Black Friday adalah salah satu terma yang sering digunakan bagi banyak jenama menawarkan jualan besar-besaran.
Meskipun terma jualan ini lebih popular di negara barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, namun sesetengah jenama di Malaysia turut menggunakan gimik ‘Black Friday’ untuk tawarkan promosi menarik kepada pelanggan.
Pada waktu ini, penjual di luar negara juga sering menawarkan penurunan harga yang tak masuk akal sehingga membuatkan para pelanggan bertindak agresif dan bergaduh demi mendapatkan barangan yang dijual.
Di sebalik terma popular Black Friday, sebenarnya terdapat sejarah menarik yang ramai tak tahu.
Penggunaan Pertama Istilah Black Friday
Istilah Black Friday digunakan buat pertama kali ketika krisis kewangan Amerika Syarikat pada 24 September 1869. Ketika itu, harga pasaran emas jatuh secara mendadak.
Ini berpunca daripada dua pemodal Wall Street yang tidak berhati perut iaitu Jay Gould dan Jim Fisk yang telah bersepakat membeli emas negara sebanyak mungkin dengan harapan dapat menaikkan harganya setinggi mungkin dan menjualnya untuk keuntungan besar.
Muslihat mereka terbongkar pada satu hari Jumaat dalam bulan September dan menyebabkan pasaran saham jatuh serta ramai pelabur di Wall Street muflis.
Kisah Black Friday Yang Mencetus Tradisi Membeli-belah
Selain era kejatuhan harga emas, asal usul Black Friday juga banyak dikaitkan dengan kekacauan yang sering berlaku Philadelphia suatu ketika dahulu.
Sekitar tahun 1950an, bandar Philadelphia sering kecoh sebaik berakhirnya hari sambutan Thanksgiving kerana peminat sukan dan pelancong pinggir bandar membanjiri kota tersebut sebelum pertandingan American Football antara Angkatan Darat-Tentera Laut.
Keadaan sangat kecoh sehinggakan polis di Philadelphia terpaksa bekerja lebih masa dan tidak dapat mengambil cuti demi mengawal lalu lintas serta kesesakan orang ramai.
Selain itu, pihak polis juga perlu membuat pemantauan rapi disebabkan ramai mengambil kesempatan untuk mencuri pada ketika itu.
Menjelang tahun 1961, penggunaan terma Black Friday telah tersebar luas di Philadelphia. Para peniaga serta warga setempat berusaha untuk mengubahnya kepada Big Friday untuk menghapuskan konotasi negatif terhadap terma tersebut. Namun, cubaan mereka tidak berhasil.
Sehinggalah pada akhir tahun 1980an, para penjual menemui cara untuk mengubah persepi orang ramai terhadap peristiwa Black Friday dan menggantikannya kepada sesuatu yang lebih positif dalam kalangan penjual serta pelanggan.
Selepas setahun beroperasi dengan kerugian (dicatat dalam rekod dengan tulisan berwarna merah), penjual biasanya akan memperoleh keuntungan (dicatat dalam tulisan berwarna hitam) pada hari Thanksgiving kerana pelanggan masih dalam mood perayaan.
Mereka juga biasanya akan menghabiskan banyak wang untuk membeli hadiah serta barangan keperluan yang biasanya ditawarkan pada harga yang lebih murah.
Jadi, penjual mula menggunapakai konsep ‘merah’ ke ‘hitam’ ini untuk mengadakan pesta membeli-belah sempena musim cuti. Fenomena ini nampaknya berhasil dan mampu menumpaskan sejarah buruk yang sering dikaitkan dengan kota Philadelphia.
Sejak itu, pesta jualan satu hari telah dilanjutkan selama empat hari. Ini turut mencetuskan pesta membeli-belah lain seperti ‘Cyber Monday’ yang diadakan pada hari Isnin berikutnya.
Ia masih menjadi tradisi di kebanyakan kawasan Amerika Syarikat dan United Kingdom sehingga ke hari ini. Kedai-kedai akan mula dibuka lebih awal pada hari Jumaat.
Para pembeli yang berdedikasi pula akan keluar awal untuk beratur di hadapan kedai setelah menikmati santapan khas sempena hari Thanksgiving bersama keluarga.
Sumber : illuminasi.com
Baca Juga : 4 Teknik Jualan Yang Buat Pelanggan Tak Kisah Dengan Harga Produk Anda