Sempena sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma tak lama lagi, Perodua kini memperkenalkan pakej servis khas iaitu Perodua Auto Rahmah 2023.
Perodua berkata inisiatif ini merupakan maklum balas kepada pakej Auto Rahmah yang baru dilancarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di bawah program Payung Rahmah bagi mengurangkan beban pengguna terhadap kenaikan harga barangan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kementerian berbesar hati kerana Perodua telah menyahut saranan kerajaan menerusi pakej Auto Rahmah 2023 dengan menawarkan diskaun untuk penyelenggaraan kenderaan di pusat servis rasminya.
“Hari ini, pemilikan kenderaan telah menjadi satu keperluan. Sehubungan itu, kos pemilikan kenderaan seperti pinjaman, perbelanjaan bahan api, tol dan penyelenggaraan juga menjadi antara komponen utama perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia.
“Kami berharap jenama kenderaan lain juga akan turut mengikuti langkah Perodua bagi membantu memastikan keselamatan pemilik kenderaan dan mereka yang tersayang semasa berada di jalan raya, terutamanya menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba,” kata beliau.
Menurut Presiden dan Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, pakej Perodua Auto Rahmah 2023 ini dikhususkan buat pelanggan Axia dan Bezza bagi memenuhi keperluan permotoran dan pada masa yang sama mengurangkan kos sara hidup mereka.
“Axia dan Bezza adalah model kami yang paling popular dan digunakan secara meluas sebagai mod pengangkutan utama oleh para pelanggan kami. Oleh itu, kami ingin memastikan usaha yang dibuat dapat dinikmati oleh golongan sasar dan memberikan ketenangan semasa memandu.
“Ini lebih penting dengan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi kerana kebanyakan pemilik kenderaan merancang untuk melakukan perjalanan jauh untuk bersama keluarga tersayang,” ulas beliau.
Dalam pakej ini, pengguna ditawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi jumlah keseluruhan di dalam satu invois bagi alat ganti dan kos buruh tertakluk kepada pemilik kereta model Axia dan Bezza sahaja.
Untuk menebus manfaat ini, pemilik kereta Axia dan Bezza perlu hadir ke pusat servis Perodua berdekatan untuk membuat temu janji sepanjang tempoh kempen iaitu bermula 12 April hingga 15 Mei 2023.