Setelah negara berjaya meraih pelaburan yang diluluskan bernilai RM 132.6 bilion pada separuh pertama 2023, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangka mencatat pertumbuhan lebih kukuh pada separuh kedua 2023.

“Saya gembira dengan pencapaian kami pada separuh pertama 2023, meraih RM132.6 bilion atau 60.3 peratus daripada sasaran tahunan kami. Kami telah bersedia untuk mencapai sasaran tahunan.

“Pencapaian ini hampir mencerminkan purata 10 tahun kami iaitu RM222.6 bilion, menunjukkan usaha konsisten kami dalam menarik pelaburan berkualiti dan memacu pertumbuhan ekonomi,” kata menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi enam bulan pertama tahun ini, Malaysia telah menarik sebanyak RM 132.6 bilion (AS $28.4 bilion) pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama yang melibatkan 2,651 projek dari Januari hingga Jun 2023. Pelaburan ini sekaligus dijangka bakal mewujudkan kira-kira 51,853 peluang pekerjaan di negara ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata kadar pelaburan yang tinggi adalah tanda keyakinan negara luar terhadap ekonomi Malaysia dan apa yang ditawarkan kepada pelabur termasuk kerajaan yang memberi sokongan dan membangunkan dasar properniagaan di samping terus meningkatkan kemudahan dalam menjalankan perniagaan di Malaysia.

Ini turut membuktikan kedudukan Malaysia sebagai sebuah hab yang dipercayai untuk ekosistem, rantaian bekalan, modal dan bakat, aliran barangan dan data serta keupayaan inovasi yang semakin meningkat.

Meskipun permintaan global perlahan dan persekitaran kadar faedah lebih tinggi dalam pasaran utama, Tengku Zafrul optimistik bahawa Malaysia dapat menarik jumlah pelaburan yang diluluskan kira-kira hampir sama pada separuh pertama 2023 tahun ke tahun.

“Terutamanya, pelaburan domestik langsung yang meningkat 58 peratus, dan mewakili lebih 52 peratus daripada pelaburan yang diluluskan yang bagi kami, merupakan undi keyakinan yang jelas terhadap dasar Ekonomi MADANI. Jumlah pelaburan yang diluluskan juga bakal mewujudkan sekurang-kurangnya 50,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

“Memandangkan pelbagai rantaian bekalan global beralih ke Asia, matlamat utama kami ialah meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi kedua-dua syarikat antarabangsa dan usahawan yang ingin mengembangkan jejak mereka di Asia.

“Justeru, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 (NIMP2023) yang diumumkan baru-baru ini mewakili langkah penting dalam perjalanan Malaysia ke arah transformasi industri yang mampan dan meningkatkan daya saing global,” katanya.

malaysia

Pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 52.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan atau RM 69.3 bilion (AS $14.8 bilion) manakala pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang 47.8 peratus atau RM 63.3 bilion.

Berdasarkan statistik, lima sumber FDI teratas diterajui oleh Singapura (RM 13.7 bilion), Jepun (RM9.1 bilion), Belanda (RM9.0 bilion), China (RM 8.4 bilion) dan Kepualauan Virgin British (RM 7.1 bilion).

Pada masa yang sama, lima negeri telah merekodkan pelaburan diluluskan yang ketara iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM31.7 bilion), Selangor (RM29.7 bilion), Kedah (RM14.6 bilion), Johor (RM14.2 bilion) dan Sabah (RM9.0 bilion).

Apabila digabungkan, kelima-lima negeri itu menyumbang 74.9 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Sumber : Bernama

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top