Bila anda terfikir tentang traffic jam, anda pasti akan resah dan mengeluh. Mana tidaknya, pemandu tidak boleh berbuat apa-apa di dalam kereta dan terpaksa menghadapinya. Jika kesesakan lalu lintas berlarutan selama berjam-jam, boleh hilang mood dibuatnya!

Bandar Mexico tercatat sebagai salah satu bandar dengan kesesakan lalu lintas paling teruk di dunia. Dianggarkan, rakyat tempatan di situ menghabiskan masa sehingga 5 jam di jalan raya setiap hari!

Cuba anda bayangkan perasaan pengguna jalan raya di bandar Mexico bila terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalulintas saban hari. Pasti mereka rasa bosan, sakit hati dan lapar kerana lama menunggu!

Jadi, apa yang boleh membaiki mood mereka? Sudah tentulah makanan!

Maka, dari situlah tercetus kempen unik dan menguntungkan buat jenama ini iaitu Traffic Jam Whopper.

Burger King Gunakan Real-Time Data Untuk Tawarkan Traffic Jam Whopper

Berbanding melihat kesesakan lalu lintas sebagai penghalang, sebaliknya Burger King melihat rutin yang menyeksakan ini sebagai peluang untuk mereka pasarkan lagi produk.

Sesuai dengan namanya, kempen ini memperkenalkan konsep penghantaran hidangan Burger King kepada pelanggan yang tersekat di traffic jam dengan bantuan data masa nyata (real-time data).

Buat julung kalinya, makanan dapat dihantar kepada pelanggan yang sedang memandu dalam kesesakan lalu lintas.

Burger King

Menawarkan perkhidmatan hanya di zon kesesakan lalu lintas yang teruk, Burger King dapat mengenalpasti lokasi kenderaan pelanggan serta kelajuan mereka melalui penggunaan teknologi Google Maps API yang terkini.

Burger King juga bekerjasama dengan Waze untuk paparkan iklan pop-up bagi menawarkan Whopper kepada pelanggan sebaik sahaja mereka masuk ke zon yang sesak teruk.

Zon penghantaran akan turut berubah mengikut perkembangan lalu lintas semasa. Jadi, perkhidmatan ini akan disediakan secara automatik kepada pengguna jalan raya apabila kesesakan dikenalpasti dalam radius 3 kilometer daripada cawangan Burger King berdekatan.

Lebih menarik lagi, pelanggan juga dapat memesan makanan dengan sangat mudah menerusi ciri Voice Commands. Oleh itu, bolehlah mereka fokus kepada pemanduan yang lebih selamat ketika membuat pesanan.

Burger King juga memanfaatkan billboard yang berada berhampiran kawasan sesak untuk mendorong pelanggan membuat pesanan secara online.

Bagi menarik perhatian pemandu di kawasan tersebut, Burger King memaparkan kandungan khusus berdasarkan lokasi serta anggaran waktu yang pelanggan bakal habiskan dalam kesesakan lalu lintas tersebut.

Burger King

Lebih menarik lagi, jenama ini turut memaparkan iklan dengan unsur personalization sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang sudah membuat pesanan. Sebagai contoh, billboard akan paparkan kenyataan seperti berikut :

“Andrea, Kereta Honda Merah, Whopper Anda Akan Tiba Dalam Masa 7 Minit.”

Selain dapat menceriakan hari pelanggan, pesanan ringkas ini akan membuatkan pelanggan rasa teruja untuk menunggu pesanan mereka.

Kempen ini nampaknya membuahkan hasil yang cukup lumayan buat jenama ini. Ia bukan sahaja mampu meningkatkan jumlah penghantaran sehingga 63% di bandar Mexico, malah aplikasi restoran makanan segera ini juga meningkat dengan kadar 44 kali ganda!

Ini sekaligus menjadikan Burger King sebagai aplikasi makanan nombor segera nombor satu sambil mengalahkan jenama-jenama popular lain seperti Starbucks, McDonalds dan Dominos. Kempen ini juga dikatakan bakal dilancarkan di bandar sesak lain seperti Shanghai, Los Angeles dan Sao Paolo.

Menarik, bukan? Belum pernah lagi mana-mana restoran lakukan inisiatif sebegini untuk mencapai pelanggan.

Pemasaran unik yang dilaksanakan oleh Burger King ini boleh dijadikan iktibar buat semua pemilik bisnes.

Apabila anda melihat suatu tantangan sebagai peluang, ia pasti dapat memberikan hasil yang lumayan buat perniagaan. Lebih-lebih lagi jika idea tersebut tidak pernah dilakukan lagi oleh bisnes lain, pasti jenama anda akan lebih terserlah!

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top