IKEA, sebuah syarikat perabot yang besar dan tidak perlu diperkenalkan lagi terutamanya di kalangan pencinta gaya minimalis dan moden untuk hiasan kediaman. Syarikat perabot dari Sweden ini bukan sahaja komited dalam menyediakan produk berkualiti tinggi, malah ia juga menawarkan konsep beli-belah yang unik dan menarik.

Dari perabot dapur hingga perabot bilik tidur yang nyaman, setiap produk dihasilkan dengan teliti untuk memenuhi keperluan harian dan gaya hidup moden.

Dalam pada itu, IKEA Malaysia telah mengumumkan keputusan untuk menutup operasi buat sementara waktu sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk meningkatkan sistem perkhidmatan kepada pelanggan.

IKEA bakal menghentikan operasinya di semua cawangan di seluruh Malaysia dan menutup penjualan dalam talian selama satu hari pada Selasa minggu hadapan, iaitu 30 Mei 2023.

IKEA Malaysia menghadapi peningkatan permintaan dan populariti yang pesat. Walaupun kejayaan ini adalah sesuatu yang positif, namun ia juga menimbulkan beberapa cabaran buat jenama besar ini.

Untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan, IKEA telah membuat keputusan untuk melakukan kemaskini serta memperbaiki sistem perkhidmatan mereka secara menyeluruh.

Setelah sehari penutupan, semua cawangan IKEA di seluruh Malaysia serta jualan dalam talian akan kembali beroperasi dengan lebih sistematik dan efisien pada hari berikutnya, iaitu Rabu, 31 Mei 2023.

Dalam kenyataan rasminya, IKEA memberitahu pelanggan boleh terus melayari inspirasi kelengkapan rumah di IKEA.my semasa proses naik taraf itu. Akan tetapi, pelanggan tidak akan dapat membuat sebarang pembayaran.

Dimaklumkan juga, pelanggan boleh mendapatkan berita terkini terus di halaman Facebook rasmi mereka, IKEA Malaysia. Malah, mereka boleh juga menghubungi IKEA melalui emel di customersevice.ikeamy@ikano.asia untuk mendapatkan bantuan yang lebih lanjut.

IKEA Malaysia berhasrat agar langkah ini membawa peningkatan yang ketara dalam sistem perkhidmatan mereka dan terus menjadi destinasi utama membeli-belah di negara ini.

Diharap para pelanggan dapat menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih baik dan pantas apabila IKEA Malaysia kembali membuka pintu mereka.

IKEA Damansara

Lokasi-lokasi IKEA yang akan mengalami peningkatan termasuk Damansara & Cheras (Lembah Klang), Tebrau (Johor), dan Batu Kawan (Pulau Pinang).

Bagi mereka yang sedang merancang untuk melawat IKEA dalam masa terdekat, disarankan untuk membuat perancangan awal agar aktiviti membeli-belah anda tidak terganggu.

Jadi, sama-sama kita nantikan pengalaman membeli-belah yang lebih menarik dan menyeronokkan di IKEA pada masa akan datang.

 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top