Kemunculan cawangan Mixue iaitu jenama aiskrim dan minuman teh di serata tempat dalam negara berjaya menarik perhatian warga tempatan.
Mana tidaknya, boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja cawangan baharu yang diumumkan oleh jenama dari China ini.
Jenama ini juga pernah mengejutkan ramai pemain industri apabila berjaya muncul di tempat kelima dalam senarai rangkaian makanan dan minuman (F&B) terbesar di dunia.
Memiliki lebih 25,000 cawangan, Mixue tidak menoleh belakang lagi untuk kekalkan kedudukan sebagai satu-satunya jenama F&B terbesar dari China yang berjaya memasuki senarai.
Menurut pakar strategi pemasaran dan pensyarah Fakulti Ekonomi dan Bisnes Universiti Airlangga, Prof Dr Sri Hartini, beliau mengatakan bahawa fenomena Mixue di Malaysia dan beberapa negara seperti Indonesia, Singapura dan Vietnam berhasil disebabkan strategi pemasaran mereka yang hebat.
“Terdapat 4 tools yang paling banyak digunakan oleh syarikat dalam strategi pemasaran iaitu harga, produk, lokasi dan promosi. Dalam hal ini, Mixue berhasil memanfaatkan keempat-empat tools dengan baik,” jelas Prof Hartini dalam satu sidang media.
Kalau nak tahu strategi mantap Mixue, ayuh ikuti kupasan kami.
Strategi Mixue Untuk Jadi Jenama Aiskrim dan Minuman Nombor Satu di Dunia
1. Harga Yang Tak Masuk Akal
Walaupun banyak jenama yang bersaing untuk tawarkan harga terbaik, namun memang sukar untuk pesaing atasi harga produk yang ditawarkan oleh Mixue.
Dengan hanya RM 2, pelanggan boleh nikmati aiskrim berperisa susu yang bersaiz besar! Minuman lemonade Mixue yang tular di media sosial pula harganya hanya RM 3.
Sementara itu, menu lain boleh didapati pada harga sekitar RM 5 dan hanya beberapa produk sahaja berharga RM 8 ke atas.
Menurut Prof Hartini, beliau berpendapat yang Mixue sengaja menawarkan harga yang murah pada produk mereka melalui strategi penetration pricing.
Taktik ini cukup popular dalam kalangan pemilik bisnes untuk menarik pelanggan baru dan membangunkan pelanggan setia.
Selain itu, harga murah yang ditawarkan turut dipengaruhi oleh kekuatan jenama itu sendiri yang memiliki banyak cawangan.
Ini membantu Mixue untuk mencapai skala ekonomi yang stabil dan boleh mendorong kepada kos pembiayaan yang lebih rendah pada peringkat produksi.
2. Lokasi Cawangan Yang Cukup Banyak
Bercakap tentang cawangan, kekuatan jenama jenama yang terkenal dengan maskot orang salji ini juga terletak pada jumlah cawangan mereka yang banyak.
Walaupun baru bertapak di Malaysia pada tahun 2020, namun Mixue mampu membangunkan lebih daripada 150 cawangan setakat ini!
Lokasi yang dipilih pula biasanya merupakan tumpuan orang ramai dan strategik seperti di kawasan pelancongan, pusat membeli-belah dan rumah kedai yang sering dikunjungi warga setempat.
3. Produk Yang Pelbagai
Meskipun dijual dengan harga yang murah, namun kualiti produk juga boleh dikatakan agak tinggi sehingga membuatkannya mampu bersaing di pasaran.
Disebabkan ini jugalah ramai yang tidak kisah untuk ulangi pembelian di Mixue. Tambahan pula, terdapat pelbagai menu menarik untuk dicuba dari minuman teh, milkshake, sundae dan macam-macam lagi.
Pelanggan juga bebas untuk ubahsuai menu mengikut citarasa masing-masing di Mixue dengan menggabungkan minuman, aiskrim atau topping.
Daripada situ, terbit pula satu lagi trend yang menjadi kegilaan warganet pada waktu ini iaitu ‘Mixue Secret Menu’ sehingga membuatkan ramai tertarik untuk mencuba aiskrim dan minman daripada jenama ini.
@thefoodiegeng MIXUE SECRET MENU? 🤤 Pearl milk tea + ice cream + oreo = superrr gooodddd 😭😭🫶🏻 please try this combination!! 🏃 #tiktok #tiktokmalaysia #makanlokal #eatdrinkkl #malaysia #myfoodie #foodhuntingmalaysia #mixue #cafehopkl
4. Promosi di Media Sosial
Mixue juga bukanlah satu jenama asing di media sosial. Jenama ini memberi kebebasan kepada setiap cawangan untuk hasilkan kandungan promosi bagi menarik pelanggan.
Buktinya, terdapat berpuluh akaun Mixue yang dicipta bagi setiap cawangan di Tiktok dan setiap satu daripadanya mempunyai puluhan ribu pengikut.
Antara video yang sering dihasilkan adalah cara penghasilan minuman dan menu cadangan yang wajib dicuba pelanggan.
Sesetengah video pula boleh mencapai sehingga jutaan tontonan!
Ini sesuai dengan trend carian pengguna di TikTok yang ingin tahu menu menarik sebelum berkunjung ke Mixue.
Secara tidak langsung, ini juga membuktikan kuasa media sosial sebagai search engine dalam kalangan pengguna internet masa kini.
Dengan menguasai empat strategi pemasaran iaitu harga, produk, lokasi dan promosi, Mixue kini menjadi jenama aiskrim dan minuman boba yang digilai ramai.
Ditambah pula dengan kuasa viral masa kini, tiada masalah untuk jenama aiskrim ini mencapai pelanggan dalam jumlah yang tinggi menerusi media sosial.
Sumber : cakrawarta.com