Berdasarkan laporan daripada Bank Negara Malaysia (BNM), penggunaan pembayaran elektronik (e-pembayaran) dalam kalangan rakyat Malaysia didapati terus meningkat pada 2023 kepada 11.5 bilion transaksi berbanding 9.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Laporan Tahunan 2023 yang dikeluarkan baru-baru ini turut mencatatkan kemajuan yang memberangsangkan dalam mencapai sasaran Pelan Sektor Kewangan iaitu lebih daripada 15 peratus pertumbuhan tahunan terkompaun untuk transaksi e-pembayaran per kapita antara 2022 dan 2026.

Ini berikutan pertumbuhan e-pembayaran sebanyak 20 peratus kepada 343 transaksi per kapita pada 2023 berbanding 285 transaksi pada tahun sebelumnya.

“Pertumbuhan e-pembayaran telah disokong oleh aktiviti penggunaan dengan jumlah nilai transaksi e-pembayaran runcit terpilih didapati meningkat sebanyak 17 peratus sehingga mencecah RM 592 bilion. Ini dilengkapi dengan usaha kolektif sektor awam dan swasta untuk meningkatkan penggunaan e-pembayaran,” jelas pihak BNM.

BNM juga menyatakan bahawa perkhidmatan pemindahan kredit membentuk bahagian terbesar transaksi e-pembayaran iaitu sebanyak 43 peratus.

Salah satu variasi perkhidmatan pemindahan kredit yang ditawarkan, DuitNow Transfer tetap menjadi pilihan utama dengan kadar pertumbuhan tahunan yang kekal tinggi iaitu sebanyak 32 peratus berbanding 26 peratus pada 2022.

Pada masa yang sama, DuitNow Transfer turut memegang 39 peratus bahagian pasaran perkhidmatan pemindahan kredit.

Bank pusat berkata penerimaan transaksi e-pembayaran dalam kalangan perniagaan, terutamanya dalam kalangan perusahaan bersaiz kecil, terus mencatatkan perkembangan.

Transaksi DuitNow QR didapati telah meningkat dengan ketara sejak pengenalan perkhidmatan ini. Ia turut dipacu oleh kebiasaan orang ramai yang sudah selesa menggunakan perkhidmatan DuitNow QR.

Di samping itu, kemudahan ini turut menjadi pilihan utama kerana ia mudah digunakan serta berkos rendah untuk peniaga berbanding perkhidmatan e-pembayaran lain.

Sementara itu, BNM terus mengkaji Mata Wang Digital Bank Pusat (CDBC) pada 2023 terutamanya bagi menambah baik pembayaran rentas sempadan manakala penerokaan ke atas CBDC borong domestik diteruskan dan akan dipergiat lagi pada tahun 2024.

Seiring dengan perkembangan aset digital, BNM juga komited dalam memastikan penglibatan sektor kewangan Malaysia dalam aktiviti aset digital diuruskan dengan bertanggungjawab serta disokong oleh pemahaman yang jelas berkenaan bagaimana aktiviti tersebut boleh mengurangkan atau meningkatkan operasi dan risiko kewangan.

e-pembayaran

“Walaupun institusi kewangan telah menunjukkan keterbukaan bagi meneroka potensi aktiviti berkaitan aset digital dan teknologi lejar teragih (DLT), tumpuan semasa mereka masih terhad kepada penyediaan perkhidmatan tradisional seperti khidmat pembayaran, akaun deposit serta akaun amanah kepada peserta aset digital,” ulas BNM.

Selanjutnya, bank pusat akan terus berusaha untuk memastikan industri perniagaan perkhidmatan wang (MSB) dan perkhidmatan pembayaran di Malaysia kekal selamat, cekap serta boleh dipercayai bagi menyokong keperluan ekonomi.

Untuk mencapai matlamat ini, BNM akan terus memantau dan menangangi risiko yang muncul di samping menyokong usaha bagi meningkatkan penggunaan e-pembayaran dengan lebih meluas serta bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan.

“Kami juga akan terus berdedikasi bagi memperteguh infrastruktur pembayaran domestik bagi masa hadapan selaras dengan aspirasi dalam Pelan Sektor Kewangan.

Ini termasuk mempergiat kajian mengenai CDBC dan pentokenan aset serta penggunaan teknologi baru muncul seperti DLT dalam sistem kewangan,” jelas pihak BNM.

Sumber : Bernama

Baca Juga : Nak Elak Short Duit? QR Bayarlah Menyediakan Alat Pengesanan Pintar Untuk Peniaga

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top