Pertama kali dalam sejarah, Hot Wheels menjalinkan bekerjasama dengan syarikat kereta dari Malaysia untuk hasilkan model kereta mainan klasik iaitu Proton Saga.

Model kereta mainan die-cast ini dicipta berpandukan Proton Saga Orion yang dilancarkan buat pertama kali pada 9 Julai 1985 oleh perdana menteri keempat merangkap pengasas Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Meskipun belum tersedia di pasaran, namun Mattel Malaysia, pencipta kereta Hot Wheels telah mendedahkan pakej rekaan bagi model kereta berskala 1:64 ini di acara Art of Speed 2023 yang bertempat di MAEPS Serdang. 

Proton Saga

Lebih menarik lagi, rekaan kad bagi Hot Wheels Proton Saga ini adalah hasil karya oleh Saw Jane Harn, kanak-kanak berusia 9 tahun dari Pulau Pinang.

Karya lukisan tangan yang mencerminkan budaya Malaysia itu terpilih sebagai pemenang bagi Pertandingan Hot Wheels X Proton Kids Design yang telah diadakan pada awal tahun ini. 

Antara elemen yang ditampilkan dalam karya seni tersebut adalah kekayaan flora dan fauna Malaysia serta mercu tanda negara iaitu Menara Berkembar Petronas.

Pencapaian ini sekaligus menjadikan Saw Jane Harn sebagai kanak-kanak pertama di dunia yang menyumbangkan karya bagi pakej die-cast Hot Wheels. 

Para pemenang bagi pertandingan tersebut juga bakal membawa pulang set mainan Hot Wheels yang serba ekslusif. 

Mattel dan Proton merancang untuk lancarkan produk ini di pasaran sekitar hujung 2023 atau 2024. 

Sementara itu, orang ramai boleh melihat sampel produk yang dipamerkan di acara Art of Speed 2023.

Proton Saga

Model kereta tersebut menampilkan ciri seperti rekaan luaran yang berwarna merah persis seperti prototaip yang dikongsikan tahun lalu. 

Prototaip bagi model die-cast Hot Wheels Proton Saga Special Edition ini telah didedahkan pada tahun 2022 seiring dengan sambutan ulang tahun Mattel Inc yang ke-40 di Malaysia. 

Pada masa yang sama Proton turut menyambut ulang tahunnya yang ke-40 dan Proton Saga pula mencecah usia 38 tahun pada tahun ini. 

Di samping itu, pengunjung juga berpeluang untuk melihat rekaan terperinci bagi model kereta mainan ini seperti rim dengan dua warna, logo Proton Saga yang asli serta jalur hitam di sisi kereta. 

Model kereta mainan die-cast istimewa ini akan dihasilkan di kilang Hot Wheels terbesar di Malaysia yang terletak di Pulau Pinang.

Kilang ini juga merupakan satu-satunya kilang pembuat Hot Wheels Singles iaitu mainan paling laris di dunia pada tahun 2021.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top