Pemasaran e-mel adalah platform yang baik untuk anda menawarkan kandungan serta mencapai pelanggan yang berminat dengan jenama anda.
Walaupun ia boleh dikatakan sebagai teknologi lama, namun emel dilihat sebagai sebuah platform pemasaran digital yang cukup berkesan untuk gandakan potensi bisnes.
Bagi memastikan kempen pemasaran e-mel anda berkesan, anda perlulah menyusun strategi yang mantap. Di sini kami ingin kongsikan 10 tips pemasaran e-mel yang anda boleh praktikkan untuk meningkatkan kadar buka e-mel.
10 Cara Mudah Untuk Meningkatkan Kadar Buka E-mel
1. Optimakan Tajuk / Subject Lines
Perkara pertama yang pelanggan anda akan baca bila membuka e-mel adalah tajuk atau subject lines yang tersenarai dalam Inbox mereka. Berdasarkan statistik, hampir 1/3 daripada pengguna akan membuka e-mel yang mempunyai tajuk menarik.
Mereka pasti akan buka sekiranya tajuk tersebut menarik perhatian mereka. Jika sebaliknya, mereka tak akan teragak-agak untuk padam terus e-mel yang dirasakan tak penting.
Jadi, untuk memastikan subject line bagi e-mel anda menarik,anda boleh ikuti beberapa tips berikut :
- Pastikan subject line pendek, sebaiknya kurang daripada 50 karakter
- Jangan tabur harapan palsu di subject line yang tiada kena mengena dengan kandungan e-mel.
- Jangan guna semua huruf besar atau tanda seru
- Jangan gunakan ayat yang boleh membuatkan pengguna mengganggap mereka perlu buat sesuatu yang menyusahkan. Sebaliknya, gunakan ayat yang menunjukkan kelebihan e-mel.
2. Elakkan E-mel Daripada Masuk ke Spam
Dianggarkan 20% e-mel yang dihantar masuk ke bahagian Spam dan tidak berjaya sampai ke Inbox pelanggan. Terdapat beberapa sebab mengapa ia boleh terjadi antaranya :
- Subject line yang tidak meyakinkan
- E-mel daripada anda telah ditanda sebagai spam
- Kandungan e-mel mengandungi terlalu banyak pautan
Jadi, pastikan e-mel anda dikarang dengan baik dan bermanfaat kepada pelanggan.
3. Tetapkan Waktu Terbaik Untuk Hantar E-mel
Waktu yang terbaik untuk hantar e-mel bergantung kepada jenis e-mel serta pelanggan sasaran. Antara waktu penghantaran terbaik yang ramai syorkan adalah pada waktu serta hari bekerja.
Untuk ketahui waktu serta hari yang tepat untuk menghantar e-mel, anda sangat digalakkan untuk lakukan A/B testing. Analisa statistik kempen dan kenalpasti hari dan waktu yang mempunyai kadar buka e-mel tertinggi.
4. Perbaiki Kualiti Kandungan E-mel
Penghantaran e-mel secara automatik adalah cara pemasaran yang mudah dan menjimatkan masa. Namun, ia bukanlah cara yang terbaik untuk mengekalkan kesetiaan subscriber e-mel anda.
Untuk mencapai pelanggan dengan lebih baik, ambil sedikit masa untuk hasilkan kandungan e-mel secara manual supaya ia lebih menarik dan bermanfaat untuk pelanggan.
Nyatakan tujuan e-mel secara ringkas dan dorong pelanggan kepada produk atau kandungan blog yang bersesuaian dengan minat mereka.
Pelanggan yang berminat dengan e-mel anda akan cenderung untuk membuka lagi e-mel daripada anda pada masa akan datang. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi kadar bukaan e-mel secara konsisten.
5. Pastikan E-mel Mudah Dibaca Menerusi Telefon Bimbit
Majoriti pengguna masa kini membaca e-mel menerusi telefon bimbit. Jadi, tiada gunanya anda menghantar e-mel tetapi sukar untuk dibaca menerusi telefon bimbit.
