Bila sebut tentang perkembangan karier, ramai yang memilih untuk bertukar angin selepas beberapa tahun demi menimba pengalaman di tempat baru dengan harapan cara ini dapat membuka haluan kepada gaji serta jawatan yang lebih baik.
Ada juga yang setia bekerja di satu syarikat sehingga betul-betul ada keperluan mendesak untuk berhenti atau pindah kerja seperti pengurusan yang tidak cekap atau persekitaran kerja yang toksik.
Disebabkan itu, kebanyakan orang akan berpindah beberapa kali sepanjang karier mereka. Namun, seorang lelaki berusia 101 tahun di Brazil telah berjaya memecahkan rekod dunia atas pencapaiannya bekerja di syarikat yang sama dalam tempoh yang paling lama iaitu selama 84 tahun dan 9 hari.
Walter Pekerja Yang Setia Sejak Zaman Perang Dunia Kedua
Lelaki yang dimaksudkan adalah Walter Orthmann yang telah dianugerahkan Guiness World Record pada tahun lalu. Beliau dilahirkan di Brusque, sebuah bandar kecil yang terletak di Santa Catarina, Brazil. Menariknya tentang tempat tinggalnya itu, ia mempunyai penduduk Jerman yang ramai.
Ketika berada di bangku sekolah, Walter adalah seorang murid yang rajin dan tidak kisah berkaki ayam ke sekolah.
Beliau memulakan kerjayanya pada usia 15 tahun tahun iaitu pada Januari 1938, setahun sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua.
Walaupun masih mentah, namun beliau Walter mempunyai keazaman yang kuat untuk membantu keluarganya yang ketika itu berdepan dengan masalah kewangan.
Tambahan pula, ia bukanlah perkara yang janggal bagi budak lelaki seusianya untuk bekerja bagi membantu keluarga. Sebagai anak sulung dari 5 orang adik beradik, beliau telah dibawa oleh ibunya sendiri untuk mencari kerja seawal usia 14 tahun.
Atas kebolehannya berbahasa Jerman, Walter diterima bekerja di Industrias Renaux SA (sekarang dikenali sebagai ReneauxView). Pada awalnya beliau bekerja sebagai pembantu perkapalan. Walaupun masih muda, Walter sering menunjukkan minat untuk belajar perkara baru dan sentiasa berusaha untuk membaiki kualiti kerjanya.
Pengalaman Indah Bekerja Selama 84 Tahun
Lama kelamaan, beliau dinaikkan pangkat ke bahagian jualan dan akhirnya memegang jawatan sebagai pengurus jualan sehingga beliau bersara.
Beliau cukup menikmati setiap hari dalam pekerjaannya. Ketika usia Walter mencecah 50an, Walter diberi peluang untuk merantau ke luar negara dan berpeluang untuk bertemu dengan ramai orang sambil mempelajari budaya berbeza. Beliau sangat gemar mengembara sambil membina hubungan baik dengan pelanggan yang akhirnya menjadi rakannya sendiri.
Sepanjang kariernya di ReneauxView, Walter telah melihat banyak perubahan pada negara dan dunia secara keseluruhan. Pada pandangan beliau, salah satu elemen penting yang membolehkan sesebuah perniagaan terus bertahan adalah kemampuan mereka untuk menyesuaikan diri dengan peredaran zaman serta perkembangan semasa.
Meskipun sudah mengumumkan persaraan lebih awal pada 6 Januari 2022, Walter telah diraikan oleh keluarga, sahabat dan rakan sekerjanya pada 19 April 2022 lalu sempena hari jadinya yang ke-100.
Walaupun usianya sudah mencecah satu abad, namun Walter masih sihat. Beliau rajin melakukan regangan setiap hari dan hanya makan makanan yang berkhasiat bagi mengekalkan kesihatan fizikal dan ketajaman fikirannya.
Sebagai pekerja yang setia berkhidmat untuk satu syarikat selama lebih 8 dekad, antara nasihat yang diberikan oleh Walter kepada mengenai kerjaya ialah supaya mencari majikan yang baik dan bertepatan dengan minat.
Tambahnya lagi, apabila kita melakukan perkara yang kita gemari, kita tak akan sedar masa yang dihabiskan ketika bekerja.
Sumber : Business Insider, Guiness World Record
Baca Juga : Pernah Kena Reject Lebih 1000 Kali, Ini Kisah Bagaimana Colonel Sanders Bangunkan Jenama Ayam Goreng KFC