Nona Roguy bukanlah suatu jenama yang perlu diperkenalkan lagi dalam kalangan wanita di Malaysia. Pasti ibu kita sendiri juga pernah mengamalkan produk ini.

Ramuan jamunya yang berkualiti telah dipercayai oleh jutaan wanita di Malaysia sejak berpuluh tahun lamanya bagi memulihkan kesihatan dalaman.

Namun tahukah anda yang pengasas Nona Roguy bukanlah bidan atau pakar urut tradisional. Malah, beliau adalah seorang pelukis profesional!

Bagaimana seorang pelukis boleh terjebak dalam bidang penghasilan jamu tradisional? Ayuh kita ikuti kisah menarik pengasas Nona Roguy!

Pengasas Nona Roguy

Pengasas Nona Roguy Wanita Melayu Pertama Terima Biasiswa Seni Halus di Jerman

Jenama ini diasaskan oleh Datin Sharifah Anisah bt Tan Sri Dato’ Professor Syed Agil Barakbah.

Datin Sharifah Anisah dilahirkan di Alor Setar, Kedah. Minatnya yang mendalam terhadap bidang seni melayakkan beliau untuk memenangi beberapa pertandingan melukis di peringkat nasional.

Lebih menarik lagi, anak kepada bekas hakim ini juga merupakan wanita Melayu pertama yang menerima biasiswa bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang seni halus di Royal Academy of Fine Arts, Munich, Jerman.

Setelah tamat pengajian, beliau memilih untuk menjadi pelukis sepenuh masa.

Mula Buat Ramuan Herba Untuk Bantu Rakan

Datin Sharifah Anisah tidak pernah terfikir untuk menjadi usahawan herba tradisional. Namun, satu peristiwa telah menjadi titik perubahan bagi haluan kerjayanya.

Pada suatu hari, seorang rakannya telah mengadu yang rahimnya bakal dibuang akibat ‘turun darah’.

Bersimpati dengan rakannya, Datin Anisah pun menelefon ibunya untuk mendapatkan bantuan. Ibunya telah memberikan resepi jamu berasaskan herba tradisional. Melalui petua dan resepi yang disediakan, beliau telah mengadun sendiri kesemua bahan untuk dijadikan ubat lalu diberikan kepada rakannya.

Tidak sampai sehari, darah sudah berhenti mengalir dan masalah rakannya selesai serta merta! Bermula dari situlah Datin Anisah mula rasa minat untuk dalami dengan lebih lanjut tentang pembuatan ubatan herba dan ramuan tradisional.

Pada tahun 1965, beliau nekad untuk menukar kerjaya kepada pengusaha jamu tradisi. Ketika baru berniaga, produk awalnya dikenali dengan nama ‘Ubat Mak Tuan’ dan ‘Ubat Kak Pah’.

Setiap ramuan diadun sendiri di dapur rumah beliau. Berbekalkan pengalaman dan kemahiran yang ada, beliau memberanikan diri untuk membuka sebuah spa di Ampang pada tahun 1983. Spa tersebut kemudiannya berpindah ke Damansara pada tahun 1990.

Pada tahun 1991, dalam seminar Herba Antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur anjuran Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Badan Kesihatan Sedunia (WHO), pusat rawatan beliau telah dikenal pasti sebagai model pengendali spa melayu.

Akhirnya, syarikat Nona Roguy ditubuhkan pada tahun 1993. Mesti ramai yang tak tahu bahawa nama Nona Roguy diambil daripada perkataan Sanskrit yang bermaksud bebas daripada penyakit.

Kakak Sharifah Anisah, Sharifah Rogayah juga turut terlibat dalam pengurusan kilang Nona Roguy yang terletak di Alor Setar. Sejak itu, jenama ini terus berkembang sehingga dikenali di serata Malaysia.

Nona Roguy Jadi Peneraju Produk Herba Tradisional

Disebabkan keberkesanan produk yang ditawarkan, Datin Anisah sentiasa menjadi tempat rujukan dalam bidang perubatan tradisional Melayu.

