Bukan mudah untuk mulakan sesebuah bisnes. Untuk memastikan bisnes dapat menawarkan produk atau perkhidmatan yang berkualiti, pelbagai strategi perlu diatur dengan baik.

Bagi yang pernah mengendalikan bisnes, mereka pasti tahu yang usaha untuk kekalkan kelangsungan bisnes adalah antara cabaran terbesar dalam perniagaan.

Mungkin ada yang menganggap menjadi pemilik bisnes boleh membuatkan seseorang jadi kaya dan mewah. Namun, ramai yang tak tahu banyak syarikat yang gulung tikar akibat kesilapan pemilik bisnes sendiri.

Jadi, jom kita semak 8 kesilapan yang sering dilakukan oleh usahawan sehingga mengakibatkan bisnes lingkup.

Bisnes Lingkup

8 Kesalahan Pemilik Bisnes Yang Boleh Membuatkan Bisnes Lingkup

1. Tak Fokus

Pemilik bisnes perlu miliki fokus yang jelas. Sekiranya hilang fokus, mereka boleh dianggap kehilangan bisnes pada masa yang sama. Pada fasa permulaan, usahawan digalakkan untuk tumpukan perniagaan pada jumlah produk yang minimum sahaja. Dengan mengekalkan kualiti dan perkhidmatan yang mantap, tak salah untuk seseorang usahawan itu miliki satu produk sekali pun.

Lihat sahaja Khairul Aming dengan produk Sambal Nyetnya. Walaupun sudah hampir 3 tahun mengusahakannya, beliau kini bergelar jutawan dan mencetus fenomena menerusi jualan produk tunggalnya.

2. Tidak Konsisten

Perniagaan yang tidak konsisten boleh menjejaskan reputasi bisnes. Oleh itu, semakan berkala perlu dilakukan untuk mengukur prestasi perniagaan. Kenalpasti kekurangan yang boleh dibaiki dan ambil tindakan segera untuk mengatasinya.

3. Usahawan Terlalu Berani

Sesetengah usahawan mempunyai sikap yang terlalu optimistik. Bila nampak sahaja peluang bisnes, mereka terus ambil tanpa berfikir panjang. Tanpa mengambil kira risikonya pada syarikat, rancangan yang dilaksanakan secara tergesa-gesa ini boleh mengakibatkan kerugian besar.

Usahawan sepatutnya membuat kajian yang lebih terperinci atau lakukan analisis SWOT (strength, weakness, opportunities, threat) terlebih dahulu.

4. Berlagak Pandai

Walaupun anda bergelar pemilik bisnes, ini tidak bermakna anda mempunyai kemahiran dalam semua perkara. Bila seseorang usahawan merasakan terlalu pandai, mereka akan mula menafikan bakat yang ada dalam syarikat.

Individu sebegini juga biasanya bersikap lebih tertutup dan tidak mahu mendengar pendapat orang lain. Akibatnya, syarikat akan ketinggalan dan boleh terlepas banyak peluang berharga.

5. Tiada Usaha Mengambil Bakat Baharu

Syarikat akan rugi besar sekiranya tidak merekrut bakat yang relevan dengan peredaran masa kini. Dengan sikap yang suka berada di takuk lama, sesebuah bisnes akan mengalami kesukaran untuk bersaing dengan bisnes lain.

6. Terlalu Banyak Berbelanja

Seorang usahawan telah melanggar peraturan sendiri apabila mereka membelanjakan hampir 40% dari reserve untuk mulakan bisnes baharu. Sepatutnya, mereka hanya boleh gunakan sebanyak 10% paling maksimum. Dikhuatiri, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Bisnes Lingkup

7. Tidak Mendengar Nasihat

Untuk mengekalkan bisnes, seorang usahawan bukan sahaja perlu menimba pengalaman, malah mereka juga perlu berguru dengan mentor atau usahawan yang lebih mahir. Orang yang lebih berpengalaman boleh membimbing kita untuk dorong syarikat ke haluan yang betul dan dapat menasihatkan kita untuk buat keputusan yang boleh menguntungkan syarikat.

8. Tak Mahu Henti Operasi Pada Waktunya

Memang sayang untuk tinggalkan bisnes yang sudah dibangunkan dengan keringat sendiri. Namun, bisnes yang sudah nyawa-nyawa ikan dan tidak bawa keuntungan perlu ditutup dengan lebih awal.

Jika seseorang usahawan masih berdegil untuk teruskan operasi bisnes yang sudah di hujung tanduk, syarikat boleh terdedah kepada kerugian yang lebih besar.

Sepandai mana seseorang itu dalam berbisnes, pada akhirnya prestasi boleh diukur pada keuntungan dan perkembangan syarikat. Jika bisnes tidak menjana keuntungan, usahawan tidak boleh berdegil untuk teruskan operasi.

Mereka perlu kenalpasti kekurangan, dapatkan nasihat daripada pakar dan tambah pekerja dengan kepakaran tertentu untuk bangunkan semula bisnes.

Bisnes Lingkup

Yang paling penting, gagal sekali bukan gagal selamanya. Ramai usahawan yang pernah gulung tikar dan mulakan lembar baharu selepas bisnes lingkup. Mereka sanggup menambah ilmu dan belajar dari pengalaman untuk jadi usahawan yang lebih berjaya pada masa akan datang. Semoga perkongsian ini bermanfaat agar anda juga tidak lakukan kesilapan yang sama.

Sumber : Majalah Labur

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top