Dunia bisnes ini memang ada banyak ragamnya. Mungkin orang luar seperti pelanggan menganggap untuk operasi bisnes ini kerja mudah. Hanya tunggu hujung bulan untuk menuai hasil.

Sebaliknya, ia penuh dengan liku dan hanya yang kuat sahaja yang mampu meneruskannya.

Menyentuh tentang cabaran dunia perniagaan ini, seorang lelaki terpanggil untuk menceritakan kisah ‘kekejaman bisnes’ yang pernah dilalui oleh rakannya sendiri yang kini merupakan pemilik café kecil di Ara Damansara.

Dunia Bisnes Penuh Kejutan, Pelanggan Bertukar Jadi Pemilik Kedai Baru

Memetik perkongsian daripada hantaran Facebook Kukubesi Manipulasi, rakannya dahulu menjalankan perniagaan kedai kopi ala hipster. Kedai tersebut mendapat sambutan yang baik dan merupakan pilihan ramai penduduk setempat untuk nikmati kopi dan hidangan ringan sehingga ke malam.

Pada suatu hari, rakannya dapat tahu yang kedai tersebut sudah pun dijual kepada pemilik baharu. Tanpa disangka-sangka, pemilik baharu itu rupanya adalah salah satu pelanggan tetap bagi kedai kopi tersebut.

Tanpa belas kasihan, pemilik baru itu telah menaikkan sewa sebanyak tiga kali ganda. Perkara ini telah membuatkan rakannya buntu kerana dia sudah melakukan renovasi yang agak besar untuk kedai tersebut.

Walaupun pada awalnya si pengusaha kedai kopi sudah bersetuju dengan tawaran kenaikan harga sewa, malangnya pemilik kedai baharu masih tidak bersetuju untuk menyambung kontrak.

Bukan itu sahaja, si pengusaha kedai kopi juga disuruh untuk keluar awal daripada tempoh kontrak asal. Tiada pilihan lain, dia pun terpaksa akur dengan permintaan pemilik kedai baharu itu.

Mula Ambil Tahu Selok Belok Kedai

Licik dari yang disangka, si pemilik kedai baharu didapati mula cari informasi mengenai selok-belok operasi kedai itu sehinggakan sanggup untuk datang awal pagi sebelum ia dibuka.

Dia juga pernah cuba untuk dapatkan informasi daripada staff tentang pembekal makanan dan beberapa menu lain, tetapi semua maklumat ini hanya si pengusaha kedai kopi sahaja yang tahu.

Ketika kedai masih beroperasi, pemilik baharu ini juga tidak malu untuk membawa kontraktor ke kedai kopi untuk mengambil ukuran sehingga mengganggu privasi di bilik staff.

Hanya selepas diarahkan untuk keluar barulah si pemilik kedai tidak lagi mengganggu. Namun, si pengusaha kedai kopi tidak mengendahkan karenah pemilik dan tetap meneruskan perniagaan sehingga tiba masanya untuk keluar dari kedai.

Buku Bertemu Ruas

Hari untuk menyerahkan kunci kedai akhirnya tiba. Ketika pemilik sampai untuk mengambil kunci, alangkah terkejutnya dia apabila melihat keadaan kedai yang sudah ‘kosong’.

Mana tidaknya, semua renovasi telah dipecahkan dan kedai kembali kepada keadaan asal. Merah padam muka pemilik kedai dibuatnya.

Si pemilik juga pada awalnya menyangka kedai kopi itu akan ditinggalkan bersama renovasi sedia ada yang sudah cantik. Jadi, dia boleh lakukan bisnes tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak.

Walaupun kerja ‘memecahkan’ renovasi memakan puluhan ribu ringgit, namun si pengusaha kedai berpuas hati kerana tiada siapa yang boleh ambil hasil titik peluhnya. Difahamkan setelah lima bulan, kedai tersebut masih tiada sesiapa menyewa atau jalankan bisnes.

Si pengusaha kedai pula sudah pun dapat tapak kedai baharu yang lebih menarik dengan lokasi yang lebih strategik. Sementara menunggu café baharu siap, dia teruskan perniagaan dengan membuka mini café yang berkonsepkan moden dinamakan Bijou Ara Damansara.

dunia bisnes

Berdasarkan kisah ini, dapatlah kita simpulkan yang mungkin orang lain boleh membeli kedai, tetapi kebijaksanaan dalam menjalankan bisnes bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperoleh.

Dunia perniagaan ini juga cukup kejam dan biasanya orang terdekat seperti pelanggan dan staff akan cuba untuk tiru dan curi idea bisnes.

Nampak mudah, tetapi bila sudah berada di tempat pengusaha bisnes, barulah tahu betapa susahnya untuk kendalikan perniagaan dengan wang dan kudrat sendiri.

Hanya orang yang tabah hati sahaja mampu untuk teruskan perniagaan walaupun diduga dengan pelbagai cabaran.

Sumber : Facebook Kukubesi Manipulasi

Baca Juga : Raih Jualan RM 150 Juta Dalam Masa 3 Tahun Dengan Bubblebee, Ini Kisah Menarik Tentang Perjalanan Shuib Sepahtu Dalam Dunia Bisnes

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top