Akibat langganan serta hasil iklan yang lemah, Astro Malaysia Hodlings Bhd (Astro) melihatkan prestasi kewangan mereka terjejas teruk pada suku pertama tahun ini.

Astro melaporkan bahawa keuntungan bersihnya menjunam 84.11 peratus kepada 15.9 juta pada suku pertama yang berakhir 30 April 2023 berbanding RM 100.02 juta apabila perolehan terkesan oleh kerugian tukaran asing belum direalisasikan lebih tinggi.

Pendapatan syarikat ini didapati terjejas akibat kelemahan pada segmen televisyen, sementara segmen radio gagal menarik perhatian dengan keuntungan sebelum cukai yang mendatar.

Di samping itu, Astro juga menjangka bahawa pendapatan bagi segmen beli-belah rumah (home shopping) akan kekal suram akibat beberapa halangan seperti peningkatan inflasi serta kadar faedah.

Ia juga disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti ketidaktentuan makroekonomi termasuk pertumbuhan global yang perlahan, serta pengukuhan dolar AS yang dijangka akan terus menjejaskan isi rumah serta perniagaan.

Penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yong berkata kelemahan prestasi kewangan ini adalah disebabkan oleh gabungan penguncupan pendapatan dan perbelanjaan operasi lebih tinggi, yang melebihi rangsangan diterima daripada cukai yang lebih rendah.

Astro

Berdasarkan taklimat bersama penganalisis lain, syarikat penyiaran ini dilihat optimistik dengan daya tarikan perkhidmatan penstriman iaitu Sooka bagi menarik pelanggan muda.

“Ini akan membolehkan Astro untuk berkembang menjangkaui asas legasi syarikat, terutamanya daripada generasi lebih tua. Justeru, syarikat tersebut akan fokus untuk meningkatkan perkhidmatan baharu ini,” jelas Teh dalam satu nota penyelidikan.

Mengulas lanjut, Teh berkata syarikat penyiaran ini turut optimis terhadap kadar langganan tawaran jalur lebar baharunya yang dilihat menggalakkan.

Produk terbaharu daripada Astro iaitu Astro Fibre ini dilihat mengalami pertumbuhan dua angka yang kukuh sebanyak 28 peratus.

Dalam masa yang sama, liputan Astro juga telah diperluaskan bagi mencapai 118,000 tambahan rumah di Sabah menerusi inisiatif syarikat tersebut dengan Celcom Timur.

Astro

“Pendapatan kukuh yang dicapai oleh syarikat penyiaran ini semasa tempoh pandemik tidak akan berulang pada masa hadapan. Ini sepadan dengan jangkaan ramalan tahun kewangan 2024 yang dijangka akan jatuh lebih daripada separuh berbanding tahap tahun kewangan pada tahun 2021,” tambah Teh.

Namun, syarikat penyiaran ini komited untuk menjadi ‘destinasi pilihan hiburan dan penstriman’ untuk rakyat Malaysia. Pihak Astro juga akan terlibat dalam pelaburan bagi transformasi bisnes demi pertumbuhan jangka panjang dan mampan pada masa akan datang.

Ini merangkumi usaha menyampaikan pengalaman kandungan terbaik merentasi semua platform, menjadi agregator nombor satu Malaysia bagi penstriman dan aplikasi gaya hidup terbaik serta meningkatkan mutu kandungan tempatan dengan nilai penerbitan yang tinggi serta penceritaan premium.

Sumber : Berita Harian 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top