Kicap dan sos menjadi pelengkap bagi hidangan harian dan penyeri masakan yang wajib ada bagi setiap rumah. Juga sesuai dijadikan pencicah, kicap dan sos juga mampu membuka selera semua tak kira muda atau pun tua.

Di Malaysia sendiri, terdapat pelbagai jenama kicap dan sos yang popular dan menjadi kegemaran ramai sejak berpuluh tahun lamanya. Semuanya mempunyai kisah menariknya yang tersendiri.

Jom kita ikuti kisah pengasas jenama kicap dan sos terkemuka yang masih mendapat permintaan dan diminati ramai sehingga ke hari ini.

Kisah 5 Jenama Kicap dan Sos Popular dan Diminati Rakyat Malaysia

1. Kicap Kipas Udang

Sejarah kicap Kipas Udang terletak pada jenamanya sendiri iaitu HABHAL. HABHAL adalah ringkasan nama Haji Ahmad bin Haji Abdul Latif, seorang anak kepada tokoh alim tersohor di nusantara iaitu Syeikh Abdul Latif Al-Malakawi.

jenama kicap

Pada tahun 1945, Haji Ahmad telah membeli sos soya dari seorang peniaga Cina. Beliau kemudian menambah bahan-bahan dan perisa tambahan kepada sos tersebut hingga terciptanya sos kicap yang ada sekarang.

Selepas Haji Ahmad meninggal dunia, bisnes kicap ini diteruskan oleh anaknya, Haji Zaini dan seterusnya dilanjutkan oleh isteri Haji Zaini iaitu Hajah Sa’adiah Buyong.

Pada tahun 1981, perniagaan kicap HABHAL berpindah operasinya ke Lorong Pemuda (Kampung Melayu Majidee, Johor) di bawah Syarikat Jalil Enterprise (kini dikenali sebagai kicap Jalen).

Namun, Zara Foodstuff Industries Sdn Bhd (ZFI) telah mengambil alih pada tahun 1986 dan memulakan operasinya sendiri di Kawasan Perindustrian Larkin, Johor sehinggalah ke hari ini.

Jenama kicap popular ini juga telah meraih pelbagai anugerah seperti :

  • Anugerah Keusahawan Johor 2020
  • SME Best Brand Awards
  • Anugerah ‘Family Choice’ daripada GIANT Malaysia Best Buy Award 2015/2016

Dengan strategi pemasaran dan kajian pasaran yang mantap, ZFI Industries juga berjaya membawa jenama kicap Kipas Udang ke beberapa negara seperti Singapura, Brunei, Filipina, Kanada, Australia, Arab Saudi, United Kingdom dan Nigeria.

2. Kicap Jalen

Syarikat Jalen Sdn Bhd memulakan bisnes penjualan kicap dan sos pada tahun 1981 di rumah kedai yang terletak di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru. Pada awal 2000an, bisnes ini semakin berkembang dan memiliki lebih 21 jenis produk berkualiti tinggi termasuk cuka, sos tiram, kordial berperisa dan taucu.

Pada tahun 2003, Jalen Sdn Bhd mula mendapat permintaan daripada negara seberang iaitu Singapura dan Brunei. Produk Jalen juga telah mula dipasarkan di Maldives pada tahun 2009 dan Mauritius pada tahun 2019.

Pada tahun 2017, syarikat Jalen Sdn Bhd berjaya mencatatkan hasil jualan tahunan sebanyak RM 100 juta sambil memiliki 19 buah cawangan dan 300 pekerja di serata Malaysia.

3. Sos Aminah Hassan

Sebuah jenama sos yang sangat popular suatu ketika dahulu, namun produk Aminah Hassan sudah jarang dijumpai di pasaran.

Jenama yang pernah terkenal dengan sos kacang ini telah diusahakan oleh anak-anak Allahyarhamah Aminah dan Allahyarham Hassan sendiri dari tahun 1979 hingga sekarang.

Pernah dituduh diambil alih oleh peniaga berbangsa lain dan syarikat telah dijual selepas meninggal dunia, Aminah Hassan muncul untuk menjelaskan perkara sebenar dan menafikan khabar angin yang telah tersebar.

Kredit :OhMyMedia.cc

Hakikatnya, syarikat yang beroperasi di Klang, Selangor ini terpaksa memberhentikan pengeluaran seketika akibat kemerosotan jualan tidak lama dahulu.

