Koperasi Arash Jaya Kelantan Berhad (Koraya) telah menyalurkan pembiayaan kira-kira RM 20 juta kepada hampir 400 permohonan daripada kontraktor-kontraktor perumahan khususnya di negeri-negeri Pantai Timur yang rata-rata mengalami tekanan ekonomi sejak penularan wabak Covid-19.

Pengerusinya Rozaidi Abdullah berkata, sambutan menggalakkan ini diterima berikutan keistimewaan Koraya sebagai satu-satunya koperasi yang menawarkan pembiayaan patuh syariah jangka pendek bagi sektor kontraktor perumahan.

Koraya

Menurut beliau, sektor ini masih kurang diberi perhatian oleh institusi kewangan lain akibat risiko kredit yang tinggi.

Namun, Koraya melihatnya sebagai peluang dalam pasaran industri untuk mereka tawarkan pembiayaan yang selaras dengan hukum syarak kepada kontraktor perumahan yang memerlukan.

Bantuan daripada Koraya ini mampu melancarkan lagi aliran tunai syarikat kontraktor agar projek-projek perumahan dapat disempurnakan mengikut matlamat.

Selain pembiayaan kewangan, Koraya turut menawarkan latihan pengurusan projek bagi memastikan kontraktor dapat membuat perancangan aliran tunai syarikat dan menyiapkan kerja-kerja di tapak dengan baik.

Pendekatan ini juga penting memandangkan harga bahan binaan dan kos buruh semakin meningkat jika projek tidak dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

Pada masa yang sama, projek terbengkalai juga dapat memberikan impak buruk kepada keuntungan negara.

Tambah Rozaidi, meskipun industri pembinaan hanya merangkumi kira-kira 10% daripada pembiayaan yang diluluskan oleh Lembaga Perumahan Pembiayaan Sektor Awam (LPPSA) dan bank, namun ia boleh memberi impak kepada lebih 30 sektor lain, terutamanya di bandar-bandar kecil dan kampung-kampung.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap di Majlis Iftar dan Menandatangani Perjanjian dan Memorendum Persefahaman (MOU) di antara rakan strategik Koraya, Sinaran Mega Solution Sdn Bhd (SMSSB) serta Koraya dan MyFinB Holdings Pte Ltd.

Menurut Pengarah SMSSB, Nik Mohd Nasrudeen, mereka akan bekerjasama dengan Koraya bagi mengembangkan lagi kemudahan pembiayaan patuh syariah kepada kontraktor perumahan tidak hanya di Pantai Timur, malah ke seluruh Malaysia menjelang akhir tahun 2023 dengan sasaran pembiayaan sebanyak RM 30 juta.

“Kami juga sedang meneroka segmen baru pasaran selain kontraktor perumahan iaitu ‘pembiayaan hartanah sub-sale‘ yang telah dirintis Koraya bagi membantu pemilik hartanah yang dalam proses jualan hartanah mereka bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan segera.

Ini adalah antara game changer yang kami percaya akan mendapat sambutan dengan kepakaran dan pengalaman yang ada pada Koraya”, ujar beliau.

MOU yang ditandangani antara Pengerusi Koraya, Rozaidi Abdullah dan Pengerusi MyFinB Pte Ltd, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar pula adalah bagi merasmikan penerokaan penggunaan Big Data dan Artificial Intelligence (AI) khusus bagi sektor pembinaan dan pelaburan.

MYFinB merupakan sebuah syarikat teknologi Malaysia pertama yang menggunakan Big Data atau data raya serta AI untuk membantu perniagaan khususnya dalam pelaburan.

Melalui kerjasama dengan MyFinB, Koraya juga bakal membantu kontraktor yang berdepan dengan masalah seperti pengurusan aliran tunai, kos buruh yang tinggi serta pengurusan projek yang lebih cekap.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top