Sebagai pemilik bisnes atau pemasar, pasti anda terfikir bagaimana cara untuk jenama anda lebih menonjol berbanding ratusan pesaing lain? Jawapannya terletak pada branding atau penjenamaan.
Selain membuatkan bisnes anda lebih menyerlah berbanding yang lain, penjenamaan juga sangat penting demi menjaga kredibiliti serta reputasi perniagaan. Jika ikutkan logik, pelanggan juga pasti terdorong untuk mencuba produk atau perkhidmatan daripada jenama yang mereka percayai, bukan?
Secara tidak langsung, ini juga dapat membina kesetiaan pelanggan terhadap perniagaan anda.
Oleh sebab itulah branding sangat penting untuk perkembangan bisnes anda. Bagi anda yang baru ingin bina jenama bagi bisnes, di sini kami ingin kongsikan beberapa langkah mudah yang anda boleh praktikkan.
6 Kaedah Untuk Menjenamakan Bisnes Agar Lebih Menyerlah
1. Kenalpasti Audiens
Langkah pertama yang anda perlu ambil untuk menjenamakan bisnes adalah dengan mengenalpasti pelanggan sasaran atau audiens. Antara langkah yang boleh diambil adalah analisa customer base sedia ada.
Pelanggan sedia ada memegang pelbagai informasi berguna untuk anda perbaiki prestasi syarikat kerana mereka berpengalaman menggunakan produk dan perkhidmatan jenama anda. Mereka juga cukup kenal dengan tahap serta kualiti khidmat pelanggan yang bisnes anda tawarkan.
Untuk dapatkan informasi-informasi ini, anda boleh hubungi mereka secara terus atau minta mereka tinggalkan review atau maklumbalas mengenai topik yang anda ingin selidik.
2. Lakukan Kajian Pasaran
Kajian pasaran dapat membantu anda kenalpasti trend industri, peluang serta habit pelanggan yang berkaitan dengan bisnes.
Anda juga boleh buat sedikit kajian mengenai pesaing di beberapa platform seperti media sosial, laman web dan enjin carian.
Kenalpasti beberapa faktor seperti jenis pelanggan dan saluran pemasaran yang digunakan. Kaedah mereka mungkin dapat timbulkan idea buat anda merangka strategi pemasaran yang lebih baik untuk perniagaan.
3. Cipta Buyer Persona
Anda juga boleh kategorikan jenis pelanggan berdasarkan latarbelakang, kelakuan dan demografi untuk cipta buyer persona. Sebagai contoh, anda boleh cipta buyer persona ‘Ibu Bekerja’ bagi pelanggan dengan persamaan berikut :
- Wanita berusia antara 30 hingga 45 tahun
- Mempunyai dua orang anak
- Berpendidikan dan mempunyai kerjaya.
Seterusnya, anda boleh manfaatkan kategori buyer persona ini untuk lancarkan kempen pemasaran bersesuaian seperti tawaran atau diskaun bagi produk tertentu mengikut keperluan mereka.
4. Kenalpasti Personaliti Jenama
Untuk berinteraksi dengan pelanggan, anda perlu cipta karakter atau personaliti yang tepat bagi menggambarkan nilai dan matlamat perniagaan.
Karakter ini juga bakal mencerminkan identiti jenama dan mampu menjadi tarikan bagi pelanggan untuk kenali dengan lebih lanjut mengenai perniagaan anda.
Untuk mula membina personaliti jenama, cuba senaraikan beberapa karakter yang bersesuaian. Sebagai contoh, jika jenama anda ingin dilihat sebagai peramah, anda mungkin boleh cipta personaliti yang santai dan aktif berinteraksi.
Anda juga boleh ikuti panduan grafik di bawah untuk kenalpasti karakter yang sesuai bagi membina personaliti yang kuat dan mampu diingati pelanggan.
5. Bina Aset Jenama
Langkah seterusnya adalah untuk pilih beberapa elemen yang boleh membezakan jenama anda dengan yang lain. Antara elemen penting yang jenama anda perlu wujudkan adalah slogan, logo, pilihan warna serta font.
Apapun logo atau warna yang anda pilih, pastikan ia unik dan mudah untuk dikenali. Logo yang dihasilkan dengan baik bukan sahaja dapat memberikan impak yang besar kepada pelanggan dan membawa makna yang bertepatan dengan matlamat bisnes.
Pilihan warna logo juga boleh memberikan makna yang berbeza. Sebagai contoh, entrepreneur.com mencadangkan bahawa warna merah melambangkan tenaga membara, sementara warna kuning melambangkan sifat optimistik dan warna ungu pula membawa maksud imaginasi tanpa batas.
6. Kekal Konsisten
Selepas anda berjaya mencipta personaliti, identiti dan elemen jenama, manfaatkannya sebanyak mungkin di beberapa platform pemasaran seperti pemasaran emel, website dan media sosial.
Pastikan anda berinteraksi secara konsisten sambil membawa personaliti yang telah anda tetapkan untuk jenama.
Usaha-usaha ini penting supaya pelanggan lebih mudah ingat bisnes anda di samping membuatkan jenama anda lebih menyerlah berbanding pesaing lain.
Secara tidak langsung, usaha konsisten ini juga dapat membina serta menguatkan lagi branding bagi jenama anda.
Antara jenama popular yang menunjukkan brand consistency adalah Starbucks. Walaupun dikenali sebagai jenama kopi yang mahal, namun jenama ini ada peminatnya tersendiri sehingga mampu bertapak di 80 buah negara.
Pelbagai aspek yang anda perlu persiapkan untuk bina jenama yang mantap untuk bisnes. Dari pemilihan warna, logo dan personaliti jenama, semua elemen ini dapat memberikan impak yang besar kepada pelanggan dan anda sendiri sebagai pemilik bisnes.
Selain itu, anda juga perlu lakukan beberapa kajian pasaran dan cipta buyer persona untuk memastikan jenama bisnes boleh dicipta berdasarkan keperluan pelanggan.
Bila jenama anda mempunyai branding yang kuat, perniagaan anda juga secara tidak langsung akan lebih kukuh dan menyerlah berbanding bisnes lain. Semoga perkongsian ini dapat memberi inspirasi kepada anda untuk menjenamakan bisnes. Selamat mencuba!