Atas permintaan ramai, sos Aminah Hassan kini bangkit kembali dan diuruskan oleh anak pengasas iaitu Noor Aini Hassan dan suaminya, Zainal Abidin Abdullah.

Meskipun terjual di pasar raya terpilih sahaja, namun pelanggan masih boleh dapati produk ini menerusi atas talian.

Kicap Mudim

Kicap Mudim diasaskan oleh Tuan Haji Zakaria bin Arshad. Sering digelar sebagai Tok Mudim di kampungnya yang terletak di Mukim Tobiar, Pendang, Kedah, Haji Zakaria asalnya merupakan peniaga ubat-ubatan tradisional secara kecil-kecilan.

Lama-kelamaan bisnes Haji Zakaria berkembang sehingga berjaya mengeluarkan produk kicap dan sos pada tahun 1987. Peralihan serta kemajuan bisnes ini turut mendapat sokongan daripada anak ketiga Haji Zakaria iaitu Haji Shaarani.

jenama kicap

Sumber : mymudim.my

Berbekalkan pengalaman, penggunaan teknologi tinggi, kawalan kualiti produk dan pengurusan pengagihan produk yang cekap menjadikan Mudim sebuah jenama yang makin kuat kian tahun.

Kicap legend kebanggaan orang Kedah ini sudah beroperasi lebih daripada 35 tahun dalam industri dan kini diuruskan oleh Haji Shaarani sejak ayahnya meninggal dunia pada tahun 2010.

Jenama kicap yang asalnya mendapat permintaan di negeri-negeri utara ini juga kian dipercayai ramai pengguna di seluruh Malaysia. Lebih membanggakan lagi, jenama ini juga berjaya menembus pasaran bagi beberapa negara luar seperti United Kingdom, Arab Saudi dan Mesir.

jenama kicap

5. Kicap Tamin

Pada tahun 1951, perniagaan kicap Tamin bermula secara kecil-kecilan di Batu Gajah, Perak. Dengan bermodalkan RM 10 sahaja, Tuan Haji Mohd Tamin telah menemui ramuan yang berkualiti dan sedap untuk menghasilkan kicap.

Dengan bantuan ahli keluarganya sendiri, beliau berjaya menghasilkan kira-kira 700 botol kicap dalam masa sehari. Ketika itu, walaupun kapasiti pengeluarannya kecil, namun Haji Tamin tetap mengutamakan kualiti serta kebersihan produknya. Kini, bisnes kicap Tamin telah diambil alih oleh anak pengasas iaitu Dato Hajah Shariffah binti Mohd Tamin.

Semakin lama, jenama Tamin semakin dikenali di kalangan suri rumah dan komuniti sekitar kampung. Kicap kebanggan orang Batu Gajah ini mula dikenali apabila golongan muda dari kampung yang berhijrah ke kawasan bandar membawa bersama kicap Tamin. Daripada situlah kicap Tamin semakin popular dan mendapat permintaan tinggi di serata Malaysia.

jenama kicap

Atas permintaan yang meningkat, Haji Tamin pun bercadang untuk mendirikan sebuah kilang di Enggor, Kuala Kangsar. Kini, kicap cap Tamin dihasilkan sebanyak 20,000 botol sehari bagi memenuhi keperluan peminatnya di seluruh Semenanjung Malaysia dan luar negara.

jenama kicap

Walaupun kebanyakan syarikat ini mengeluarkan rangkaian produk yang sama, namun mereka mampu bertahan atas permintaan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia.

Kualiti serta keenakan jenama-jenama tempatan ini juga membuatkan sesetengah jenama ini mampu menembus pasaran antarabangsa!

Kesimpulannya, tidak salah untuk seorang usahawan menceburkan diri dalam industri yang sedia ada rancak. Yang penting jenama yang ingin dibina perlulah ada kelainan dan keistimewaan yang tersendiri.

Sebagai usahawan yang baik, anda juga perlu peka dengan permintaan pelanggan serta menjaga kualiti jenama anda. Daripada situ, anda boleh lakukan penambahbaikan bisnes daripada pelbagai sudut. Semoga kisah jenama kicap ini menjadi inspirasi buat semua terutamanya usahawan muda.

Sumber :

 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top