Pulau Pinang berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai pengeksport utama negara pada Disember lalu.

Meskipun negeri tersebut merupakan kedua terkecil di Malaysia, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata Pulau Pinang mampu konsisten berada di kedudukan tiga teratas dalam memberikan sumbangan kepada ekonomi, pertumbuhan, serta tarikan pelaburan ke arah negara ini.

“Lima negeri mendominasi eksport negara yang mana menyumbang sebanyak 81 peratus dan saya gembira Pulau Pinang berada pada kedudukan pertama dengan nilai eksport sebanyak RM 37.3 bilion”, ulas Chow ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari Sempena Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Kebajikan 88 Captains, sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Georgetown.

Chow turut berkata negeri tersebut berada di landasan yang tepat bagi mencatat satu lagi tahun yang hebat dalam pelaburan pembuatan yang telah diluluskan.

pulau pinang

Suku ketiga 2023 menunjukkan aliran masuk FDI pembuatan yang diluluskan berjumlah RM 35.8 bilion iaitu peningkatan sebanyak enam kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

“Pulau Pinang sekali lagi menunjukkan peranan sebagai penyumbang utama bagi pelaburan langsung asing (FDI) pembuatan negara dengan merangkumi sebanyak 42 peratus bagi pembuatan utama di Malaysia,” ulas Chow.

Beliau berkata antara negara yang mempunyai FDI pembuatan teratas di Pulau Pinang ialah Belanda, Singapura dan Amerika Syarikat yang kesemuanya menyumbang sebanyak 95 peratus kepada pelaburan pembuatan yang diluluskan di negeri ini.

“Saya juga yakin kejayaan ekonomi kita adalah berita baik untuk semua rakyat negeri ini terutamanya generasi muda yang mempunyai tempat untuk mencari rezeki di tapak yang kita sediakan sekarang”, katanya.

Pada November lalu, media turut melaporkan bahawa Pulau Pinang merupakan salah satu negeri yang menyumbang kepada 68 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia selain Selangor dan Johor.

Dalam Statistik Eksport Import Mengikut Negeri November 2023, Malaysia telah mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM 231.8 bilion pada November 2023 dengan nilai eksport sebanyak RM122.1 bilion dan import bernilai RM109.7 bilion.

Sumber : Business Today

Baca Juga : Prestasi Ekonomi Malaysia Dipuji Bank Dunia, Berdaya Tahan Hadapi Impak Pandemik Covid-19

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top