Bagi memberikan keyakinan tambahan buat para pelanggan, FamilyMart Malaysia telah menghentikan jualan minuman beralkohol di semua 360 cawangannya.

Menurut Pengarah Urusan Maxincome Sdn Bhd, Chia Lik Khai, usaha berkenaan telah dijalankan sejak Mac lepas agar pelanggan dapat berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was di setiap premis mereka.

QL Maxincome Sdn Bhd merupakan pemegang francais kafe kedai serbaneka FamilyMart yang popular dengan jualan makanan segera ala Jepun seperti corndog, oden, onigiri, sofuto dan sebagainya.

“Minuman alkohol adalah penyumbang kecil dalam perniagaan kami setakat ini. Jadi, kami menjangkakan kesannya adalah amat minimum dan kami menumpukan perbelanjaan kepada makanan dan minuman untuk menampung jualan”, ulas beliau.

Kenyataan tersebut disalurkan dalam sebuah Majlis Pengumuman produk Familymart Malaysia iaitu FamiCafé di Menara U. Cawangan tersebut sekaligus mendapat pengiktirafan sebagai kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia yang disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Untuk kemudahan pelanggan, FamiCafé yang terletak di Menara U juga dilengkapi dengan kios layan diri yang membolehkan pelanggan memesan produk menggunakan e-dompet atau kad kredit mereka. Kemudahan terbaharu ini juga bakal diperkenalkan di cawangan FamiCafé lain secara beransur-ansur.

Menurut Chia, tumpuan FamilyMart adalah untuk membuka 50 FamiCafé menjelang akhir tahun sambil menyasarkan status halal bagi 300 FamiCafé menjelang tahun 2025. Setakat ini, terdapat 16 cawangan FamiCafé yang beroperasi di serata Malaysia.

Komited dalam menawarkan pengalaman menjamu selera serta membeli belah tanpa was-was kepada pelanggan, Chia turut memaklumkan bahawa FamilyMart akan menjalani audit halal secara berperingkat mengikut panduan JAKIM. Difahamkan bahawa proses telah pun bermula di dua kedai lain yang terletak di Lembah Klang.

Beliau juga teruja untuk berkongsi bahawa pusat penyediaan makanan FamilyMart Malaysia yang dikendalikan oleh QL Kitchen telah diiktiraf halal oleh JAKIM sejak tahun 2019. Setakat 30 April lalu, 172 produk makanan jenama FamilyMart juga telah didaftarkan halal di portal halal rasmi JAKIM.

Dalam pada itu, Chia berkata bahawa FamilyMart kini sedang mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk memenuhi permintaan pelanggan di pantai timur Semenanjung dan menyasarkan 20 cawangan bakal dibuka menjelang akhir 2023 di lokasi berikut.

 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top