Biasanya masjid sering dikaitkan sebagai pusat ibadah serta lokasi untuk mengadakan majlis ilmu. Selain itu, ia juga menjadi tempat perkumpulan warga setempat untuk mengadakan gotong-royong serta sambutan khusus bagi umat Islam.

Namun, masjid memegang fungsi yang penting dan lebih dari sekadar pusat ibadah pada zaman Rasulullah SAW. Ketika itu, ia menjadi pusat pentadbiran kerajaan, sosial dan ekonomi.

Bagi menghidupkan semula kelaziman ini, pengurusan Masjid Al Busyra, Merbok, Kedah telah mengembangkan lagi peranan masjid bagi meningkatkan ekonomi setempat.

Pelbagai bisnes serta perkhidmatan telah ditawarkan menjadikan masjid ini menyerlah berbanding yang lain.

Dibuka 24 jam sehari, masjid yang dipengerusikan oleh Ustaz Firdaus Firabib ini dibangunkan bagi memudahkan masyarakat serta musafir yang merantau.

Selain mampu mengimarahkan masjid, bisnes yang dijalankan juga mendapat sambutan yang hangat sehingga tular di media sosial. Masjid ini juga telah memenangi Anugerah Masjid Terbaik Negeri Kedah Kategori Luar Bandar sempena sambutan Maal Hijrah 2022.

Ayuh kita lihat beberapa bisnes yang dijalankan oleh Masjid Al Busyra.

Bukan Pusat Ibadah Biasa, Masjid Al Busyra Jalankan Lebih 10 Jenis Bisnes

1. Food Court Al Busyra

Ramai yang mengatakan Masjid Al Busyra menawarkan kemudahan setanding R&R kerana mereka bukan sahaja menyediakan pusat ibadah, malah terdapat juga food court yang luas dan selesa untuk pengunjung menjamu selera.

Selain itu, pengunjung juga boleh mengisi air yang telah ditapis secara percuma dari air telaga wakaf yang disediakan.

Lebih menarik lagi, masjid ini juga pernah telah memenangi Anugerah Standard Pelancongan ASEAN (Peringkat Kebangsaan) bagi kategori tandas awam terbaik pada 12 Jun 2023 baru-baru ini. Sangat membanggakan!

2. Dewan Serbaguna

Lengkap dengan meja dan kerusi serta sistem audio, masjid mengalu-alukan orang ramai untuk menyewa dewan ini bagi mengadakan acara atau majlis tertentu. Pihak masjid turut memanfaatkan dewan untuk menganjurkan program atau majlis sendiri dari semasa ke semasa.

3. Tempat Cuci Kereta

Selain dapat mengisi perut dan solat, pengunjung masjid juga berkesempatan untuk cuci kereta di masjid ini. Sangat praktikal!

Masjid Al Busyra

4. Studio Gambar

Tak sangka masjid pun ada studio gambar sendiri! Setiap kali tibanya Hari Raya, mereka bakal tawarkan pakej bergambar. Studio mereka juga serba lengkap dengan hiasan menarik. Nak buat gambar pasport pun boleh.

5. Al Busyra Cetak

Bukan setakat ambil gambar, malah orang ramai juga boleh berkunjung ke masjid ini untuk fotostat dan cetak bunting, banner dan t-shirt.

Masjid Al Busyra

6. Homestay Al Busyra

Tidak cukup dengan fungsi ala R&R, Masjid Al Busyra melangkah lebih jauh dengan menawarkan penginapan homestay atau inap desa bagi pengunjung yang merantau dari jauh.

Lengkap dengan kolam renang dan wifi, masjid ini menawarkan dua jenis penginapan dan mampu memuatkan sehingga 12 orang.

7. Al Busyra Mart

Masjid ini juga memiliki bisnes kedai runcit yang dinamakan Al Busyra Mart. Dengan adanya premis ini, mereka membuka peluang kepada peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk memasarkan barang jualan kepada masyarakat setempat.

Masjid Al Busyra

8. Halo Al Busyra

Masjid Al Busyra turut menjual aksesori telefon, kredit telefon dan simkad menerusi Halo Al Busyra.

9. Barber Shop Al Busyra

Selain membeli barang keperluan, menjamu selera dan mencuci kereta, pengunjung lelaki juga boleh singgah di masjid ini untuk gunting rambut.

10. Spa dan Salon Muslimah

Untuk pengunjung muslimah, mereka pula ditawarkan dengan perkhidmatan salon rambut dan spa kecantikan. Jadi, satu keluarga boleh pergi ke masjid untuk berdandan dan manjakan diri.

11. Al Busyra Dobi

Dibuka 24 jam sehari, masjid ini turut menyediakan perkhidmatan dobi layan diri.

Masjid Al Busyra

Pengurusan Masjid Al Busyra yang mampu memaksimakan fungsi masjid sebagai pusat hentian setempat patut dipuji. Ia bukan sahaja mampu menggerakkan ekonomi komuniti Islam setempat malah, usaha ini juga dapat memartabatkan lagi institusi masjid.

@firdaus_firabib

Muktamar Masjid-Masjid Serantau 2023 di Kuching Sarawak. Semoga ada kebaikan buat semua. #bulehtaqatu #masjidalbusyramerbok #masjidmesramusafir #masjidrnr

♬ Epic Motivational – StereojamMusic

Semoga banyak lagi masjid di Malaysia ini dapat jadikan Masjid Al Busyra sebagai contoh. Bak kata Pengerusi masjid ini, pengurusan masjid atau surau tidak perlu takut untuk gunakan wang orang infakkan. Tambahan pula, orang yang menderma juga pasti gembira melihat wang tersebut dimanfaatkan untuk tujuan yang baik.

Sumber : TikTok @firdaus_firabib

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top