai kedua menjual 24 jenis produk.

Hasilnya, gerai dengan pilihan produk yang banyak berjaya menarik 60% pengunjung untuk datang ke kedai, sedangkan gerai dengan produk terbatas hanya berjaya menarik 40% pengunjung.

Walaupun gerai dengan banyak pilihan produk berjaya menarik lebih banyak pengunjung, namun hanya 3% daripada mereka yang akhirnya membeli.

Sementara itu, gerai dengan 6 jenis produk berhasil mencapai jualan sehingga 30% iaitu 10 kali ganda berbanding gerai kedua.

Jadi, Boleh Tak Tawarkan Produk Lain di Kedai?

Walaupun wujudnya Paradox of Choice ini, namun ini tidak bermakna anda tak boleh tawarkan lebih daripada satu produk.

Sebaliknya, anda mungkin boleh tawarkan produk yang boleh melengkapi antara satu sama lain. Sebagai contoh, jika anda menjual kopi, jangan jual kopi semata-mata.

Untuk padankan dengan kopi, anda boleh tawarkan menu lain seperti kek, kuih-muih atau pastry.

Jangan lupa untuk terus pantau sambutan produk yang anda perkenalkan supaya dapat dibaiki dari semasa ke semasa.

Kalau nak tahu, inilah salah satu strategi yang digunakan oleh Khairul Aming sendiri. Walaupun produk Sambal Nyet sudah terjual sehingga ribuan botol, beliau tidak terburu-buru untuk lancarkan produk lain.

Katanya, Dendeng Nyet dipilih sebagai pelengkap kepada produk pertamanya iaitu Sambal Nyet.

Jadi, pelanggan bolehlah padankan dendeng daging bersama Sambal Nyet yang pedas.

paradox of choice

Tips Tentukan Jumlah Variasi Produk

Sebenarnya, tiada jumlah yang tetap untuk jumlah produk yang sesuai dalam sesebuah bisnes. Ada bisnes yang cukup dengan 4 hingga 5 produk.

Namun, ada juga model bisnes yang memerlukan puluhan bahkan ratusan produk. Inilah yang peniaga perlu pertimbangkan dengan baik demi kelangsungan bisnes.

Untuk membantu anda tentukan jumlah produk yang ideal, di sini kami ingin kongsikan beberapa tips penting.

Kenalpasti Target Market

Pertama sekali, anda perlu bahagikan pelanggan kepada beberapa kategori seperti usia, jantina, gelagat pembelian dan kategori lain yang relevan dengan strategi bisnes.

Setelah itu, tentukan segmen yang menjadi target utama dan teliti semula minat mereka secara lebih dekat. Kemudian, anda boleh fokus pada pembuatan produk yang sesuai dengan keperluan mereka.

Dengan cara ini, anda tak perlu bersusah payah membuat terlalu banyak produk semata-mata untuk memenuhi keperluan semua golongan.

Cukuplah dengan membuat variasi produk yang boleh dijual ke target market yang paling menguntungkan.

Minta Pendapat Pelanggan

Jangan malu untuk dapatkan saranan daripada pelanggan kerana mereka juga yang akan gunakan produk anda.

Selain untuk mendapatkan maklumbalas, anda juga boleh gunakan poll atau survey untuk meminta pelanggan usulkan produk yang boleh penuhi keperluan mereka.

Sebagai contoh, jenama kosmetik berasaskan bahan organik iaitu HYGR aktif berinteraksi dengan pelanggan mereka menerusi Telegram.

Dari pemilihan produk sehinggalah ke rekaan botol, HYGR turut libatkan pelanggan dalam penghasilan produk baharu.

Ini bukan sahaja membuatkan pelanggan teruja untuk mencuba produk yang mereka ilhamkan sendiri, malah ini juga membantu HYGR untuk membina komuniti yang kuat bersama pelanggan.

paradox of choice

Hadkan Variasi Produk

Untuk mengelakkan pelanggan keliru ketika memilih produk, setiap produk yang anda tawarkan perlulah mempunyai perbezaan yang signifikan.

Jangan tawarkan produk yang terlalu mirip dengan variasi lain. Sebaliknya, tawarkan produk dengan ciri yang berbeza dan fokus kepada keperluan pelanggan.

Ini akan memudahkan pelanggan memilih dan memastikan produk yang anda tawarkan mempunyai nilai tambah yang jelas.

Kesimpulannya, pilihan yang banyak mungkin boleh tarik pengunjung yang ramai, tetapi ia tidak akan dapat membuatkan pengunjung membeli semua benda yang kita jual.

Disebabkan keliru, kemungkinan besar pelanggan juga tidak akan beli apa-apa daripada kita!

Oleh sebab itu, adalah penting untuk anda mantapkan kualiti produk, kuatkan branding dan lakukan kajian sebelum pelbagaikan produk.

Sumber : Sahabat Pegadaian

Baca Juga : 6 Cara Untuk Bina Hubungan dan Menangi Hati Pelanggan

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top