Nama Shuib Sepahtu kini makin terkenal sebagai usahawan berjaya. Meskipun pada asalnya dikenali sebagai pelawak, namun usahanya dalam membangunkan perniagaan membuatkan anak kelahiran Johor Bahru ini semakin terkenal sebagai pemilik Bubblebee.
Kini, jenama tersebut menjadi pilihan ramai rakyat Malaysia yang ingin menikmati minuman serta pemanis mulut berasaskan madu.
Beroperasi di 60 cawangan serata Malaysia, pelanggan kini juga boleh menjamu selera dengan pelbagai hidangan yang turut ditawarkan seperti nasi lemak, croffle, kek dan pelbagai pastri.
Usahawan dengan nama sebenar Shahmira Muhamad ini juga cukup optimis dalam mengembangkan jenamanya meskipun diduga dengan pelbagai cabaran.
Ayuh kita semak kisah menarik tentang pengalamannya dalam dunia bisnes.
Shuib Sepahtu Pernah Gagal Banyak Kali Dalam Berbisnes
Shuib mula menceburkan diri dalam bidang hiburan setelah merangkul gelaran juara Raja Lawak musim ke-3 bersama kumpulan Sepah pada tahun 2009.
Selain aktif dalam lakonan bergenre komedi, beliau juga terkenal sebagai penyampai radio. Namun, atas rasa minat terhadap bidang perniagaan, beliau pun memberanikan diri untuk mulakan bisnes.
Di sebalik kejayaan usahawan ini, sebenarnya terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi. Beliau akui pernah gagal berbisnes berkali-kali dan terpaksa menanggung kerugian yang besar.
Sekitar tahun 2016, beliau pernah memulakan bisnes kopi. Namun, produknya tidak laku dan terpaksa dibuang kerana sudah tarikh luput. Kemudian, beliau juga mencuba bisnes kurma namun nasib masih tidak menyebelahinya. Perniagaan tersebut juga gagal sehingga stok kurmanya berulat dan terpaksa dibuang.
Namun, semua dugaan yang dihadapi tidak melunturkan semangat Shuib untuk terus berjuang dalam perniagaan.
Hanya selepas 7 tahun mencuba dalam industri bisnes, barulah beliau menemui perniagaan yang membuahkan hasil iaitu Bee Factory. Menurutnya, kegagalan yang dihadapi merupakan pengalaman yang berharga untuk lebih maju pada masa akan datang.
“Pesanan saya kepada yang nak mulakan bisnes, jangan putus asa dan ingatlah pengalaman itu lebih mahal harganya daripada kejayaan yang kita akan capai nanti!”, pesan Shuib kepada usahawan yang baru mulakan bisnes.
Idea Bubblebee Tercetus Kerana Sangat Sukakan Air Boba
Siapa sangka jenama Bubblebee milik Shuib Sepahtu ini mampu mencetus fenomena dan merubah industri minuman boba di Malaysia? Baru beroperasi selama 3 tahun, namun jenama aiskrim madu dan teh boba ini mampu mencapai hasil jualan sebanyak RM150 juta!
Jenama yang popular dengan slogan ‘Semanis Senyuman Anda’ ini juga dikatakan merupakan air boba berasaskan madu lebah pertama di dunia.
Membuka cawangan pertama di Menara U, Shah Alam, Selangor, idea untuk membangunkan minuman boba ini tercetus kerana Shuib dan arwah isterinya, Siti Sarah cukup menggemari minuman tersebut. Namun, mereka ingin kongsikan minuman boba yang lebih sihat dan berasaskan madu lebah.
“Kami peminat air boba, malah pernah satu masa berat badan naik sebab obses dengan minuman ini, Idea tercetus untuk gantikan gula melaka dengan madu lebah kerana ia bukan sahaja lebih sihat, malah ia juga terbukti kaya dengan khasiat untuk kecantikan kulit dan kesihatan tulang,” jelas Shuib Sepahtu dalam majlis pelancaran cawangan tersebut kira-kira 3 tahun lalu.
Banyak Bersedekah dan Amalkan Surah Al-Waqiah
Ditanya mengenai rahsia kejayaannya dalam menguruskan perniagaan, usahawan yang baru mendirikan rumah tangga bersama Watie Hanifiah memberitahu beliau mengamalkan bacaan surah al-Waqiah serta memperbanyakkan amalan bersedekah dalam kehidupan.
“Setiap awal pagi dan malam saya mendengar surah tersebut, sebab saya percaya kita bukan orang yang hebat tapi Allah hantarkan orang lain yang lebih hebat itu kepada kita.
Sebelum ini, kita ingat boleh buat semua benda, tapi ada suatu masa kita rasa putus asa dan tak boleh pergi. Cumanya bila Allah hantar orang-orang yang hebat pada kita, ia naikkan semangat,” kongsi usahawan yang berusia 38 tahun ini.
Merangkul Banyak Anugerah Sebagai Usahawan
Usaha Shuib dalam membangunkan bisnes tidak sia-sia apabila beberapa jenama miliknya berjaya memenangi beberapa anugerah. Pada tahun 2019, jenama madunya, Bee Factory telah dianugerahkan prestigious Leader in Retail Chain & Lifestyle Industry.
Pengasas Bubblebee ini juga telah menerima anugerah bertaraf antarabangsa iaitu Lifestyle Beverage Brand Of The Year dalam Made For The World Excellence Awards 2021.
Mungkin ada orang yang hanya melihat kejayaan yang dimiliki Shuib sekarang. Namun, terdapat banyak cabaran yang beliau perlu hadapi untuk jadi usahawan berjaya.
Figuranya sebagai seorang usahawan berjaya juga menjadikan Shuib sebagai sasaran buah mulut netizen sehingga ada yang sanggup menabur fitnah padanya. Namun, beliau mampu tangani semua masalah serta tohmahan dengan cara yang baik.
Beliau yang baru berumah tangga ini juga dilihat lebih ceria dan bersemangat dalam meneruskan perjuangannya dalam berbisnes. Selamat maju jaya diucapkan buat Shuib Sepahtu dan semoga kisah kejayaan beliau mampu menjadi penyuntik semangat buat para usahawan untuk turut berjaya sepertinya.
Sumber : Mstar , Gempak.com