Buldak Ramen iaitu produk mi segera berperisa pedas dari Korea Selatan tidak perlu diperkenalkan lagi.
Ia kini menjadi kegilaan ramai pelanggan di 100 buah negara terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Walaupun rasanya pedas menyengat, namun tidak dinafikan ia boleh membuatkan seseorang ketagih! Tambahan pula, kini terdapat pelbagai variasi Buldak Ramen yang terdapat di pasaran.
Jadi, tak ada istilah bosan bila makan ramen ini. Sebelum adanya mi segera pedas ini, pasti ramai yang tidak pernah dengar tentang syarikat Samyang. Padahal ia sudah ditubuhkan selama lebih 60 tahun!
Samyang mencapai perkembangan pasaran global yang cukup memberangsangkan menerusi produk Buldak (Hot Chicken Flavor) Ramen.
Bagaimana ia mampu berkembang secara global dan menangi hati penggemar mi segera?
Ayuh kita ikuti kisah menarik mengenai produk Buldak Ramen.
Produk Ilham Menantu Pengasas Bawa Tuah Kepada Samyang Foods
Pasti ramai yang tidak sangka sebenarnya produk Buldak yang kita kenali hari ni adalah ilham daripada Kim Jungsoo, menantu kepada mendiang Chun Joong-yoon iaitu pengasas serta pengerusi Samyang Foods.
Beliau yang kini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi dan Timbalan Pengerusi Samyang Roundsquare Co., telah melancarkan Buldak Ramen pada tahun 2012 iaitu ketika syarikat tersebut sedang bergelut untuk kekal dalam industri akibat kekurangan variasi produk.
Syarikat Samyang Foods sendiri tidak menyangka bahawa produk mereka akan menjadi sangat popular terutamanya dalam kalangan pencinta mi segera dari luar negara.
Menurut Kim, mereka telah menggunakan dua tan sos dan ribuan ekor ayam untuk mencipta resepi mi segera Buldak.
Pada awalnya, mereka hanya menghasilkan produk tersebut bagi memenuhi citarasa pelanggan tempatan yang gemarkan makanan pedas.
Syarikat tersebut turut menyasarkan golongan muda yang suka mencabar diri untuk mencuba mi segera ekstra pedas.
Produk Buldak Ramen juga semakin popular apabila ramai Youtuber mula memuatnaik video mereka mencuba ramen pedas tersebut.
Lama kelamaan video-video sebegini semakin tular sehingga tercetusnya trend “Fire Noodles Challenge”.
Ditambah pula dengan demam K-pop yang melanda dunia, produk makanan daripada Korea Selatan termasuk Buldak Ramen turut menjadi fenomena global.
Lebih Berjaya Sebagai Produk Eksport Menerusi Pemasaran Berstrategik
Atas sambutan yang sehangat rasa pedas Buldak Ramen, ia kini menjadi produk eksport utama bagi Samyang Foods.
Rangkaian produk mi segera pedas ini sangat popular di luar negara dengan China sebagai pasaran eksport utamanya.
Ini juga merupakan berkat kerjasama strategik mereka bersama syarikat membeli-belah online di negara tersebut termasuk Alibaba dan Pinduoduo.
Ketika musim jualan Singles Day di negara itu, Samyang telah mencatatkan rekod jualan bernilai 12.2 bilion won (RM 44 juta).
Pada masa yang sama, ia turut berjaya menembusi pasaran di rangkaian pasar raya besar seperti Walmart dan Costco di Amerika Syarikat dan Don Quijote dan Seiyu di Jepun.
Bukan saja mempunyai pasaran yang kukuh di China, malah dalam beberapa tahun ini, pasaran di Amerika Syarikat, Australia, Eropah dan Asia Tenggara dilihat turut meningkat.
Samyang juga tidak teragak untuk menembusi pasaran Halal pada 2018 dengan kerjasama Majelis Ulama Indonesia (MUI). Dengan itu, lebih ramai dapat nikmati ramen pedas ini tanpa was-was.
Atas pelbagai usaha dan pemasaran strategik, Samyang Foods akhirnya berjaya mencatatkan rekod tersendiri pada tahun 2020 apabila hasil jualan produk di luar negara telah melepasi hasil jualan di pasaran tempatan iaitu sebanyak 70 peratus.
Pada tahun 2023, Samyang Foods turut mencatatkan hasil jualan sebanyak 1.2 trillion won. Ini juga merupakan pertama kali syarikat tersebut melepasi hasil jualan melebihi 1 trillion won sejak penubuhannya pada 1961!
Kalau anda perasan, sekarang terdapat banyak jenama mi segera yang berlumba-lumba untuk pasarkan produk mi segera pedas seperti Buldak Ramen. Ini membuktikan bahawa produk ini memang berpotensi tinggi dan ada kumpulan penggemarnya tersendiri!
Rangkaian Produk Buldak Semakin Berkembang
Kini tidak hanya terhad kepada perisa ayam pedas, malah rangkaian Buldak kini berkembang kepada variasi produk termasuk Buldak Meat Spaghetti, Tomato Pasta, Habanero Lime Spicy Ramen, sos pedas dan banyak lagi.
Ini turut membuktikan daya inovasi Samyang yang cukup kreatif bagi memenangi hati pelanggan. Kim Jung-soo juga percaya Samyang mempunyai potensi pasaran yang cukup besar.
“Kami komited untuk kembangkan produk agar dapat penuhi citarasa pelanggan. Untuk penuhi keperluan pengguna masa kini yang sibuk dengan urusan harian, kita akan tawarkan produk pada harga berpatutan walaupun terpaksa berdepan dengan inflasi dan peningkatkan kos pengeluaran,” jelas Kim dalam satu temubual.
Dengan permintaan tinggi di 100 buah negara, Buldak Ramen kini menjadi antara jenama mi segera yang setanding dengan jenama terkemuka seperti Nissin Ramen dan Indomie.
Sumber : koreaheld.com, kedglobal.com, Nikkei Asia