Sushi merupakan hidangan padat namun ringkas serta mempunyai penggemarnya sendiri di Malaysia. Antara jenama sushi yang kian ramai penggemarnya adalah Empire Sushi yang berkonsepkan kiosk.

Meskipun tidak beroperasi secara restoran seperti kebanyakan premis hidangan Jepun lain, namun kualiti serta keenakan sushi yang ditawarkan oleh jenama tersebut sememangnya cukup menyerlah.

Ditubuhkan sejak 2013, pengasas Empire Sushi iaitu Jordan Tan dan Nicole Lim bercita-cita untuk menjadikan sushi sebagai satu hidangan yang universal, menggantikan tanggapan umum daripada masakan Jepun premium, sebagai makanan yang berpatutan dan mampu dinikmati oleh setiap rakyat Malaysia.

Meskipun bisnes ini dimulai oleh dua orang, namun Empire Sushi kini mempunyai lebih 80 cawangan di serata negara yang dioperasikan oleh lebih 650 orang pekerja.

Demi mencapai matlamat untuk menjadi peneraju industri sushi berkonsepkan grab-and-go di rantau Asia Tenggara menjelang tahun 2024, pelbagai usaha telah dilaksanakan.

Ayuh kita lihat beberapa strategi yang diambil oleh Empire Sushi untuk muncul sebagai jenama sushi popular di Malaysia.

Empire Sushi Lihat Komitmen Pekerja Sebagai Aset

Nicole selaku pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Empire Sushi Sdn Bhd melihat komitmen pekerja sebagai satu aset yang sangat berharga untuk bangunkan jenama.

Demi mengekalkan komitmen dalam kalangan pekerja dan seterusnya membina sebuah pasukan yang kuat, Nicole telah mengambil beberapa inisiatif termasuk mewujudkan budaya kerja yang positif dan memberi peluang bagi perkembangan karier buat para pekerja.

Menerusi inisiatif ini, Nicole berjaya mencapai 94 peratus kadar pengekalan pekerja sejak tahun 2018.

Berdasarkan perkongsian dari ey.com, jenama sushi ini turut mencatatkan hasil jualan sebanyak RM 58 juta pada tahun 2021.

Empire Sushi

Pendekatan Kreatif Grab-and-Go Dengan Harga Murah

Berbanding kebanyakan kedai sushi yang mengekalkan kaedah tradisional dan bergantung kepada kepakaran chef, Empire Sushi menawarkan pendekatan yang lebih kreatif bagi menawarkan sushi premium yang berkualiti dan tepat dengan citarasa orang kita.

Antara pembaharuan yang dilakukan adalah penggunaan rempah tempatan untuk menghasilkan sos sendiri dan menu sushi dengan sentuhan kick yang pasti bakal menambat selera ramai penggemar sushi.

Selari dengan trend semasa, Empire Sushi juga menjadi antara jenama sushi popular yang menawarkan konsep grab and go buat pelanggan. Menerusi kiosk yang dihias dengan elemen Jepun, jenama ini komited dalam menawarkan perkhidmatan pantas menerusi pilih dan bayar  atau grab-and-go.

Dengan menawarkan harga serendah RM 1.50 jenama ini pantas mendapat tempat di hati peminat dengan aneka menu sushi yang lazat dan segar. Harganya juga sangat berpatutan.

Bijak Tangani Kontroversi Status Halal

Ketika baru menukar nama pendaftaran syarikat dari Empire Sushi Sdn Bhd kepada Empire Sushi Group Sdn Bhd pada tahun 2021, mereka sedang menunggu kelulusan dari Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada tempoh tersebut, jenama ini sempat menjadi buah mulut warganet sehingga ada yang meragui status halal yang ditawarkan.

Namun, pihak Empire Sushi segera membidas kenyataan tersebut sambil menjelaskan perkara sebenar.

Dalam penjelasan yang sama, mereka turut menegaskan bahawa produk mereka bebas dari kandungan babi, alkohol dan mirin.

Empire Sushi

Daripada keseluruhan cawangan, 65 daripadanya merupakan pemegang sijil HALAL JAKIM manakala beberapa outlet yang baharu sedang dalam proses mendapatkan sijil halal ini secara berperingkat.

Oleh itu, pelanggan tidak perlulah berasa risau lagi untuk nikmati sushi kegemaran mereka. Orang ramai juga boleh semak status halal terkini bagi premis atau produk di pautan berikut : https://www.halal.gov.my/v4/

Jenama yang kini mencecah usia 10 tahun ini kekal aktif dalam memperkenalkan inovasi menu bagi menambat hati penggemar sushi.

Empire Sushi

Mereka juga kini didapati turut aktif bekerjasama dengan pelbagai organisasi bagi menjalankan aktiviti pemuliharaan alam sekitar. Ini membuktikan komitmen jenama ini untuk bukan sahaja menjadi jenama sushi tempatan terkenal, malah sebagai sebuah nama yang prihatin tentang kelestarian alam sekitar.

Dengan menitikberatkan kualiti serta memegang nilai syarikat yang positif, Empire Sushi kini mampu mendapat tempat yang kukuh dalam industri sushi tempatan.

Selain konsisten dalam memperkenalkan pembaharuan dan kualiti dalam menu, mereka juga sangat menitikberatkan status halal bagi menepati keperluan pengguna yang majoritinya beragama Islam.

Dengan pelbagai strategi mantap yang diambil, maka tidak hairanlah mengapa Empire Sushi kekal menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia sehingga ke hari ini.

Sumber :

Murai.my

ey.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top