Bagi meningkatkan kerjasama industri dan meningkatkan kemahiran graduan bekerja, L’Oréal Malaysia telah mematerai memoradum persefahaman (M0U) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Memorandum yang dimaterai selama lima tahun ini turut bermatlamat untuk meningkatkan tahap kemahiran serta kebolehpasaran graduan dalam bidang kosmetik. Dalam masa yang sama, kerjasama ini juga bakal memberi manfaat kepada bidang kosmetologi yang ditawarkan di 17 kolej vokasional serata negara.
Kerjasama antara KPM dan L’Oréal Malaysia ini bukan sahaja dapat memperkasakan lagi kemahiran anak muda, malah ia juga akan meningkatkan lagi ilmu serta kemahiran tenaga pengajar secara profesional.
Timbalan Pengarah Kanan Bahagian TVET, KPM, Zulkernai Fauzi berkata, kerjasama rapat itu selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu perniagaan dan syarikat digalakkan bekerjasama dengan institusi TVET bagi memastikan graduan baharu dan pelatih memperoleh kepakaran dan kemahiran yang diperlukan yang sejajar dengan keperluan industri.
Dengan sokongan L’Oréal, pelajar yang terlibat dalam kursus kosmetologi akan ditawarkan dengan pelbagai akses kepada teknologi terkini yang berkaitan serta peluang untuk mengasah kemahiran mereka dalam industri tersebut. Di samping itu, kerjasama ini juga akan membuka jalan kerjaya buat mereka melalui latihan industri dan peluang pekerjaan di L’Oréal Malaysia serta syarikatnya,” jelas Zulkernai.
Dalam pada itu, Zulkernai juga meletakkan harapan agar kerjasama ini dapat memberi manfaat yang besar kepada industri kecantikan tempatan dalam jangka masa panjang.
Pengarah Urusan L’Oréal Malaysia, Tomas Hruska berkata sebagai peneraju dalam industri kecantikan dan kosmetik, beliau percaya bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan terletak kepada prestasi ekonomi semata-mata. Malah, sumbangan sosial serta persekitaran turut memainkan peranan penting.
“Di Malaysia, kami komited untuk mengembangkan bisnes secara lestari, inklusif dan bertanggungjawab. Kerjasama selama lima tahun dengan KPM ini merupakan bukti komitmen kami dalam memberi sumbangan kepada komuniti di samping memperkasakan lagi industri dengan bakat anak-anak muda Malaysia,” ulas Hruska.
L’Oréal Malaysia diasaskan pada tahun 1995 di Kuala Lumpur dan menawarkan produk dengan formulasi terkini bagi setiap keperluan penjagaan kecantikan menerusi 12 jenama ikonik seperti L’Oréal Paris, L’Oréal Professionnel, Garnier, Maybelline New York, Lancôme dan Yves Saint Laurent Beauty.
Semoga kerjasama ini dapat mengangkat industri kecantikan Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Sumber : The Malaysian Reserve