Bagi memudahkan urusan pelanggan mengisi minyak kenderaan, Shell telah melancarkan aplikasi Shell Asia. Menerusi aplikasi tersebut, pengguna boleh membuat pembayaran terus isian minyak menerusi aplikasi tanpa perlu ke kaunter.
Aplikasi ini dikatakan hampir sama dengan Setel, iaitu aplikasi yang dibangunkan oleh Petronas namun cirinya lebih terhad.
Untuk makluman, Shell Asia terpaut secara automatik dengan akaun Bonuslink. Sekiranya anda belum ada akaun, anda harus mendaftar dalam aplikasi tersebut. Langkahnya cukup ringkas dan mengambil masa yang singkat sahaja. Jadi, sambil mengisi minyak, pengguna boleh mengumpul mata ganjaran Bonuslink.
Selain itu, pengguna juga boleh memilih baucar yang ingin ditebus bagi setiap transaksi serta menebus mata ganjaran Bonuslink untuk membeli barangan dari kedai Shell Select.
Di samping itu, aplikasi ini juga berfungsi untuk membantu pengguna mencari stesen Shell dengan kemudahan tertentu seperti surau, ATM, pusat cuci kereta, tempat pengecasan EV (kereta elektrik) serta stesen yang ada kemudahan pembayaran RFID.
Buat masa ini, kira-kira 650 stesen boleh menerima pembayaran dan menyokong aplikasi baharu ini. Pada masa yang sama, Shell turut menyasarkan supaya aplikasi ini dapat digunakan di semua cawangan menjelang akhir tahun ini.
Beroperasi selama 125 tahun di Malaysia, Shell komited untuk menawarkan bahan api dan menjadi peneraju industri gas dan minyak di peringkat global.
Cara Isi Minyak Guna Aplikasi Shell Asia
Berikut dikongsikan langkah-langkah penggunaan aplikasi Shell Asia untuk mengisi minyak.
– Pertama sekali, anda perlu muat turun aplikasi di salah satu platform berikut :
– Di laman Home, tekan Pay for Fuel.
– Masukkan nombor pam (satu angka pun boleh)
– Masukkan jumlah isian minyak (RM) yang anda inginkan. Contohnya RM 60
– Tekan Confirm Payment kecuali jika anda ingin tukar kepada penggunaan kad debit atau kredit.
– Seterusnya, tekan Confirm Payment sekali lagi.
– Masukkan kod TAC/OTP/MSOS yang dihantar melalui SMS.
– Pembayaran selesai, anda boleh angkat nozzle pam untuk mula mengisi minyak.
Pengguna boleh semak lokasi stesen minyak yang menyokong penggunaan aplikasi Shell Asia di laman web rasmi Shell.
Sumber : wiser.my, Harian Metro
Baca Juga : Tak Mampu Saingi 7-Eleven, FamilyMart Terpaksa Tutup Operasi di Thailand