Di samping itu, jenama Nona Roguy juga telah menjadi peneraju dalam menawarkan perkhidmatan spa Melayu di resort serta hotel bertaraf lima bintang dalam negara.

Dengan pengalaman selaman lebih 50 tahun dalam industri herba negara, beliau juga kerap diundang untuk memberi syarahan di beberapa universiti dan hospital tempatan.

Pengasas Nona Roguy

Bagi memperkenalkan potensi herba tradisional Melayu di peringkat antarabangsa, jenama ini juga pernah dijemput mengadakan demonstrasi serta promosi di gedung terkemuka di London iaitu The Harrods.

Di peringkat antarabangsa, beliau turut diundang untuk menyertai pelbagai persidangan antarabangsa dalam bidang berkaitan antaranya di London, Los Angeles, Hua Hin, Hawaii, Paris, Nairobi, Beijing, Bangkok, Jakarta, Brunei, Singapura dan Australia.

Datin Anisah Jadi Rujukan Universiti Tempatan

Walaupun sudah berusia, namun Datin Anisah masih optimistik dan bersemangat untuk kongsikan ilmu mengenai bidang herba tradisional.

Dengan ilmu serta pengalaman yang dikumpul selama lebih 5 dekad dalam bidang ini, beliau yang sering digelar sebagai perintis industri herba ini juga menjadi rujukan para penyelidik serta ilmuan dari universiti tempatan.

Atas kepakarannya, Datin Anisah telah dilantik sebagai ahli panel bagi Pembentukan Standard dan Kriteria Amalan Perubatan Tradisional dan Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia, Panel Pakar Pembangunan NOSS/NOCC – Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK), Kementerian Sumber Manusia, dan ahli Panel Penilai Bidang Perubatan dan Sains Kesihatan di bawah naungan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Bahagian Jaminan Kualiti (QAD), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Antara bidang tugas dan tanggung jawab beliau ialah membangunkan piawai dan kurikulum untuk pembelajaran dalam bidang tersebut.

Pada tahun 2017 pula, anak syarikat Nona Roguy iaitu Asianisa telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Islam Malaysia (UIM).

Kerjasama tersebut bakal membuka peluang bagi penerokaan rahsia kesihatan dan kecantikan Melayu secara lebih mendalam.

Presiden UIM, Tan Sri Prof Dr Mohd Yusof Noor, berkata kerjasama itu menjadi satu inisiatif institusi berkenaan untuk membuat penyelidikan dan memulihara khazanah Melayu tinggalan nenek moyang terdahulu.

Pihak universiti juga bersedia untuk menyediakan kemudahan penyelidikan dan penerbitan kepada Asianisa dalam setiap kajian yang dilakukan.

Pada tahun yang sama, beliau juga menjadi wanita pertama yang dianugerahkan Amirah Halaqah oleh Universiti Islam Malaysia. Beliau juga dilantik oleh universiti tersebut sebagai Fellow Researcher Natural Medicine Research Centre.

Selain itu, Datin Anisah juga pernah menjadi rujukan oleh profesor di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian mengenai cyst dan dan fibroid.

Pada tahun 2018, beliau turut melancarkan sebuah buku iaitu Ensiklopedia Perbidanan Melayu ‘Sebuah Perbendaharaan Ilmu Perubatan dan Penjagaan Kesihatan’. Buku ensiklopedia tersebut dirasmikan oleh YAB Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Sumber : Bernama

Usaha serta jasa pengasas Nona Roguy dalam perkembangan industri herba tradisi Melayu memang patut dipuji. Produknya juga telah membantu ramai wanita menyelesaikan masalah kesihatan dalaman yang dialami sejak berpuluh tahun lamanya.

Meskipun tiada pendidikan formal dalam bidang perubatan tradisional, namun usahawan wanita ini telah menjadi tumpuan serta rujukan ramai pakar kesihatan daripada institusi pendidikan dan penyelidikan.

Kini, produk Nona Roguy masih berada di pasaran dengan wajah yang lebih segar namun dengan khasiat serta kualiti yang tetap terjamin.

Sumber :

Majalah Labur

Facebook Nonaroguy (NR Mustajab) 

Facebook Siti Hajar Shamsudin 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top