Terkenal dengan rekaan pakaian yang selesa dan minimalis, jenama Uniqlo tidak perlu diperkenalkan lagi. Meskipun rangkaian pakaian yang ditawarkan serba ringkas, namun ia berjaya mencetus fenomena dengan inovasi fabrik seperti koleksi AIRism yang sangat selesa dan sesuai dipakai dalam cuaca tropika seperti di Malaysia.

Mencatatkan hasil jualan sehingga US$18.8 juta setahun, ia juga merupakan jenama pengeluar fesyen ketiga terbesar di dunia selepas Zara dan H&M. Jadi, apakah strategi yang diambil oleh jenama ini untuk muncul sebagai peneraju fesyen minimalis yang terkenal di dunia?

Ayuh kita semak satu persatu.

Uniqlo

Pegawai Ekesekutif Uniqlo, Tadashi Yanai bergambar di cawangan baharu yang terletak di India

 

6 Strategi Uniqlo Untuk Jadi Jenama Peneraju Fesyen Minimalis

1. Variasi Pakaian

Salah satu faktor yang membuatkan Uniqlo menyerlah berbanding jenama fast fashion lain seperti Zara dan H&M adalah komitmen mereka untuk tawarkan pelbagai jenis pakaian.

Walaupun kebanyakan jenama fast fashion menawarkan pakaian yang asas, namun Uniqlo menawarkan lebih daripada itu. Dari pakaian dalam, pakaian sukan, baju kanak-kanak, stokin, sweater sehinggalah ke aksesori, jenama ini membolehkan pelanggan untuk dapatkan pakaian dalam satu kunjungan kedai sahaja. Tak perlu bersusah payah!

Uniqlo

2. Laman Web Dan Aplikasi Mesra Pengguna

Sejak tahun 2016, syarikat Uniqlo telah melabur dana yang lebih besar untuk pembangunan e-commerce berbanding kedai fizikal.

Pelaburan ini nampaknya sangat menguntungkan Uniqlo apabila lawatan ke laman web mereka meningkat saban tahun. Pada tahun 2020, kunjungan website jenama ini menunjukkan peningkatan yang cukup ketara iaitu 30 peratus berbanding jenama lain seperti H&M (9 peratus) dan Zara (13 peratus).

Menawarkan ratusan produk, aplikasi serta laman web ini juga sangat mudah digunakan. Dengan butiran lengkap seperti panduan saiz dan jenis material bagi setiap produk, pelanggan juga tiada masalah untuk mendapatkan produk yang tepat dengan citarasa masing-masing.

Bagi pelanggan yang ingin ubahsuai atau ‘alter’ pakaian, ia juga boleh dilakukan secara mudah menerusi online alteration service.

3. Inovasi Fabrik Yang Luar Biasa

Uniqlo tidak memandang ringan akan tahap kualiti yang ditawarkan kepada pelanggan. Dari pemilihan fabrik sehinggalah rekaan pakaian dengan ciri-ciri fleksibel, Uniqlo telah menjadi pilihan ramai pengguna yang ingin bergaya dengan selesa.

Antara inovasi fabrik yang telah dilakukan oleh Uniqlo adalah Block Tech, Heattech, AIRIsm, Ultra Light Down yang tidak panas, tahan lama dan sangat selesa. Walaupun rekaannya serba ringkas dan mudah untuk ditiru, namun pengguna akui yang jenama lain tidak mampu ‘meniru’ keselesaan fabrik pakaian Uniqlo.

Uniqlo

4. Pakaian Untuk Semua

Slogan Uniqlo iaitu ‘Made For All’ jelas menunjukkan komitmen jenama ini untuk memenuhi keperluan bagi setiap pengguna tanpa mengira jantina, bangsa dan usia. Jika kita lihat sendiri katalog online bagi jenama ini, mereka memaparkan model dari pelbagai warna kulit dan saiz badan.

“Kami tidak mengejar trend. Orang ramai sering menganggap Uniqlo adalah jenama fast-fashion, namun mereka salah. Kami adalah jenama yang menghasilkan pakaian untuk semua”, jelas Pegawai Eksekutif Uniqlo, Tadashi Yanai.

Bagi memenuhi keperluan pelanggan muslimah, jenama ini turut menawarkan headband yang berfungsi sebagai anak tudung. Uniqlo juga bekerjasama dengan pereka fesyen muslimah iaitu Hana Tajima bagi menghasilkan rangkaian busana yang sesuai buat wanita yang ingin tampil anggun namun sopan.

uniqlo

5. Mudah Untuk Dipadankan

Konsep pakaian Uniqlo yang selesa dan mudah untuk digayakan menjadikan jenama ini semakin mendapat perhatian pelanggan. Yanai turut melihat trend orang ramai yang gemar untuk mengenakan pakaian kasual namun kemas yang sesuai untuk dipakai ketika bekerja dan bersantai di rumah.

Untuk memudahkan mix-and-match, hampir 90 peratus produk yang tersenarai di Uniqlo adalah tanpa corak. Jika ada pun, hanyalah corak belang yang ringkas. Jadi, pelanggan tidak perlu pening kepala untuk merancang pakaian harian mereka dengan koleksi pakaian minimalis namun ekslusif dan kemas.

6. Melestarikan Alam Sekitar Melalui Fesyen

Meskipun industri fesyen sering dikaitkan dengan pencemaran alam, namun jenama yang berasal dari Jepun ini telah memulakan inisiatif untuk melestarikan alam sekitar selama lebih 20 tahun.

Antara inisiatif yang dilakukan adalah dengan penggunaan material kitar semula dalam produk mereka. Selain menghasilkan beg uncang daripada lebihan kain denim, Uniqlo turut melancarkan koleksi Spring/Summer 2022 dengan menyertakan 15% bahan polyester daripada botol PET yang telah dikitar semula.

Jenama ini juga terkenal dengan inisiatif bagi mengurangkan bahan buangan seperti penggunaan beg kertas bagi menggantikan beg plastik di premis dan bungkusan penghantaran.

Setakat penghujung 2020, Uniqlo telah mengurangkan plastik penggunaan tunggal sehingga 85 peratus. Ini sekaligus menyumbang kepada pengurangan lebih 7,800 tan plastik setahun.

Uniqlo

Dengan menawarkan inovasi serta produk yang berkualiti, maka tidak hairanlah mengapa Uniqlo sering menjadi pilihan jutaan pengguna di seluruh dunia.

Elemen minimalis yang menjadi identiti jenama ini juga membuatkan ia lebih mudah dipadankan dan mampu menepati citarasa semua tanpa mengira jantina mahupun bangsa.

Di samping itu, jenam ini juga komited dalam melestarikan alam sekitar melalui rangkaian produk yang diperbuat daripada bahan kitar semula dan mengurangkan penggunaan plastik dalam operasi seharian.

Baca Juga : Marketing Power Julang Nama Bulan Bintang ke Langit

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top