Dengan perkembangan teknologi yang pesat sejak sedekad yang lalu, kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) telah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian. Ia bukan sahaja digunakan di telefon bimbit, tempat kerja dan rumah, malah AI juga didapati mampu memberikan kelebihan untuk pemasaran.
Jenama-jenama besar juga tidak terkecuali untuk menggunakan AI demi menyalurkan produk serta perkhidmatan yang sesuai dengan citarasa pelanggan. Ada juga yang telah menggunakan kemudahan AI untuk meningkatkan hasil jualan dan mengekalkan kesetiaan pelanggan.
Jadi, ayuh kita semak 6 jenama popular yang menggunakan AI dalam pemasaran mereka.
6 Jenama Popular Yang Menggunakan AI Untuk Rangka Strategi Pemasaran
1. Coca-Cola
Jangan tak tahu yang Coca-Cola juga telah mengikuti trend ini dengan penggunaan tools seperti ChatGPT dan DALL.E untuk lonjakkan lagi pemasaran serta tingkatkan mutu operasi mereka.
Contohnya, pelanggan Coca-Cola di Jepun boleh menggunakan telefon pintar mereka untuk akses kempen vending machine melalui aplikasi Coke On. Pelanggan boleh mengumpul mata setiap kali mereka pautkan aplikasi ketika menggunakan vending machine.
Untuk pembelian akan datang, mereka boleh menebus mata bagi mendapatkan minuman Coca-Cola secara lebih jimat. Untuk negara lain seperti Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat, Coca-Cola membolehkan pelanggan untuk membuat tempahan awal minuman berkarbonat ini menerusi aplikasi. Pelanggan kemudiannya boleh menebus minuman yang dipesan di vending machine berdekatan.
Secara tidak langsung, penggunaan AI ini bukan sahaja mampu menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih unik, malah ia juga boleh meningkatkan kesetiaan pelanggan.
2. Amazon
Sebelum AI terkenal lagi, Amazon telah pun menggunakannya untuk membantu pelanggan mendapatkan pengalaman membeli-belah yang luar biasa.
Pada tahun 2014, Amazon telah memperkenalkan Amazon Echo iaitu pembantu AI yang diterapkan dengan teknologi Alexa bagi membantu pelanggan mendapatkan produk serta melengkapkan pembelian hanya menerusi arahan suara. Mampu berfungsi dalam 15 jenis bahasa, peranti ini juga mampu memberikan peringatan serta saranan kepada pelanggan yang ingin membuat pembelian.
Sehingga ke hari ini, Amazon aktif dalam menyusun struktur mereka agar dapat mengintegrasikan AI sebanyak mungkin dalam pengoperasian syarikat.
Antara cara utama yang dimanfaatkan oleh Amazon adalah untuk menjana saranan produk yang tepat dengan minat pelanggan. Amazon bukan sahaja akan mengambil kira pembelian produk terdahulu malah, mereka juga manfaatkan AI untuk mengenalpasti produk lain berdasarkan carian pengguna secara atas talian.
Dengan meramal jenis produk yang digemari pelanggan, Amazon dapat mendorong mereka berbelanja dengan lebih banyak dan sekaligus menjadi peneraju e-commerce terbesar di Amerika Syarikat.
3. Netflix
Selain memiliki strategi pemasaran yang mantap, Netflix juga tidak melepaskan peluang untuk menggunakan AI bagi mengumpul data pelanggan dan menyalurkan saranan kandungan yang bersesuaian dengan citarasa pelanggan.
Satu data menunjukkan yang lebih 80% daripada tayangan yang disarankan di laman utama Netflix adalah berdasarkan minat peribadi pelanggan. Selain itu, platform penstriman popular ini juga menggunakan AI untuk mengekalkan kualiti paparan video serta mengelakkan isu berkaitan audio dan visual seperti buffering.
4. Sephora
Jenama Sephora telah menjadi pelopor dalam penggunaan AI bagi industri kecantikan. Dengan memanfaatkan teknologi AI di premis dan aplikasi atas talian, Sephora mampu mencipta pengalaman membeli belah yang serba unik dan praktikal.
Setelah melakukan kajian pasaran, jenama ini mendapat yang kebanyakan pelanggan sering keliru untuk membuat pembelian kerana pilihan produk yang terlalu banyak.
Untuk mengatasi perkara ini, Sephora telah melancarkan sebuah kuiz interaktif untuk membantu pelanggan membuat pembelian tepat. Seterusnya, pelanggan akan dibawa untuk berinteraksi dengan Chatbot untuk mendapatkan saranan serta tips berdasarkan respons yang diberikan.
Inisiatif ini dilihat sangat berkesan. Kini, Sephora melanjutkan khidmat Chatbot khas menerusi Facebook Messenger untuk memberikan bantuan langsung kepada pelanggan.
5. The Economist
The Economist merupakan syarikat penerbitan digital yang terkenal namun menghadapi kesukaran untuk mencapai audiens sekitar 2016 hingga 2017.
Bagi menggalakkan pembelian secara bersasar, jenama ini telah memanfaatkan pengiklanan yang diprogramkan dengan AI. Kaedah ini memboleh The Economist untuk mengumpul data serta menganalisanya secara terperinci. DI samping itu, The Economist dapat mengenalpasti kumpulan audiens yang dikategorikan sebagai ‘pembaca ragu’ dan menjejak habit membaca dan minat mereka.
Dengan memfokuskan kepada cookie yang tepat, dan data tambahan, mereka juga mampu meneroka segmen baharu dan mengumpul audiens dengan minat yang sama.
Hasilnya, syarikat penerbitan ini dapat mengembalikan tahap bacaan yang optimum di platform online mereka. Strategi ini juga telah membantu The Economist untuk menjana lebih 3.6 juta pembaca baharu dan peningkatan langganan secara positif saban tahun.
6. Nestlé
Telah beroperasi sejak 1912, syarikat makanan gergasi, Nestlé juga tidak melepaskan peluang untuk memanfaatkan AI demi menjadi jenama yang relevan dengan keperluan pelanggan masa kini. Antara inisiatif yang dihasilkan menerusi AI adalah penghasilan kandungan bersasar yang bersifat lebih peribadi dengan bantuan teknologi natural language processing (NLP).
Di samping itu, Nestlé juga telah mewujudkan inovasi seperti pembantu virtual dan chatbot untuk meningkatkan hasil jualan di platform digital saban tahun.
Untuk mengekalkan kesetiaan pelanggan serta menjadi bisnes yang relevan masa kini, banyak jenama yang tidak teragak untuk menggunakan teknologi AI.
Dengan strategi yang mantap, ia mampu memberikan hasil yang cukup memberangsangkan. Jadi, tidak salah jika anda ingin menerapkan teknologi AI untuk tingkatkan potensi bisnes.
Sumber :