Airbnb merupakan platform tempahan penginapan atas talian yang tidak asing lagi buat pengembara dari seluruh dunia termasuk Malaysia. 

Negara kita bukan sahaja menyambut jenama terkenal ini sebagai satu kemudahan penginapan atas talian yang mudah dan mesra pengguna, malah ia juga menjadi lubuk menjana pendapatan bagi warga nomad digital di Malaysia. 

Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Airbnb baru-baru ini telah mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam inisiatif DE Rantau MDEC. 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Azizi berkata, kerjasama itu bakal menonjolkan komitmen mereka dalam memacu transformasi digital di samping memperkasa ekonomi digital negara. 

Platform global Airbnb yang popular dalam menawarkan pelbagai jenis penginapan juga akan dapat dimanfaatkan oleh warga nomad digital tempatan.

nomad digital

Menurut Mahadhir, mereka sedia mewujudkan peluang tanpa batas buat pekerja jarak jauh dan sekaligus melonjakkan nama Malaysia sebagai hab terkemuka di rantau ini. 

“Pada masa ini, kami mempunyai lebih daripada 1,400 penyenaraian DE Rantau Hub mesra nomad digital di semua platform dan kami menyasarkan 2,000 pada akhir tahun ini,” katanya pada majlis menandatangani MoU di pejabat MDEC di sini pada 29 Ogos lalu. 

Meskipun terdapat halangan serta cabarannya tersendiri, Mahadhir juga yakin bahawa trend nomad digital akan berkemungkinan kekal untuk beberapa tahun lagi.

Sementara itu, Pengarah Dasar Awam Asia Pasifik Airbnb, Steven Liew pula berkata peningkatan trend kerja jarak jauh ini akan membawa potensi yang cukup besar kepada ekonomi. Pada masa yang sama, ia juga dapat memberi impak yang positif terhadap kepada sektor pelancongan dengan memperkasakan lebih banyak destinasi percutian serta komuniti tempatan.

Inisiatif DE Rantau oleh MDEC akan memacu penerapan digital dan mobiliti profesional, di samping merancakkan pemulihan pelancongan dalam jangka panjang.

“Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan pengembara dapat terus menikmati pelbagai penginapan unik dalam pelbagai lingkungan harga, baik untuk nomad digital dalam pengembaraan solo selama sebulan, ataupun keluarga yang menikmati percutian hujung minggu,” katanya.

Di samping menawarkan penginapan kepada perantau dalam dan luar negara, Airbnb juga mengiktiraf wanita Malaysia sebagai tulang belakang dalam komuniti hos Airbnb. 

Terdahulu, para wanita Malaysia secara kolektif dilaporkan memperoleh lebih RM176 juta pada 2022 menerusi Airbnb. Secara keseluruhan hos yang terdiri daripada wanita merangkumi 55 peratus daripada semua hos di seluruh dunia dan hampir 10 peratus lebih tinggi daripada hos lelaki. 

Sumber : Sinar Harian

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top