Pengguna jalan raya pasti tidak dapat mengelak daripada melalui plaza tol terutamanya bagi mereka yang berada di kawasan bandar raya sibuk seperti Kuala Lumpur. Selain menyukarkan pengguna jalan raya, ia juga boleh menjadi punca kepada masalah kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di ibu kota.

Baru-baru ini, sebuah berita baik telah diwar-warkan bagi mengatasi masalah ini. Kini, pengguna jalan raya di Kuala Lumpur dapat merasakan kelegaan seiring dengan pengumuman Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, mengenai pelaksanaan sistem pembayaran tol secara terbuka.

Dalam pengumuman tersebut, diketahui bahawa 12 lebuh raya mula beroperasi dengan sistem baharu ini mulai bulan September akan datang.

Terminal Pembayaran Baharu

Dengan langkah ini, pengguna jalan raya kini dapat menggunakan kad debit atau kredit pilihan mereka untuk membayar tol, sekaligus memberikan keselesaan yang lebih kepada mereka.

Berikut adalah senarai plaza-plaza tol yang dijangka akan mula menerima kaedah pembayaran terbuka :

  1. Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)
  2. Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE)
  3. Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya)
  4. Lebuh Raya Baru Pantai (NPE)
  5.  Jambatan Pulau Pinang (JPP)
  6. Lebuh Raya Butterworth – Kulim (BKE)
  7. Lebuh Raya Damansara – Puchong (LDP)
  8. Lebuh Raya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT)
  9. Lebuh Raya Shah Alam (KESAS)
  10. Terowong SMART
  11. Lebuh Raya Kuala Lumpur – Putrajaya (MEX)
  12. Lebuh Raya Duta – Ulu Klang (DUKE)

Inilah revolusi terkini dalam pembayaran tanpa tunai yang akan membawa kemudahan dan keselesaan kepada pengguna jalan raya.

Baru-baru ini, kelihatan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) telah memulakan pemasangan terminal pembayaran kad di plaza tol mereka sebagai langkah persediaan bagi pelancaran sistem pembayaran terbuka yang dijangka akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Penemuan ini didapati di plaza tol PJS5 yang menghala ke Petaling Jaya.Pemasangan terminal pembayaran itu terletak bersebelahan dengan terminal sentuh Touch n Go yang ada di plaza tol.

Terminal baharu ini menampilkan skrin hidup yang memaparkan logo PAX Technology, sebuah syarikat pembuatan terminal digital yang berpusat di Shenzen, China.

Mesin tersebut menggunakan sistem operasi yang khas berdasarkan Android. Ia dilengkapi dengan skrin sentuh TFT seluas 5-inci yang mempunyai lapisan anti-silau dan tahap kecerahan yang melebihi 600 nits.

Selain daripada itu, ia juga dilengkapi dengan port LAN sebagai standard, dan mempunyai keupayaan untuk disambungkan melalui pilihan tambahan seperti 4G, WiFi, dan Bluetooth.

Terminal Pembayaran Baharu

Sumber: SoyaCincau

Mesin terminal atau PAX IM30 tidak hanya menyokong pembayaran tanpa sentuhan, tetapi juga menyokong pembayaran menggunakan cip dan PIN. Selain itu, mesin ini juga menerima pembayaran melalui leretan magnetik, walaupun kaedah ini tidak lagi digunakan di Malaysia selepas Bank Negara Malaysia menghentikan penggunaan tandatangan sebagai asas pembayaran pada 1 Julai 2017.

Malah, PAX IM30 juga mempunyai kemampuan untuk menyokong pembayaran melalui kod QR dengan menggunakan kamera 0.3MP yang terletak di bahagian bawah mesin. Ini memberikan peluang yang lebih luas untuk cara pembayaran tol, melalui penggunaan aplikasi eWallet dan aplikasi perbankan internet yang menyokong pembayaran menggunakan kod QR.

Dengan kehadiran sistem ini, pengguna jalan raya akan dapat menikmati kemudahan dan keselesaan yang lebih besar ketika melalui plaza tol. Ia pasti akan membawa perubahan yang signifikan dalam cara kita membayar tol di plaza-plaza tol yang terpilih. Sama-sama kita nantikan kedatangan kaedah pembayaran baharu ini tak lama lagi.

Sumber:SoyaCincau

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top