Kerajaan bersetuju untuk menawarkan kredit e-tunai sebanyak RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah. Pengumuman ini adalah bersempena dengan Majlis Peluncuran Ekonomi Madani Memperkasa Rakyat yang berlangsung di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara pada Khamis.

Dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim majlis tersebut turut menyaksikan beberapa pengumuman berkaitan hala tuju ekonomi Malaysia serta bantuan kewangan buat golongan terlibat.

e-Tunai

Penawaran e-tunai terbaharu ini difahamkan bakal memberi manfaat kepada seramai 10 juta rakyat Malaysia yang merangkumi golongan B40 dan M40.

Inisiatif yang menelan belanja sebanyak RM 1 bilion ini dilihat sebagai salah satu langkah bagi merancakkan ekonomi sekaligus mengurangkan beban rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata kejayaan perlaksanaan Program eBeliaRahmah (eBR) yang telah dilancarkan baru-baru ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada dua juta belia, malah ia juga membantu sektor perniagaan menjana pendapatan di samping mendidik masyarakat untuk melazimi transaksi tanpa tunai.

Dalam pada itu, perdana menteri turut mengalu-alukan penglibatan daripada syarikat pemula tempatan seperti PolicyStreet, Dropee, Lapasar dan Funding Societies yang berpotensi menjadi agen perubahan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi penyediaan pembiayaan alternatif seperti ‘equity crowdfunding’ (pendanaan ramai ekuiti).

e-Tunai

Jelas beliau, ini sesuai dengan keperluan usahawan PMKS yang banyak bergantung kepada permintaan domestik bagi meningatkan hasil jualan masing-masing.

“Kira-kira 79 peratus PMKS terdiri daripada perniagaan mikro. Walaupun kebanyakannya ialah pemilik tunggal atau mewarisi perniagaan keluarga, mereka punyai potensi berkembang lebih besar dan menembusi pasaran luar andai diberi dorongan dan kemudahan sewajarnya.

“Belanjawan Madani 2023 mengandungi lebih 70 inisiatif untuk perniagaan mikro dan kecil yang tertumpu kepada akses pinjaman dan jaminan pembiayaan.

“Banyak lagi yang mesti dilakukan. Kementerian Ekonomi telah memulakan pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bertujuan untuk memperkukuh rantaian bekalan perniagaan,” ujarnya.

Setakat ini, pihak kerajaan masih belum mengumumkan bilakah bantuan e-tunai ini akan ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berkelayakan. Sama-sama kita nantikan perkembangan mengenai bantuan e-tunai ini pada waktu terdekat.

Sumber : Astro Awani

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top