Jenama kopi dan sandwic bakar popular, Bask Bear Coffee baru-baru ini telah melancarkan cawangan fizikal mereka yang ke-100 di Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding, Bryan Loo berkata KLCC dipilih sebagai lokasi ke-100 cawangan tersebut kerana ia menepati konsep perintis syarikat yang menggabungkan Bask Bear Coffee dan Tealive memandangkan kedua-dua jenama popular ini dimiliki oleh syarikat yang sama.

Seiring dengan pembukaan cawangan ke-100, Loo turut mengumumkan bahawa Bask Bear Coffee memperkenalkan menu ‘Double Perfection Toasties’. Menariknya tentang menu terbaharu ini adalah ia dicetuskan sebagai respon kepada komen serta cadangan daripada pelanggan.

Bask Bear Coffee

Berkongsi perancangan masa hadapan, Loo berkata pihak mereka menyasarkan untuk buka 100 cawangan Bask Bear pada setiap tahun. Ini selari dengan matlamat mereka untuk mengembangkan jenama tersebut sejak 2021.

Loo juga bersyukur kerana dapat membawa Bask Bear Coffee beralih daripada sebuah jenama maya semasa pandemik kepada jenama kopi yang kini boleh dinikmati di banyak cawangan fizikal.

“Apabila kita keluar daripada wabak itu, kita perlu fokus semula untuk bangunkan cawangan fizikal. Pada tahun lepas, kami telah menetapkan matlamat kami untuk mencapai kejayaan kedai fizikal ke-100 kami pada suku ketiga tahun ini dan kami mencapainya,” ulas Loo.

Bask Bear Coffee

Menurut beliau, jenama ini masih mempunyai 120 cawangan maya, menjadikan jumlah keseluruhan rangkaian sebanyak 220 cawangan, termasuk dua cawangan utama Bask Bear Supreme.

Beliau turut berkongsi bahawa syarikat akan mempertimbangkan untuk mengembangkan Bask Bear ke luar negara sebaik sahaja jenama tersebut dapat beroperasi di sekurang-kurangnya 300 cawangan di Malaysia.

Pada masa yang sama, jenama kopi yang terinspirasi daripada keindahan beruang Madu Malaya ini turut menyokong usaha pemeliharaan beruang madu menerusi kempen Save Sun Bear Fund.

Dilancarkan pada bulan lalu, kempen tersebut memegang misi untuk membantu dalam pemeliharaan beruang madu di Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) di Sandakan, Sabah.

Untuk makluman, Loob Holding merupakan syarikat induk kepada jenama Bask Bear Coffee, Tealive, Wonderbrew dan Sodaexpress.

Sumber : Berita Harian, dagangnews.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top