Minuman sirap ros sememangnya cukup sebati dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia bukan sahaja sering dinikmati di rumah, malah ia turut disajikan kepada tetamu yang menghadiri kenduri atau majlis kesyukuran.

Antara jenama sirap yang sering menjadi pilihan warga tempatan adalah Ameen. Terkenal dengan bungkusan botol kaca dan label berwarna kuning, kini Ameen tampil dengan wajah baharu namun dengan kualiti serta keenakan yang sama.

Ameen Products Sdn Bhd diterajui oleh Muhammad Irfan iaitu pengarah urusan serta anak kepada pengasasnya iaitu Allhahyarham Amanullah.

Irfan berasakan adalah tugasnya untuk meneruskan legasi perniagaan sirap milik ayahnya. Tambahan pula, beliau berpendapat adalah penting untuk menjaga jenama Ameen agar tetap diuruskan oleh Muslim.

Bagaimana sirap Ameen boleh jadi salah satu jenama legend di Malaysia? Ayuh sama-sama kita ikuti kisah menariknya.

sirap ameen

 

Produk Pertama Ameen Sebenarnya Kicap

Diasaskan pada tahun 1982, nama jenama Ameen itu sendiri asalnya daripada gelaran nama arwah ayahnya sendiri sejak dahulu.

Pasti ramai tak tahu, sebenarnya produk pertama Ameen bukanlah sirap tetapi kicap!

Amanullah sedari potensi untuk bangunkan produk sirap kerana kerana itu tiada peniaga Muslim yang mengusahakannya di Malaysia.

Tambahan pula, terdapat banyak jenama kicap dan sos mula muncul di pasaran tempatan pada era 80an antaranya Jalen, Mudim dan Aminah Hassan.

Dengan adanya kenalan di beberapa kedai runcit, Amanullah pun mula memasarkan produknya. Sambil menjual, beliau turut mengedarkan sampel supaya pemilik kedai dapat memberikan maklum balas mengenai produknya.

Jadi, dapatlah Amanullah membuat penambahbaikan sehingga terhasilnya sirap yang menepati cita rasa pengguna.

Inovasi Perlu Untuk Serlahkan Jenama

Terkenal dengan sirap yang wangi, pekat dan berkualiti tinggi, jenama yang menerima anugerah Top 20 SME 2015/2016 daripada Tesco ini tidak mudah selesa meskipun sudah terkenal.

Sebaliknya, mereka terus menghasilkan produk berinovasi bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Antara produk baru yang dihasilkan adalah pekatan sirap dalam bentuk door gift atau pakej hadiah. Bersaiz comel dan lengkap dengan kotak yang cantik, ia sangat sesuai untuk dijadikan buah tangan untuk majlis keramaian atau majlis korporat.

Pekatan Ameen juga sangat jimat untuk digunakan. Walaupun botolnya kecil, namun ia boleh dibancuh sehingga 40 gelas air.

Satu lagi produk unik yang dijual oleh Ameen adalah set kombo jus mangga.

Hanya dengan RM 39.90, pembeli akan disediakan dengan 1 tin puri mangga, 2 botol kordial mangga dan resepi jus mangga.

Cukup untuk bancuhan 40 liter air balang, Irfan berpendapat produk ini sangat berbaloi dan wajib dicuba oleh para peniaga yang berminat untuk memulakan jualan air.

sirap Ameen

Rahsia Ameen Mampu Bertahan Lebih 40 Tahun

Memang tak dinafikan produk sirap dan bes minuman Ameen boleh dikatakan sebagai salah satu jenama tempatan ‘legend’ yang masih diminati ramai sehingga ke hari ini.

Irfan bersyukur jenama Ameen tetap mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia meskipun sudah berada dalam pasaran selama 41 tahun.

Menurut Irfan, salah satu sebab mengapa jenama Ameen mampu bertahan hingga sekarang ialah identiti uniknya.

Produk ini mempunyai kualiti dan rasa yang berbeza berbanding jenama lain. Tambahan pula, ramai yang sudah kenali jenama Ameen yang terkenal dengan label berwarna kuning ini.

Pelanggan juga tiada masalah untuk mengulangi pembelian kerana sudah tahu kepekatan, keenakan dan kualiti produk Ameen.

Untuk memastikan produk mudah untuk didapati di kedai atau pasar raya, Irfan turut menitikberatkan khidmat merchandiser.

Merchandiser kena ada untuk uruskan susunan produk pada rak. Ini sebenarnya penting demi paparan produk yang baik dan bagi mengelakkan pesaing mengambil tempat kita.

Selain menjamin susunan produk yang baik, merchandiser juga dapat memantau stok yang sudah dihantar di kedai atau pasar raya,” jelas Irfan dalam satu temubual bersama Destinasi TV.

sirap Ameen

Cabaran Produk Sirap Ameen Ditiru

Disebabkan sambutan yang sangat menggalakkan, beberapa syarikat yang tak bertanggungjawab didapati mula mengambil kesempatan untuk meniru bungkusan produk sirap Ameen secara bulat-bulat.

Irfan masih ingat lagi pada sekitar 1988, beliau dapati terdapat produk tiruan yang boleh dijumpai di pasaran sehingga sukar untuk ketahui perbezaannya.

Mereka menggunakan botol kaca segi empat dan label berwarna kuning yang sengaja ditampal senget sama seperti Ameen.

Mengenai isu ini, Irfan akui agak sedih. Beliau sedar syarikat Ameen agak sukar untuk mengatasi produk tiruan pada peringkat awal kerana ia mempunyai pasaran yang lebih menyeluruh dengan bantuan pengedar.

Sedangkan Ameen pula menghasilkan produk, membuat jualan dan menguruskan edaran sendiri. Mereka juga hasilkan botol kaca sendiri demi menjaga kualiti pembungkusan.

Tahun demi tahun, jenama sirap legend ini akhirnya berjaya dipasarkan ke seluruh Malaysia.

Kini berwajah baharu dengan bungkusan shrink wrap, produk Ameen boleh didapati di pasar raya utama seperti 99 Speedmart, Lotus’s dan Giant.

Lebih membanggakan lagi, produk Ameen turut dieksport ke luar negara iaitu Brunei, Mauritius dan Maldives.

Pada masa akan datang, Irfan berharap jenama Ameen dapat menembus satu lagi pasaran di negara jiran iaitu Indonesia.

Dengan pengekalan kualiti dan inovasi produk yang sesuai dengan citarasa pengguna, Irfan berharap jenama Ameen dapat menjadi pengeluar pekatan dan kordial berperisa nombor satu di Malaysia.

Sumber : Destinasi TV

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top