Perkembangan platform perkhidmatan penstriman dan penggunaan teknologi digital telah melonjak dengan pesat sejak beberapa tahun ini. Kini, ia juga telah berubah menjadi salah satu bentuk hiburan utama bagi jutaan orang di seluruh dunia.
Dengan berbagai pilihan hiburan yang lebih luas, termasuk rancangan TV, filem terkini, dan konten eksklusif, platform perkhidmatan penstriman menawarkan kemudahan akses yang lebih tinggi dan fleksibiliti dalam menonton hiburan kesukaan.
Kebebasan menonton kandungan kegemaran pada bila-bila masa dan di mana sahaja melalui peranti mudah alih telah membawa perubahan besar dalam bagaimana kita mengisi masa lapang. Kemudahan ini menjadikan hiburan lebih mudah diakses tanpa mengira waktu dan tempat.
Tidak terkecuali, MyTV Broadcasting Sdn Bhd (MyTV) baru-baru ini turut memperkenalkan satu platform penstriman Over-the-Top (OTT) secara percuma tanpa sebarang pembayaran pendaftaran ataupun langganan bulanan di seluruh Malaysia yang dikenali sebagai MyTV Mana-Mana.
Platform MYTV Mana-Mana menyediakan pelbagai saluran televisyen dan radio yang boleh diakses oleh pengguna. Antara saluran yang tersedia termasuklah RTM, TV6, OKEY TV, TV Alhijrah, Bernama TV, TV Ikim, TVRI, My Cinema Europe, Enjoy TV5, Klasik Nasional, Sabah FM, Sarawak FM, dan Best FM. Pengguna dapat menikmati pelbagai pilihan kandungan dari saluran-saluran yang menarik ini melalui platform MYTV Mana-Mana.
MYTV telah diperkenalkan pada tahun 2019, ketika siaran televisyen analog rasmi ditamatkan di negara ini. Mereka memberikan peluang kepada penyedia kandungan untuk mendapatkan pendapatan tambahan dengan menyiarkan kandungan di platform ini.
Aplikasi MyTV Mana-Mana merupakan sebuah platform digital yang menyokong pelbagai kandungan tempatan dan antarabangsa dalam Definisi Tinggi (HD) yang boleh ditonton secara langsung atau atas permintaan.
Pelancaran perkhidmatan ini berlangsung ketika acara MyFestiva pertama mereka di Aeon Mall Tebrau City, Johor Bahru dan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Mastura Ahmad Mustafa.
Memetik kenyataan dari MyTV, ciri-ciri aplikasi ini setanding dengan perkhidmatan penstriman popular lain, termasuk saluran TV langsung dan stesen radio.
Ia juga menyediakan pelbagai pilihan kandungan atas permintaan dengan kemudahan untuk bermain, mengehadkan, rewind and pause tayangan, serta menyediakan fungsi mengejar kandungan hingga tujuh hari.
Di samping itu, aplikasi ini membolehkan perkongsian kandungan, mempunyai keupayaan gambar dalam gambar (PIP), panduan TV interaktif, dan boleh diakses dari pelbagai peranti.
Menurut Mastura Ahmad, tindakan ini merupakan satu langkah kemajuan dalam mengurangkan jurang digital dan memberi peluang baru kepada penonton untuk mengakses kandungan berkualiti selaras dengan aspirasi kerajaan.
Dalam pada itu, MyTV telah menetapkan matlamat untuk mencapai hingga tujuh juta pengguna menjelang akhir tahun ini. Ketua Pegawai Operasi MyTV Broadcasting Sdn Bhd., Azlina Mohd. Yusof, menyatakan bahawa sasaran tersebut adalah realistik berdasarkan pencapaian sementara mereka, di mana telah tercatat lebih 6.3 juta pengguna dari seluruh negara, terutamanya dari kalangan masyarakat di kawasan luar bandar.
Azlina Mohd. Yusof, turut menyatakan bahawa hingga kini, platform MYTV Mana-Mana telah menyediakan 15 saluran televisyen dari dalam dan luar negara serta 12 saluran radio yang dapat dinikmati secara percuma.
Selain itu, mereka berusaha keras untuk menggalakkan kesedaran orang ramai tentang perkhidmatan ini dengan melakukan promosi yang besar-besaran. Di samping itu, MyTV juga berkomitmen untuk menyediakan lebih banyak saluran dan rancangan menarik bagi kepuasan para pengguna.
Beliau juga mengumumkan inisiatif pemberian dekoder percuma untuk akses ke televisyen, terutamanya ketika ada program yang disiarkan di MYTV Mana-Mana. Sejak 2019, sebanyak 2.3 juta dekoder telah diagihkan kepada pengguna di seluruh negara dan inisiatif ini masih berlanjutan hingga hari ini. Bagi yang berminat untuk mendapatkan dekoder ini, mereka boleh menghubungi talian khidmat pelanggan MyTV di 1-300-80-6988.
Sumber: UtusanMalaysia