Khairul Aming terus mencipta fenomena menerusi jualan produknya iaitu Sambal Nyet. Yang terbaharu, usahawan yang berasal dari Kelantan itu teruja untuk berkongsikan berita gembira di akaun media sosialnya.

Menerusi sebuah video, beliau mengumumkan bahawa 2.4 juta botol Sambal Nyet dengan nilai RM 33.5 juta telah terjual.

Dalam hantaran yang sama, beliau turut berkongsikan perkembangan bisnes serta rancangan untuk tingkatkan lagi penghasilan sambal di kilangnya yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.

Difahamkan setakat ini kedua-dua kilang sudah beroperasi sepenuhnya dan sedang melalui proses naik taraf untuk memberi ruang kepada lebih banyak mesin moden. Ini sesuai dengan rancangan Khairul Aming untuk membawa bisnesnya ke fasa ketiga iaitu ‘automation’.

Fasa ini adalah salah satu kaedah bagi menaikkan penghasilan Sambal Nyet kepada 7,000 botol sehari.

Pada masa yang sama, fasa ini juga penting bagi memantau serta menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi oleh pasukan mereka.

Menurut usahawan berusia 31 tahun itu, antara masalah yang dapat dikenalpasti adalah proses pengisian Sambal Nyet secara manual dan telah mengakibatkan nisbah sambal serta minyak dalam satu botol kurang konsisten.

Bagi mengatasinya, beliau bercadang untuk memperkenalkan mesin dengan kemudahan auto-filling demi memastikan nisbah bagi kedua-dua campuran ini sebati dan sama.

“Buat masa ini, jualan kita mencecah RM 70,000 sehari dan sekarang kita sedang on track untuk tingkatkan hasil jualan kepada RM 100,000 sehari. Namun, kita tidak boleh naikkan stok sahaja, tetapi adalah penting untuk kita kembangkan cara jualan. Oleh sebab itulah kita sekarang menjual melalui live commerce” jelas Khairul Aming.

jualan sambal nyet

Jualan Sambal Nyet Dapat Sambutan Luar Biasa Menerusi Live

Khairul juga teruja untuk berkongsikan bahawa sebanyak 76 peratus daripada keseluruhan pembeli datang daripada sesi jualan secara ‘livestream’ di platform TikTok.

Oleh itu, beliau memutuskan untuk terus menjual produk sambalnya melalui live di platform media sosial tersebut memandangkan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan mampu menambah rating jualan secara positif. Difahamkan, beliau juga akan perkenalkan produk kedua kepada umum tidak lama lagi.

Susulan pencapaian yang membanggakan ini, usahawan yang dinobatkan sebagai Creator of The Year dalam TikTok Awards MY 2023 ini sempat merakamkan jutaan terima kasih buat semua yang telah menyokong perjalanan bisnes Sambal Nyet bermula dari hari pertama berniaga di lot kedai yang kecil sehinggalah mampu berkembang ke dua buah kilang besar.

Dalam pada itu, Khairul Aming juga berharap bisnes jualan sambal miliknya dapat memberi impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi bagi kampung halamannya iaitu Kota Bharu, Kelantan.

Sumber : Instagram Khairul Aming

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top