Emas boleh dikira sebagai aset fizikal yang kecil dan berharga. Berbanding membeli aset seperti tanah atau rumah, emas boleh dikumpul sedikit demi sedikit bermula 1 gram.
Apabila simpanan emas sudah banyak, ia boleh dijual untuk ditukarkan kepada wang atau aset lain yang diinginkan pada masa akan datang.
Ia juga bukanlah seperti duit kertas yang nilainya boleh berubah dengan ketara. Sebaliknya, emas mempunyai nilai yang stabil dalam jangka masa panjang.
Namun, pelaburan dalam bentuk emas ada risikonya tersendiri terutamanya pada pelabur yang kurang ilmu.
Pada masa ini, terdapat banyak syarikat yang menawarkan model pelaburan atau simpanan emas. Jika tidak cekap menilai, memang mudah untuk seseorang tertipu.
Perkara ini diakui sendiri oleh perunding emas berpengalaman selama lebih 15 tahun iaitu Syukor Hashim. Dalam satu perkongsian di Facebook, beliau telah menyenaraikan beberapa model pelaburan emas yang mencurigakan.
Ayuh kita semak satu-persatu.
5 Taktik Penipuan Dalam Pelaburan Emas Yang Berleluasa di Malaysia
1. Teknik 30:70
Syarikat emas yang menggunakan teknik ini akan meminta pembeli membayar 30% nilai harga emas, kemudian mereka akan bawa emas tersebut ke Ar-Rahnu dan digadaikan.
Duit gadaian pula akan diambil oleh syarikat. Emas yang berada dalam simpanan Ar-Rahnu pula adalah atas nama pembeli.
Ini bermakna, pembeli akan terjebak dengan hutang dan upah simpanan.
Walaupun taktik ini sudah jarang dilakukan, namun ia merupakan salah satu jalan pintas yang menguntungkan kepada banyak syarikat suatu ketika dahulu.
2. Emas Syarikat Yang Pegang
Model pelaburan ini pula memerlukan pelanggan untuk serahkan emas yang dibeli kepada syarikat. Kononnya, syarikat lebih berpengalaman untuk berdagang dan membuat jual beli emas mengikut analisis semasa.
Pelanggan juga sering di’brainwash’ bahawa mereka akan kurang untung jika simpan emas sendiri.
Syarikat juga berjanji untuk berkongsi keuntungan dengan pelanggan setiap bulan.
3. Pelanggan Beli Emas Pada Harga Mahal
Dalam model ini, syarikat akan menawarkan pembelian emas pada harga yang lebih mahal dari harga pasaran kepada pelanggan.
Pelanggan boleh simpan emas dan mereka akan dapat bayaran untung setiap bulan daripada syarikat. Biasanya, perjanjian ini adalah dalama bentuk kontrak selama 3 bulan. Setelah tamat kontrak, pelanggan boleh jual semula emas ikut harga semasa.
Pelanggan juga ada pilihan untuk perbaharui kontrak selama 3 bulan untuk dapat untung lagi pada tempoh tersebut.
4. Operasi Emas ‘Delay’
Ada juga syarikat yang mengumpan pelanggan dengan model ini. Kononnya, pelanggan perlu tunggu selepas membeli emas. Semakin lama mereka sanggup tunggu, semakin murah harga yang mereka akan dapat.
Sebagai contoh, jika harga emas adalah RM 340 segram, ia akan menurun kepada RM 335 segram. Namun, jika pelanggan boleh tunggu sehingga satu bulan, harganya akan jatuh kepada RM 320 segram.
Kemudian bila emas sudah ada di tangan pelanggan, syarikat akan buka tawaran lain. Kononnya, mereka akan beli semula pada harga yang lebih tinggi dari harga pasaran.
Namun, pelanggan perlu tunggu pula pembayaran dalam masa seminggu hingga sebulan. Semakin lama menunggu, pelanggan dikatakan akan mendapat harga jualan semula yang lebih tinggi.
Bagi yang belum tahu, ini merupakan model pelaburan emas yang dipraktikkan oleh scammer emas yang dikenali sebagai Tok Belagak.
Walaupun dia sudah ditahan polis pada tahun 2016, namun penipuan yang dilakukan masih memberi kesan kepada pelabur kerana ia melibatkan kerugian sehingga jutaan ringgit.
5. Beli Emas Sikit, Tapi Dapat Banyak
Model pelaburan ini pula membolehkan pelanggan dapat gandaan emas walaupun beli pada kuantiti sedikit.
Jadi apabila harga emas naik, pelanggan boleh menjualnya untuk dapat keuntungan lumayan.
Namun, masalah mula timbul apabila pelanggan berlumba-lumba untuk menjual pada masa yang sama. Kesannya, pelanggan tiada pilihan kecuali terpaksa menunggu disebabkan pembayaran ‘tersangkut’ selama beberapa bulan.
Kesimpulannya, orang ramai perlulah berhati-hati sekiranya ingin membuat pelaburan emas. Tambahan pula, ramai scammer yang menanti peluang untuk memperdaya pelanggan lebih-lebih lagi yang pertama kali mahu melabur.
Menurut Syukor, urus niaga emas perlulah telus dan straightforward. Sekiranya model yang ditawarkan tidak jelas walaupun sedikit, ia boleh memberi masalah kepada pelanggan.
Jangan pula mudah termakan pujukan daripada syarikat yang melantik ustaz atau pensyarah universiti sebagai penasihat kerana ia masih tidak memberi sebarang jaminan kepada ketelusan model pelaburan yang ditawarkan.
Seperkara lagi, beliau juga berpegang kepada kata-kata “beli emas mesti ada emas”. Dalam erti kata lain, pelanggan dinasihatkan untuk berurusan dengan syarikat emas yang membolehkan pelanggan simpan sendiri emas yang dibeli.
Jangan mudah terikut-ikut atau terjebak dengan syarikat yang menawarkan untuk simpan atau dagangkan emas dengan janji yang kononnya mereka boleh gandakan nilai emas.
Sebaliknya, cari dahulu ilmu dan minta nasihat daripada orang yang dipercayai dan lebih berpengalaman demi pelaburan yang lebih selamat.
Sumber : Facebook Syukor Hashim
Baca Juga : Dianggap Tak Patuh Syariah, Ini Penjelasan Quantum Metal Mengenai Isu Dengan ISRA