Pada zaman teknologi ini, pelanggan didapati lebih cenderung untuk membuat pembayaran secara atas talian kerana prosesnya lebih pantas dan mudah.

Dari pembelian barangan keperluan, pesanan makanan di restoran sehinggalah ke pembayaran bil, hampir kesemua transaksi kini boleh dilakukan tanpa tunai.

Justeru, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melancarkan inisiatif Cashless Melaka di Pasar Malam Malam Taman Seri Duyong sebagai lokasi projek perintis ini.

Pasar malam yang disertai oleh 120 peniaga ini juga telah terpilih bagi Program Transformasi Pasar Malam (PTPM) Bandaraya Melaka.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Mohd Noor Helmy Abdul Halim berkata lebih 1,200 penjaja dan peniaga telah menyertai inisiatif berkenaan sejak ia dimulakan pada Mac lalu sempena jualan bulan Ramadan.

“Inisiatif Cashless Melaka bukan sahaja diyakini selamat, malah ia juga dapat memudahkan lagi aktiviti jual beli antara pengguna dan peniaga.

Kita juga menerima maklum balas positif dan peningkatan 2.5 peratus hasil jualan daripada peniaga selepas terlibat dalam inisiatif ini”, ulasnya.

Walau bagaimana pun, Mohd Noor Helmy berkata pihaknya mendapati kesedaran mengenai transaksi bayaran tanpa tunai masih rendah dalam kalangan masyarakat terutamanya peniaga akibat kelaziman menggunakan transaksi tunai.

Justeru, dengan adanya promosi dan inisiatif ini, ia diharap dapat memacu aktiviti transaksi tanpa tunai di negeri tersebut dalam sektor perniagaan dan peruncitan selaras dengan aspirasi Melaka menjadi negeri pintar atau Smart City seperti yang digariskan di bawah Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2034 dan Smart Melaka Blueprint 2035.

Promosi dan Insentif Khas Sempena Program Cashless Melaka

cashless melaka

Bagi menjayakan program ini, MCMC telah menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan kewangan dan platform digital termasuk TnG, Maybank MAE, Boost dan Foodpanda.

Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC, Zulkarnain Mohd Yassin berkata mereka turut menyediakan insentif pulangan semula atau cashback sebanyak RM 20 bagi setiap pembelian RM 30 untuk pelanggan yang menggunakan aplikasi e-dompet yang turut serta dalam program ini.

Pada masa yang sama, para peniaga di lokasi tersebut juga ditawarkan dengan pelbagai insentif apabila mendaftar perniagaan mereka dengan penyedia perkhidmatan kewangan yang terlibat.

Seramai 4,000 peniaga dan penjaja disasar untuk menyertai inisiatif ini menjelang hujung tahun. Diharap supaya inisiatif ini dapat menggalakkan lagi aktiviti pembayaran tanpa tunai dalam kalangan peniaga dan pelanggan pada masa akan datang.

Sumber : wiser.my, Bernama 

 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top