Jadi sebelum anda blast e-mel, cuba hantarkan satu e-mel dan semak sama ada ia boleh dibaca dengan mudah atau tidak di telefon bimbit menerusi aplikasi popular seperti Gmail, aplikasi Mail di iPhone dan Yahoo mail.
6. Hantarkan E-mel Alu-Aluan Yang Berkualiti
Apabila pelanggan baru mendaftar langganan e-mel daripada anda, adalah penting untuk anda alu-alukan mereka sebagai subscriber.
Hantarkan satu e-mel ‘Welcome’ kepada mereka sebagai tanda penghargaan. Tambahan pula, mesej alu-aluan mempunyai kadar bukaan yang cukup tinggi. Jika mereka tertarik dengan e-mel pertama yang diterima, mereka juga pasti terdorong untuk membuka e-mel yang seterusnya.
7. Kemaskini Senarai Dengan Lebih Kerap
Untuk memastikan pemasaran e-mel anda berkesan, anda perlulah rajin semak jumlah subscriber yang aktif dalam senarai. Tiada gunanya anda memiliki 10,000 nama dalam senarai namun hanya 1,000 yang aktif. Ini bermakna hanya 10% pelanggan yang aktif membuka e-mel.
Tak mengapa jika jumlah subscriber anda sedikit. Asalkan mereka mampu menyumbang pada kadar engagement yang tinggi, ia bakal memberikan pulangan yang lebih baik buat perniagaan anda.
Cara yang paling mudah untuk kemaskini senarai pemasaran e-mel anda adalah dengan merujuk pada statistik atau laporan pemasaran e-mel. Buangkan alamat e-mel yang sudah tidak membuka e-mel daripada anda sejak 6 bulan lepas.
Anda juga boleh menghantar e-mel kepada pelanggan untuk sahkan langganan mereka dalam beberapa bulan sekali.
8. Sediakan Butang Unsubscribe Yang Jelas
Seperkara lagi, anda juga perlu sediakan butang Call-To-Action yang jelas supaya pelanggan dapat henti langganan e-mel (unsubscribe) daripada anda.
Jangan mudah putus asa kalau ada yang unsubscribe. Lagipun, sudah menjadi objektif kempen anda untuk salurkan kandungan e-mel kepada pelanggan yang betul-betul berminat.
9. Khususkan Kandungan E-mel
Antara kaedah yang paling berkesan untuk tingkatkan kadar bukaan e-mel adalah dengan menghantar kandungan e-mel yang sesuai dengan minat pelanggan.
Sebagai contoh, anda boleh hantarkan e-mel untuk berkongsikan artikel mengenai sesuatu topik yang digemari pelanggan. Anda juga boleh hantarkan kod diskaun secara berkala bagi produk yang diminati pelanggan.
Salah satu cara untuk mengenalpasti minat pelanggan adalah dengan menghantar e-mel dan bertanya pada pelanggan jenis kandungan atau produk yang mereka gemari. Daripada situ, anda bolehlah merancang kandungan yang menarik untuk pelanggan pemasaran e-mel anda.
10. Hantar E-mel Kedua Kepada Pelanggan Yang Belum Baca
Bagi meningkatkan kadar bukaan e-mel, anda juga boleh re-send atau hantar semula e-mel kepada pelanggan yang belum membacanya.
Strategi ini adalah seperti berikut :
- Blastkan e-mel kepada semua pelanggan.
- Selepas dua hari, kenalpasti pelanggan yang tidak membuka e-mel walaupun sudah dihantar.
- Hantar semula e-mel yang sama namun dengan subject line yang berbeza.
Namun, anda tidak digalakkan untuk gunakan strategi ini setiap masa kerana ia boleh membuatkan pelanggan rasa rimas. Cukuplah lakukannya ketika anda menghantar e-mel penting seperti pelancaran produk dan hari jualan istimewa.
Dalam menghantar e-mel kepada pelanggan, anda perlu memastikan kandungan yang dihantar berkualiti dan menepati citarasa mereka. Anda juga perlu mengambil kira beberapa faktor seperti waktu penghantaran yang sesuai dan struktur e-mel yang optimum agar ia tidak terjerumus ke Spam.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk anda merangka strategi pemasaran yang terbaik buat jenama anda. Selamat mencuba!