Jenama video game console yang pernah popular suatu ketika dahulu iaitu Atari telah mengumumkan pengeluaran konsol Atari 2600+ yang masih mengekalkan ciri retro namun kini boleh dipautkan dengan televisyen moden menerusi port HDMI.
Lebih menarik lagi tentang model yang diperbaharui ini adalah kepadanannya bersama game daripada katrij permainan daripada model klasik lain iaitu Atari 2600 dan Atari 7800. Jadi, pengguna yang pernah memiliki 2600 boleh menggunakan semula koleksi katrij permainan yang pernah dikumpul dahulu.
Atari 2600 merupakan permainan konsol pertama yang dikeluarkan oleh Atari pada 1977. Dalam tempoh 3 dekad, set permainan konsol terkenal ini terjual sebanyak lebih 30 juta unit di seluruh dunia dan merupakan antara permainan video paling terkenal dalam sejarah.
Hanya selepas hampir 50 tahun, syarikat permainan video tersebut mengumumkan Atari 2600+ dengan ciri yang lebih canggih. Selain output HDMI, konsol ini juga dilengkapi dengan mode widescreen dan CX40+ joystick yang telah direka mirip dengan spesifikasi asli.
Bagi yang ingin bermain video game secara berpasangan, Atari juga menjual joystick CX40+ dan CX-30 paddle controllers secara berasing. Konsol permainan baharu ini juga mengekalkan sambungan 9 pin. Ini bermakna, pengguna juga boleh menggunakan controller lama sekiranya masih ada.
Meskipun pernah cuba mengembalikan nostalgia penggemar video game menerusi Atari VCS pada 2021, Atari menjanjikan bahawa model 2600+ ini bakal memberikan sensasi yang sama dengan permainan video Atari 2600 yang hangat pada era 1980an.
Ciri moden lain yang turut disertakan adalah sambungan kuasa menerusi port USB-C. pengguna juga mempunyai pilihan untuk memaparkan kandungan pada nisbah skrin 4:3 atau 16:9.
Ia juga dikuasakan dengan Rockhip 3128 SOC dan mengandungi 256MN DDR3 RAM untuk menjamin kebolehgunaan katrij permainan Atari 2600 yang sudah berusia hampir 50 tahun.
Meskipun dilengkapi dengan ciri-ciri yang lebih moden, namun penampilannya secara keseluruhan adalah sama dengan Atari 2600, hanya lebih kecil sedikit berbanding model lama.
Model ini turut didatangkan dengan katrij game 10 dalam 1 yang padat dengan permainan video menggamit memori antaranya Maze Craze, Adventure, Missile Command, Combat dan Dodge ‘Em.
Pada masa yang sama, Atari juga dikatakan akan menjual katrij permainan lain seperti Mr Run, Jump dan Berzek Enhanced Edition.
Berdasarkan laman rasmi Atari, konsol permainan terbaharu ini bakal ditawarkan dengan harga US$129.99 (kira-kira RM 605) dan akan mula berada di pasaran pada pertengahan November ini.
Sumber : gizmodo.com